|
|
|
|
TEHERAN - Iran semalam melancarkan ujian peluru berpandu jarak jauh Shahab-3 dan Sejil yang mampu tiba di Israel.
Komander Tentera Udara Iran, Hossein Salami berkata, anggota-anggotanya melakukan ujian itu pada hari kedua latihan peperangan.
"Satu versi Shahab-3 dan dua peluru berpandu Sejil yang menggunakan bahan bakar sepenuhnya sudah dilancarkan," katanya.
Agensi berita Fars menyatakan, ujian peluru berpandu Sejil itu merupakan yang pertama pernah dilakukan.
Stesen televisyen Press TV menyiarkan imej ujian peluru berpandu Sejil itu.
Ia turut menyiarkan imej peluru berpandu Shahab-3 yang berlepas dari sebuah gurun.
Iran menyatakan kedua-dua peluru berpandu itu mampu bergerak sejauh 2,000 kilometer termasuk di Israel, beberapa negara Arab dan sebahagian Eropah seperti Turki.
"Peluru berpandu itu mampu mengenai sebarang sasaran di wilayah ini," kata Hossein.
Kelmarin, Pasukan Pengawal Iran melakukan ujian peluru berpandu jarak dekat dan sederhana.
Komander tertinggi di Iran itu turut memberi amaran kepada musuh-musuh Iran.
"Tindak balas kami akan membuat musuh yang mengancam kewujudkan kami, kemerdekaan, kebebasan dan nilai-nilai rejim kami mengalami kemusnahan.
"Negara-negara musuh itu akan berasa kesal," kata Hossein.
Latihan peperangan itu mencetuskan kebimbangan Britain dan Perancis manakala sumber Kementerian Luar Rusia menyatakan dunia tidak sepatutnya tunduk mengikut desakan emosi semasa menghadapi isu dengan Iran.
Jerman turut mengkritik ujian peluru berpandu itu.
"Teheran melakukan ujian itu walaupun ia mahu berbincang dengan enam buah negara berhubung kestabilan di rantau tersebut.
"Ia bukannya isyarat bahawa Iran mahu menunjukkan keikhlasan," kata seorang jurucakap Kementerian Luar, Jens Ploetner.
Ujian dilakukan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama pada awal bulan ini membubarkan pelan untuk menempatkan penangkis peluru berpandu di Poland dan menempatkan radar di Republik Czech.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: