Tuesday, September 29, 2009

Mengekalkan populariti Trapper

Sehelai jeans adalah harta paling berharga dan dijaga sebaik mungkin. Mereka akan membaiki kerosakan dan mengubah suai jeans tersebut jika mereka mengalami penurunan atau pertambahan berat badan




PADA zaman komunis, rakyat Hungary memiliki hubungan yang istimewa dengan fesyen denim dan jeans. Bagi mereka, denim itu melambangkan dunia yang bebas dan bersifat kebaratan.

Malah, kegilaan masyarakat terhadap denim telah diabadikan dalam sebuah lagu pop yang pernah menjuarai carta-carta lagu popular pada 1990, tidak lama selepas kejatuhan komunis. Lagu itu bertajuk My Jeans Are My Everything. Bagaimanapun, 30 tahun kemudian kegilaan itu berakhir.

Sejak dulu lagi, Iron Curtain telah menjadi sebahagian daripada sejarah dan rangkaian peruncit dari Barat yang mendominasi kawasan beli-belah utama di Budapest. Jeans pula menjadi satu komoditi yang mudah diperoleh orang ramai pada harga berpatutan.

Ketika negara-negara Timur Eropah pasca komunis merasai kesan kelembapan ekonomi dunia baru-baru ini, pengumuman penutupan kilang gergasi pengeluar jeans dari Amerika Syarikat (AS) iaitu Levi's di Hungary menjadi satu lagi berita buruk buat warganya.

"Sehelai jeans adalah segalanya. Ia menggambarkan segala yang berkaitan dengan dunia Barat," kata Gjon Delhusa, penyanyi lagu jeans yang popular itu. Walaupun sudah menjangkau usia 56 tahun, dia tetap gemar memakai denim.

"Sehelai jeans adalah harta paling berharga dan dijaga sebaik mungkin. Mereka akan membaiki kerosakan dan mengubah suai jeans tersebut jika mengalami penurunan atau pertambahan berat badan," kata penyanyi kelahiran Albania yang menjadi bintang pop pada tahun 1971.

Tetapi Delhusa yang menerima bungkusan-bungkusan seluar dan jaket jeans daripada saudara-maranya di Itali dan Jerman menyatakan dia tidak akan merasa sedih atau rugi jika Levi's mengambil keputusan untuk menutup kilang mereka di Kiskunhalas, sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 150 kilometer ke utara Budapest. Kilang itu ditutup selepas 21 tahun beroperasi.

"Ada banyak jenama jeans lain di pasaran sekarang," katanya.


JEANS Trapper hanya boleh didapati dalam dua potongan iaitu boot cut, selain potongan lurus yang pinggangnya agak tinggi.


Namun, sekitar tahun 1970-an, remaja Hungary begitu terdesak untuk mendapatkan sehelai jeans sehinggakan ia terpaksa diseludup dari Barat, disorok di sebalik barangan lain dan dijual secara haram di pasar barangan terpakai terkenal di Ecseri pada harga yang sangat mahal.

Sehelai jeans boleh mencecah harga sehingga 1,500 forint (RM28) pada pertengahan tahun 1980-an yang bersamaan dengan harga sebuah basikal. Pada ketika itu, gaji sebanyak 4,500 forint (RM84) sebulan sudah dikira cukup baik.

Delhusa berkata, dia telah memakai denim sejak zaman remaja lagi. Terima kasih kepada bungkusan yang diterimanya daripada keluarga di luar negara.

Kemudian, rejim komunis yang memerintah memutuskan untuk melancarkan jenama denim tempatan pada tahun 1978 iaitu Trapper.

"Menggunakan sistem pemasaran yang jarang diaplikasikan, nama Trapper dipilih melalui undian pembaca majalah dan pendengar radio," jelas Sandor Nadasi. Beliau merupakan pemilik satu-satunya kedai Trapper di Budapest yang masih bertahan sehingga kini.

Menurutnya, jeans tersebut hanya boleh didapati dalam dua potongan iaitu boot cut, selain potongan lurus yang pinggangnya agak tinggi.

Dengan memaparkan logo seorang cowboy sedang menunggang kuda, ia jelas ingin membawa budaya Barat ke Hungary. Jenama itu berjaya dengan pantas dan berupaya dijual sehingga lebih satu juta helai dalam tempoh setahun sahaja iaitu dari tahun 1980 sehingga 1981.

Jeans itu dihasilkan oleh sebuah syarikat tempatan yang dimiliki oleh kerajaan, Budaflax. Butik utamanya terletak di lokasi tumpuan di Budapest iaitu Andrassy.

Jeans Trapper juga sangat popular di negara-negara blok komunis lain seperti Poland. Para atlet Soviet yang bertanding di Hungary biasanya akan membeli beratus-ratus helai untuk dibawa pulang.

"Walaupun warnanya cepat luntur dan denimnya mudah koyak, pelanggan tidak menghiraukannya," kata Nadasi


JENAMA jeans keluaran tempatan, Trapper terpaksa bersaing hebat dengan jenama dari Amerika Syarikat seperti Levi's di Hungary.


Namun, apabila Budaflax memperoleh lesen untuk menghasilkan jeans jenama dari AS seperti Lee dan Wrangler pada 1981, populariti Trapper semakin pudar.

Bagaimanapun Trapper kembali terkenal pada tahun 1995, apabila Nadasi menuntut hak pengeluarannya. Nadasi menghasilkan Trapper daripada denim import dan mula mengalami perubahan.

"Dalam keadaan krisis ekonomi global, kami hanya mahu memastikan jenama ini terus hidup," katanya.

Beliau dengan bangganya berkata, jenama Trapper sudah berjaya mengatasi pesaing ikoniknya dari AS seperti Levi's.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: