"Lagu ini ditujukan kepada seseorang yang istimewa. Ia menjadi nota tanda terima kasih kerana selalu berada di sisi saya, menerima diri ini seadanya dan menyokong tanpa henti tatkala saya berdepan dengan kesulitan" – PREMA YIN
BAGI pendatang baru di gelanggang seni tanah air, Prema Yin, kelahiran album mini yang mengangkat judul Eyo Eyo memperlihatkan signifikan tersendiri kepada empunya diri. Ini kerana segenap jiwanya sejak kecil begitu dekat dengan bidang muzik.
Selain mentafsirkan kehadiran album punya kepentingan untuk meluaskan kerjayanya yang masih baru berputik, naskhah Eyo Eyo yang memuatkan sebanyak lima buah lagu itu turut menampilkan sebuah karya indah dan sangat istimewa.
Lagu bertajuk These Are The Days yang mendapat sentuhan 100 peratus oleh Prema hakikatnya didedikasikan khusus kepada insan tersayang atau lebih tepat dikatakan sebagai teman lelakinya.
Bayangkan apabila anak kelahiran Kuala Lumpur itu tanpa berselindung meluahkan isi hatinya menyelitkan lagu tersebut ke dalam album mininya.
Memetik nukilan hati Prema dalam lagu These Are The Days, berikut serangkap luahan ikhlasnya setelah diterjemah ke dalam bahasa Melayu.
"Lagu ini ditujukan kepada seseorang yang istimewa. Ia menjadi nota tanda terima kasih kerana selalu berada di sisi saya, menerima diri ini seadanya dan menyokong tanpa henti tatkala saya berdepan dengan kesulitan."
Alahai, romantis benar ungkapan yang dizahirkan Prema atau nama berdaftarnya Prema Yin Ranee itu terhadap individu yang kini bersarang di hatinya.
Cuma untuk menghuraikan siapakah gerangan pemuda bertuah yang menjalinkan cinta dengannya itu, Prema mengaku tidak selesa untuk berkongsi kisah peribadinya dengan masyarakat di luar sana.
"Terus-terang, saya tidak mahu menjaja kisah cinta dengan orang lain. Cukuplah hal peribadi saya ini diketahui oleh ahli keluarga dan kenalan terdekat saja.
"Paling penting, saya sudah beritahu bahawa diri sudah berpunya lantas tiada apa lagi yang perlu disorokkan daripada pengetahuan para peminat.
"Walaupun sudah memiliki teman lelaki, namun saya tidak beranggapan perkara ini bakal menyekat perjalanan karier seni saya untuk terus bersinar selepas ini.
"Cuma saya mohon agar karier yang baru hendak bermula ini tidak dilibatkan dengan cerita yang remeh-temeh termasuk hal peribadi.
"Terus-terang, kehadiran saya dalam dunia nyanyian hanya ingin berkongsi bakat yang dimiliki dengan khalayak sekali gus melebarkan sayap ke tahap lebih tinggi," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album mininya di The Mist, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pantas mematikan perbualan tentang perkara yang membabitkan peribadi, wanita yang sarat sikap peramah itu mula menyelak lembaran tentang album yang menjadi kepuasan terawal untuk dirinya.
"Album Eyo Eyo ini mengambil masa selama setahun untuk disiapkan dengan sepenuhnya. Paling menarik, ada di antara lagu yang terkandung dalam album ini dihasilkan sewaktu saya berusia 17 tahun.
"Saya mula menggubah lagu ketika berusia 14 tahun. Kini saya ada kira-kira 30 hingga 40 buah lagu dalam simpanan yang merupakan curahan ilham sendiri.
"Selain These Are The Days, album ini turut mengandungi lima buah lagu iaitu Eyo Eyo, Ain't Got Tears (bergandingan dengan Moots), Bleed dan Higher Love.
"Tidak dinafikan, saya cukup teruja apabila berpeluang untuk muncul dengan sebuah album mini yang mendapat garapan sepenuhnya oleh saya sendiri.
"Saya tidak menggunakan khidmat komposer sedia ada di Malaysia kerana mahukan lagu-lagu yang saya cipta sebelum ini dimasukkan ke dalam album mini saya terlebih dahulu.
"Wajarlah untuk saya buat keputusan ini ditambah saya menginginkan keserasian dengan muzik dan jiwa saya sebelum mendapatkan bantuan penggubah lagu lain.
"Album dengan jalur pop rock ini diibaratkan sebagai kejayaan hasil kerja keras saya selama ini yang begitu mencintai bidang nyanyian dan penggubahan lagu.
"Sekarang album Eyo Eyo sudah siap dan berada di depan mata. Lantaran itu, sudah pasti saya berpuas hati dengan karya permulaan ini untuk diketengahkan kepada orang ramai," ungkap Prema sambil melakar senyuman manis.
Enggan menoleh ke belakang
Berstatuskan anak seni, kini bakat menjadi taruhan utama Prema. Itulah yang dimahukan oleh graduan kursus Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Kolej Sunway, Petaling Jaya kira-kira dua tahun lalu. Ya, tidak ada sebarang penyesalan.
"Menjadi seorang penyanyi merupakan karier pilihan kerana saya sangat meminati muzik. Malah, saya pernah menyertai program realiti televisyen seperti Who Will Win Malaysia Topstar (2004) dan One In A Million musim kedua (OIAM2).
"Nasib menyebelahi apabila saya diumumkan sebagai juara Who Will Win Malaysia Topstar kira-kira lima tahun lepas tetapi saya kurang bertuah kerana gagal menjadi 12 peserta terakhir OIAM2.
"Biarpun begitu, saya tidak pernah terfikir soal menang atau kalah ketika menyertai satu-satu pertandingan nyanyian.
"Bagi saya, semua ini bergantung kepada rezeki dan ilmu yang diperolehi. Bahkan untuk memperbaiki mutu vokal sendiri, saya juga berguru dengan Juliza Adlizan, Hazami dan Syafinaz Selamat.
"Mengawal lontaran suara sangat penting kepada saya apatah lagi lagu-lagu yang saya dendangkan ini memerlukan saya bergerak dan menari mengikut irama yang dialunkan.
"Dengan ketiga-tiga guru ini, saya mempelajari banyak perkara yang berkaitan vokal. Sekarang saya sudah benar-benar bersedia untuk aktif menyanyi," terangnya.
Kagumi kumpulan Pop Shuvit
Tidak mampu menipu diri sendiri, anak kacukan Cina dan India itu terang-terangan memberitahu dia amat memuja dan menyanjungi kumpulan anak tempatan, Pop Shuvit.
Benar, siapa sahaja yang tidak mengenali grup hebat umpama Pop Shuvit. Bahkan ramai peminat terutama generasi baru yang cukup menggilai kumpulan yang sudah membolos tembok kukuh negara Jepun sejak beberapa tahun lalu. Kenyataan itu tidak mampu disangkal lagi.
Lantas puteri kepada pasangan suami isteri, Kali Kavandan dan Alicia Chiw itu berkata, dia bangga apabila berpeluang menjalankan kolaborasi dengan salah seorang anggota kumpulan tersebut, Moots.
"Sejujurnya saya meminati semua jenis muzik. Tetapi apa yang diketengahkan oleh Pop Shuvit cukup sebati dengan jiwa saya.
"Paling membanggakan apabila saya lihat kumpulan ini bukan saja bergiat aktif di tanah air sendiri, malah berjaya mencipta populariti di Jepun dan mempunyai pengikut tersendiri.
"Kejayaan yang dikecapi oleh kumpulan Pop Shuvit membuatkan saya turut memasang angan-angan untuk sukses seperti mereka juga dengan meluaskan pengaruh ke luar negara.
"Sekadar mahu berkongsi berita gembira dengan orang ramai. Jika tiada aral melintang, saya akan ke negara Jerman tidak lama lagi kerana diundang mengadakan persembahan di sana.
"Sudah pastilah besar impian saya yang mengharapkan agar undangan nyanyian di negara orang ini nanti bakal menjadi landasan terbaik kepada diri.
"Tanpa sebarang keraguan, saya hendak membuktikan kebolehan dan bakat diri selain mengambil peluang memperkenalkan pelbagai jalur muzik Malaysia ke persada seni antarabangsa.
"Dengan bakat nyanyian dan menggubah lagu yang saya miliki ini, saya berdoa agar mendapat tempat dan dikenali ramai baik di dalam mahupun luar negara," ungkapnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: