Wednesday, September 30, 2009
Raja Farah takut dibenci peminat
Sebut saja nama Raja Farah, mesti ramai peminat drama Melayu tempatan akan membayangkan wajah seorang gadis yang penuh dengan kebencian dalam dirinya.
Mana tidaknya, boleh dikatakan hampir 70 peratus drama yang dilakonkan gadis yang baru berusia 19 tahun ini akan mengetengahkan Farah sebagai watak antagonis kepada heroin drama lakonannya sehinggakan ada di kalangan peminatnya pernah menegur lakonannya yang dikatakan agak jahat itu.
Farah sendiri tidak tahu apa faktor yang membuatkan pengarah dan penerbit drama tempatan berminat menawarkan watak hitam dalam sesebuah drama kepadanya.
“Bukannya saya nak demand dengan tawaran yang saya terima. Saya sebenarnya tidak kisah watak apa yang diberikan kepada saya.
“Cuma kadang kala saya juga hendak memegang watak wanita baik yang pada pendapat saya lebih mencabar tanggungjawabnya daripada watak gadis jahat atau nakal,” katanya meluahkan isi hatinya.
Menurutnya, disebabkan terlalu banyak membawakan watak antagonis, kadang kala perilaku ketika melakonkan watak itu terbawa-bawa hingga ke luar set penggambaran.
“Hal itu bukan saya sengajakan tapi kadang kala saya sendiri pun tak perasan saya terbawa-bawa watak angkuh atau sombong dalam lakonan ke luar set penggambaran. Bila dah ada orang tegur tu baru saya perasan dengan perilaku saya,” ujar Farah menceritakan sedikit pengalaman berlakonnya yang memberi kesan kepada kehidupan sehariannya.
Bukan itu sahaja, malah Farah turut bimbang peminatnya akan hilang disebabkan imej buruk yang terbawa-bawa di luar set.
Pada Ramadan yang lepas, kelibat Farah memang tidak kelihatan di mana-mana majlis berbuka puasa yang sering dihadiri oleh artis-artis popular tempatan. Sebenarnya ketika umat Islam menunaikan rukun Islam ketiga itu, Farah sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri terbaru untuk siaran Astro Ria bertajuk ‘Kau dan Aku’ yang turut dibintangi bintang-bintang Akademi Fantasia seperti Aril, Akim dan Mila.
Dalam drama tersebut, Farah diberi peranan sebagai kekasih Aril bernama Farah yang berseteru dengan Mila. Drama yang berkisarkan mengenai kehidupan remaja kolej itu menjalani penggambaran di Jakarta, Indonesia dan diarahkan oleh tiga orang pengarah.
Dua daripada tiga pengarah tersebut adalah pengarah yang terkenal dengan sinetron-sinetron Indonesia iaitu Achoo dan Reza serta seorang pengarah dari Malaysia iaitu Roslan Hussein yang suatu ketika dahulu pernah berlakon menerusi drama-drama tempatan.
Drama tersebut dijangka menemui penonton pada 24 Oktober ini di saluran Astro Ria. Menurutnya, beliau akan mula menjalani penggambaran Mentua vs Menantu musim kedua tidak lama lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: