|
|
SEPANG - Loji Pembersihan Air (LPA) Salak Tinggi yang membekalkan air kepada 10,000 penduduk di sini terpaksa ditutup lagi akibat pencemaran ammonia yang berterusan di Sungai Labu.
Malah sungai yang mengalir merentasi Negeri Sembilan itu turut mengalami masalah air yang berbuih dan berbau busuk menyebabkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) terpaksa menghentikan operasinya pada pukul 3.15 petang kelmarin.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan, keadaan semakin buruk apabila hujan tidak turun sejak 10 hari lalu menyebabkan kualiti air pada tahap yang tidak menepati piawaian Kementerian Kesihatan.
"Peningkatan kadar ammonia dan air yang berbau ini disebabkan pencemaran hasil aktiviti di kawasan tadahan. Di samping itu paras sungai yang rendah akibat kekurangan hujan mengurangkan pencairan semula ammonia," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke loji tersebut di sini semalam.
Sebelum ini media melaporkan, loji tersebut telah ditutup sebanyak 14 kali dan tahun ini merupakan kali ketiga selepas ditutup pada Julai lalu selama 47 hari menjadikan loji itu sebagai paling kerap ditutup.
Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 10.8 juta liter sehari, loji itu membekalkan air bersih kepada 19 buah kampung dan beberapa kawasan seperti Labu Lanjut, Salak Tinggi, Salak Tengah, Ginching Hulu, Ginching Hilir, Lembah Paya, Pekan Salak, Kampung Baru Salak, Chincang, Taman Salak Murni, Desa Salak Permai, Desa Bistari, Salak Baiduri, Rumah PKNS Salak, Salak Indah dan Salak Mulia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: