|
|
WAJAH gadis berdarah kacukan Melayu, Cina dan Arab, Rafidah Abdullah telah menghiasi program berbentuk infortainmen, 3R selaku pengacara sejak sembilan tahun lalu.
Benar, sepanjang tempoh itu selain mengacara, wanita berusia 32 tahun itu pernah terlibat sebagai salah seorang pelakon dalam filem Gol & Gincu yang kemudiannya di bawa ke kaca televisyen sebagai drama bersiri.
Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa dia juga sebenarnya merupakan penulis skrip bagi filem arahan Bernard Chauly itu.
Mengacara sudah, berlakon pun sudah dan baru-baru ini berita yang kedengaran, Rafidah sudah melangkah ke satu lagi cabang kerjaya iaitu sebagai pensyarah.
Pada majlis berbuka puasa 3R yang berlangsung di perkarangan syarikat penerbitan, Red Communications Sdn. Bhd., di Petaling Jaya baru-baru ini, ketika bertemu Rafidah, dia mengesahkan khabar tersebut.
Menyingkap perihal kerjaya barunya itu, kata Rafidah, dia merupakan pensyarah untuk subjek Analisa Skrip Filem di Sunway University sejak 19 Ogos lalu.
"Saya ingin memanfaatkan segala ilmu yang saya peroleh ketika melanjutkan pelajaran dalam bidang penulisan skrip di Goldsmiths College, University Of London.
"Jujurnya saya baru lagi mengajar. Buat masa ini saya masih lagi dalam proses menyesuaikan diri sebagai pensyarah dan berhadapan dengan pelajar yang bukan sahaja dari negara ini tetapi juga dari Brunei dan Norway.
"Nak kata gementar memang saya akui gementar sebab bukan senang untuk mengajar kerana tidak tahu sama ada pelajar boleh faham atau tidak segala yang cuba saya sampaikan.
perasaan gemuruh
"Buat masa ini saya perlu atasi perasaan gemuruh dan melihat sama ada saya boleh meneruskan kerjaya sebagai pensyarah atau tidak," katanya.
Menulis bukan lagi baru bagi diri wanita yang selesa dengan imej berambut pendek ini.
Apatah lagi, kata Rafidah, dia telah meminati bidang penulisan sedari kecil.
Selain Gol & Gincu, skrip lain yang dihasilkannya termasuklah skrip untuk filem Pisau Cukur lakonan Fazura dan siri Blogger Boy.
"Ketika di sekolah rendah lagi saya sudah mula minat menulis. Malah, selepas tamat tingkatan enam saya pernah bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kewartawanan di Universiti Malaya.
"Bagaimanapun, hasrat tersebut terpaksa saya lupakan kerana terdorong untuk meneruskan pengajian dalam bidang guaman oleh keluarga.
"Namun, setelah menyertai produksi 3R minat saya terhadap penulisan semakin kuat dan daripada situ saya mula belajar buat skrip secara perlahan-lahan," katanya.
Terdorong oleh minat tersebut, pada tahun 2002 dia kemudiannya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang penulisan di Goldsmiths College.
Tambah Rafidah, dia turut merancang menghasilkan sebuah buku yang mengisahkan kehidupannya tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: