MEREKA bersahabat sejak bersekolah rendah. Menetap juga di perumahan sama, Taman Sri Andalas, Klang. |
Justeru, tidak hairan hubungan anggota Bunkface, Shamsul Annuar (Sam), 22, Muhammad Farouk Jaafar (Youk), 20, dan Ahmad Farhan Hashim (Pa'an), 22, boleh diumpamakan seperti adik-beradik.
Terlalu banyak pengalaman pahit dan manis menyulami persahabatan mereka.
Malah, sehingga kini ada satu peristiwa di hari raya yang membuatkan mereka tertawa setiap kali mengingatinya.
Sam selaku vokalis kumpulan berkata, seperti kebanyakan remaja lelaki yang lain mereka juga gemar bermain mercun setiap kali menjelang Aidilfitri.
"Mercun beli dekat kedai kita anggap tidak mencabar. Jadi kami buat sendiri meriam buluh.
"Kami main mercun di tanah lapang berdekatan kediaman.
"Agak-agaknya letupan meriam buluh itu terlalu kuat, penduduk di situ buat aduan sehingga kalau tidak silap saya, anggota polis datang ke lokasi kami bermain mercun.
"Kecut perut dibuatnya, kami pun berpecah dan berlari lintang-pukang. Tapi itu dululah zaman budak-budak, sekarang manalah ada masa sangat untuk berbuat demikian," katanya.
Sam menambah seperti tahun sebelumnya dia meraikan lebaran yang mulia di Klang begitu juga dengan Pa'an manakala, Youk bersama keluarganya pulang ke Melaka.
Sementara, Youk pula berkata, sebagai anak tunggal, dia memang tidak punya alasan untuk tidak menyertai orang tuanya pulang ke kampung.
Saat artikel ini disiarkan, sudah seminggu umat Islam menyambut lebaran dan suasana Aidilfitri masih hangat disambut dan lazimnya di Malaysia sambutannya berlanjutan selama sebulan.
Namun, dalam kemeriahan yang masih terasa tiga pemuda ini perlu mempersiapkan diri menghadapi persembahan di Australia dan Maldives.
Sam menambah, meskipun kedua-dua persembahan itu berlangsung sekitar Oktober, mereka ingin memastikan latihan yang cukup bagi menjayakannya.
"Pengurus kami (Peah) memaklumkan Oktober nanti Bunkface akan menjayakan dua persembahan masing-masing di Australia dan Maldives.
"Kalau tidak salah saya, acara ini bersempena festival muzik yang dianjurkan negara berkenaan selaku tuan rumah.
"Tentunya, kami cukup berbesar hati menerima undangan ini.
"Apatah lagi ramai rakan seperjuangan kami sebelum ini pernah beraksi di luar negara dan ia memberi inspirasi kepada kami.
"Alhamdulillah, impian kami hampir menjadi kenyataan. Justeru dengan peluang yang diberikan saya, Youk dan Pa'an, ingin memanfaatkan kepercayaan yang disandar.
"Dengan itu kami sepakat mengadakan latihan lebih awal sebagai persediaan kerana kita tidak mahu orang kata kita tidak serius atau sambil lewa.
"Lagipun, kami ingin menggunakan ruang ini untuk membuktikan pada orang luar bahawa pemuzik dari Malaysia juga berbakat dan setaraf dengan mereka," katanya.
Manakala Pa'an yang bertindak sebagai pemain gitar utama, menambah, selain persiapan ke luar negara mereka juga dalam perancangan melancarkan album perdana yang belum ditetapkan tarikhnya.
"Terdapat enam lagu Inggeris dan empat Melayu yang mana empat daripada lagu baru iaitu dua Melayu dan dua Inggeris manakala selebihnya adalah single yang dipetik dari EP terdahulu.
"Dua lagu Melayu baru kami hasilkan adalah Extravaganza dan Dunia. Konsep lagu masih sama, bercita rasakan 'easy listening' cuma yang menjadi keutamaan kita di mana kami cukup menjaga dan mengambil berat soal kualiti," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: