|
|
PEMINAT kek coklat bakal menikmati kemanisan yang berganda di Kejohanan Kek Coklat yang bakal diadakan pada 3 Oktober ini di Great Eastern Mall, Jalan Ampang, Kuala Lumpur nanti.
Mereka bukan sahaja dapat menikmati kek coklat yang dipertandingkan, malah dapat berlaga bahu dan bertentang mata dengan 35 orang selebriti terkenal yang akan menjual kek itu.
Antara selebriti yang akan menjayakan majlis ini dengan menjual kek-kek itu kepada orang ramai ialah Diana Danielle, Intan Ladyana, Raja Farah, Juliana Evans, Iqram Dinzly, Fahrin Ahmad, Jehan Miskin, Linda Onn, Sazzy Falak, Fizzow Omar Irma Hasmie dan lain-lain.
Pertandingan yang diadakan buat kali ketiga ini mengumpul chef-chef pastri dari 14 buah hotel bertaraf lima bintang dan mereka akan bertanding bagi merebut gelaran Kek Terbaik, Hiasan Kek Terbaik dan Kek Pilihan Kanak-Kanak.
Menurut pengurus majlis Kejohanan Kek Coklat, Bill Bora, pertandingan yang dianjurkan oleh Great Eastern Mall ini bertujuan bagi mengumpul derma untuk tabung Great Eastern Children Care Fund.
"Selain bagi tujuan amal, ia juga sebagai satu usaha mendekatkan orang ramai dengan para selebriti dimana jarang ada majlis amal yang dapat mengumpulkan sebegitu banyak selebriti dalam satu masa.
"Kepada yang ingin menderma bolehlah membeli kek coklat dari selebriti-selebriti yang berharga RM15 sahaja bagi sepotong kek," ujarnya pada satu sidang media memperkenalkan Kejohanan Kek Coklat di Hotel Istana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hotel-hotel yang terlibat ialah Hotel Le Meridien, Hotel Istana, Hotel Berjaya Times Square, Hotel Equatorial, Royale Chulan dan Hotel Mandarin Oriental.
Turut terlibat ialah Hotel Dorcett, Holiday Inn Glenmarie, Hotel Crowne Plaza, Hotel Sheraton Imperial, Hotel Renaissance, Hotel Legend, Hotel Palace Of The Golden Horses dan Hotel Grand Season.
Tambah Bill, pertandingan ini akan diadili oleh Chef Wan sebagai ketua juri bersama-sama lapan orang editor gaya hidup bagi memilih pemenang kategori Kek Coklat Terbaik dan Hiasan Kek Coklat Terbaik.
Bagi kategori baru iaitu Kek Coklat Pilihan Kanak-Kanak pula akan diadili oleh tujuh orang kanak-kanak yang telah dipilih menerusi satu pertandingan yang dianjurkan oleh stesen televisyen ntv7.
Menurut Diana, penglibatannya dalam acara ini bukanlah kali pertama.
Dia yang turut menggemari makanan manis berkata amat teruja dapat menjadi sebahagian majlis amal sebegini.
"Pada tahun lepas saya sangat gembira dapat bertemu dengan peminat di samping melakukan kerja amal sebab itu saya dengan rela hati sertai majlis ini sekali lagi.
"Malah hari jadi saya tahun lepas juga disambut oleh mereka dengan sebiji kek coklat yang sangat sedap. Saya amat terharu waktu itu," ujar gadis cantik ini.
Kejohanan Kek Coklat pada tahun lepas dimenangi oleh Hotel Berjaya Times Square bagi kategori Kek Coklat Terbaik dan Hotel Sunway pula memenangi Hiasan Kek Coklat Terbaik.
saya nak kek julianan evans.......sedappppp
ReplyDelete