MAMPUKAH Scha dan Fahrin mengacarakan program ini biarpun mereka dikatakan sudah berpisah. |
Sehati Berdansa masih kekalkan Fahrin, Awal
SCHA AlYahya mengakui sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima tanggungjawab sebagai hos program Sehati Berdansa musim baru apabila Astro memilihnya sebagai menggantikan tempat Linda Onn.
“Saya berterima kasih kepada pihak Astro yang memberi peluang untuk ini. Ketika ini, saya menonton ulangan program Sehati Berdansa musim lalu. Saya banyak melihat konsep dan cara kendalian program ini berlangsung dalam skala penonton secara langsung.
“Linda Onn sudah menjalankan tugasnya dengan baik. Linda seorang hos yang bagus dan saya menjadikannya idola dalam perihal pengacaraan. Saya sudah bersiap sedia secara mental dan fizikal kerana soal dibandingkan dengan Linda akan berlaku,” kata Scha yang akan muncul dengan drama Awan Dania musim kedua tak lama lagi.
Pengumuman Scha sebagai hos Sehati Berdansa musim dilakukan oleh Astro Ria pada sidang media pada 14 September lalu. Selain Fahrin, turut dikekalkan ialah Awal Ashaari yang ditugaskan untuk mengacarakan segmen Debaran Sehati Berdansa.
Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan berkata, pemilihan pelakon itu bukanlah bermakna Linda Onn gagal memainkan peranannya sebagai hos Sehati Berdansa selama dua musim berturut-turut.
“Tiada kurangnya Linda kerana dia menunaikan tanggung jawabnya dengan baik. Scha seperti tenaga baru yang diharap mampu menjana dengan baik sekali gus meneruskan kelangsungan program ini. Kita masih mengekalkan Fahrin dan Awal.
“Selain Scha, kita juga memperkenalkan perunding tarian dan persembahan mingguan yang baru menggantikan Mat Kasan iaitu Farah Sulaiman. Farah ialah pengasas Sayang Academy of Dancing dan berpengalaman selama 30 tahun dalam bidang tarian” kata Khairul lagi.
Sementara itu, Fahrin yang ditemui di majlis ini berkata, tanggungjawabnya sebagai hos Sehati Berdansa tetap disempurnakan sebaik mungkin tanpa mengira siapa pun gandingannya.
“Menjadi pelakon dan sebagai pengacara program TV sudah menjadi rezeki saya. Saya tidak boleh merungut dengan kerja yang diberi. Pada peringkat awal pun saya sendiri tidak tahu menahu akan digandingkan dengan Scha,” katanya.
Mahu bersikap profesional, Fahrin juga menjelaskan, dia tidak menghadapi masalah untuk berkongsi pengalaman dengan Scha bagi mewujudkan keserasian ketika menjadi hos bersama program Sehati Berdansa musim terbaru.
Manakala Awal pula mengakui tanggungjawabnya kini bertambah apabila ditugaskan untuk mengacarakan segmen Debaran Sehati Berdansa yang bakal mengumumkan peserta yang akan tersingkir.
“Dua musim terdahulu, Debaran Sehati Berdansa dikendalikan oleh hos utama. Saya hargai peluang ini dan mungkin juga selepas bekerjasama dengan Astro selama ini, mereka senang bekerjasama dengan saya,” katanya yang turut mengacarakan Rentak Bolly di saluran berbayar Astro, B4U.
INFO: Sehati Berdansa
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: