KESERONOKAN menyambut raya tidak pernah diendahkan oleh pelakon Azizah Mahzan kerana sambutan Hari Raya tidak pernah menjadi agenda utama dalam hidupnya sejak kecil lagi.
Jika ada pun, hanya semasa Hari Raya Pertama di mana dia akan berkunjung ke kubur abang, datuk dan saudara-maranya yang telah meninggal dunia.
Bagi aktres yang pernah dilanda kontroversi akibat isu gambar intim dengan seorang pelakon lelaki ini, memandangkan dia lahir daripada keluarga yang bersaiz kecil dan tidak menggalakkan dia keluar beraya ke rumah orang lain sewaktu kecil yang menyebabkan raya bukanlah isu utama baginya kala usia mencecah 45 tahun kini.
“Raya tahun ini, saya hanya menghabiskan masa bersiar-siar di Kuala Lumpur dan Melaka dengan ibu saya tetapi saya ada juga pergi melawat saudara-mara yang masih ada di kampung di Johor Bharu.
“Kalau dulu ada atuk-atuk boleh juga saya melawat di Muar tetapi sekarang mereka dah meninggal.
“Anak saya pula tidak pulang kerana belajar di luar negara dan ramai juga adik-beradik dan saudara mara saya yang beraya di luar negara seperti abang saya di London.
“Saya tak sambut sangat raya kerana dah tak ramai saudara-mara dan kaum keluarga. Jadi, saya tak tahu nak pergi mana.
“Bila tiba Hari Raya mesti saya rasa sedih sebab dari kecil saya macam tak beraya. Keluarga saya jenis tak galakkan saya bertandang ke rumah orang lain walaupun kawan-kawan jadi sebab itu sampai sekarang tak reti nak beraya ke rumah orang.
“Tetapi, kalau orang datang rumah kita tak apa. Bagi saya, ‘raya is just first day of raya’,” ujar pelakon hebat menerusi drama, filem dan teater ini.
Antaranya adalah drama ‘Spa Q’, drama ‘Susuk’, drama ‘Datin Diaries’, filem ‘Anak’, filem ‘Impak Maksima’, filem ‘I’m Not Single’, teater ‘Mana Setangginya’ dan teater ‘Mahsuri’ ini.
Bercerita mengenai pengalaman ketika menyambut Hari Raya lalu, Azizah sempat berkongsi kisah lucu semasa dia dan ibunya ke Port Dickson, Negeri Sembilan semasa Hari Raya kedua lalu.
“Masa ke Port Dickson pada Hari Raya kedua lepas, saya hendak makan-makan di situ sambil berjalan-jalan dengan mak saya tetapi tengok-tengok orang tak buka kedai sebab semua orang masih dalam mood raya.
“Akhirnya, kami pergi ke kedai runcit yang ada dan setakat makan mi segera sahaja,” ceritanya sambil ketawa.
Seronok berpuasa di Jakarta, Indonesia
Sepanjang hidupnya, Azizah tidak pernah merasa keseronokan menyambut bulan puasa seperti di Jakarta, Indonesia.
Menurut Azizah, sambutan puasa di sana lebih meriah dan menakjubkan berbanding di Malaysia di mana dia lebih merasakan suasana dan ‘mood’ Ramadan itu.
Azizah dan segerombolan pelakon tempatan diterbangkan ke Jakarta untuk menjalani pengambaran drama muzikal ‘Kau Dan Aku’ yang merupakan terbitan Astro dan kerjasama produser dari Indonesia.
“Saya rasa tempat itu seperti Mini Mekah kerana setiap hari kita akan lihat orang Islam ramai berada di Masjid untuk meraikan Ramadan, drama di televisyen juga berubah kepada mood Ramadan manakala di pusat membeli-belahnya akan berkumandang azan apabila masuk waktu dalam satu bangunan itu.
“Saya rasa ‘best’ sangat. Waktu petang apabila saya tidak mempunyai pengambaran, saya akan tunggu di lobi pusat membeli-belah itu kerana di situ juga boleh kedengaran lagu-lagu penyejuk jiwa dan berunsur ketuhanan.
“Suasananya berbeza dengan di sini kerana kita sudah dengar orang pasang lagu raya semasa menjelang puasa,” ujarnya yang pertama kali berpuasa di luar negara.
Nasib baiklah dia tidak mempunyai masalah untuk menikmati makanan di sana walaupun pada dasarnya dia hanya mampu makan menu nasi padang, nasi sunda dan makanan Jawa.
“Insya-Allah, kalau saya tidak mempunyai apa-apa halangan tahun depan saya mahu berpuasa di sana lagi kerana terpikat dengan aktiviti orang sana ketika menyambut puasa.
“Saya mungkin akan mengajak mak dan pembantu peribadi saya. Lagipun saya mempunyai ibu saudara di Bandung,” katanya yang turut menyukai persekitaran hotel apartment Puri Casablanca di Jakarta Selatan.
Katanya, jiwanya berasa aman dan tenang ketika berada di kawasan Puri Casablanca yang berdekatan dengan tanah perkuburan dan pusat membeli-belah itu.
“Tempat itu memang ada ramai orang tetapi agak senyap,” katanya yang menghabiskan masa selama sebulan di sana.
Selepas selesai pengambaran drama ‘Kau Dan Aku’, Azizah belum membuat apa-apa keputusan untuk menerima beberapa tawaran lakonan seperti sebuah drama bersiri arahan Zulkifli M. Osman dan drama ‘Spa Q 3’.
Namun, Azizah pernah memaklumkan yang dia sebolehnya ingin menolak tawaran drama ‘Spa Q 3’.
Azizah juga memberitahu yang dia baru sahaja menolak tawaran cerita seram daripada produser Ziela Jalil.
Jelasnya, dia serik untuk berlakon genre seram setelah merasai pengalaman seram ketika berlakon filem ‘Anak’.
“Selepas berlakon filem ‘Anak’, suara saya tak keluar selepas siap ‘dubbing’ suara. Lepas tu, CD mentera dari Kemboja yang saya bawa pulang ke rumah tiba-tiba terpasang sendiri..Saya rasa cukuplah untuk berlakon cerita seram lagi,” akhirinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: