EZANI maju dalam perniagaan dan lakonan. |
Tawaran berlakon jarang dilepaskan walaupun sibuk dengan urusan berniaga
SERING kali peminat dapat menonton lakonannya sebagai lelaki yang baik. Begitupun keadaan itu bakal berubah apabila pelakon Ezany Nizariff muncul menerusi siri Legasi 43 Karat di sebuah saluran TV pada 26 Ogos lalu.
Dalam drama arahan Feroz Khan itu, buat kali pertama Ezany memegang watak lelaki yang jahat, tetapi bijak melindungi sikap buruknya itu. Drama 25 episod itu dilakonkan Ezany bersama Shaheizy Sam, Rebecca Nur, Puteri Mardiana, Rahim Jailani, Rosnah Johari dan Aznah Hamid.
"Jika dalam drama Obsesi, watak saya nampak jahatnya pada penghujung cerita, tetapi kali ini penonton melihat kejahatannya sejak awal. Ia bukan pengalaman mudah kerana watak itu memerlukan saya benar-benar mengawal lakonan," kata Ezany.
Sememangnya pelakon ini cukup berharap dapat menjayakan watak hitam pada satu hari nanti. Rezeki itu tiba apabila Metrowealth melamarnya membintangi drama terbabit.
“Dengan menjayakan watak sebegini, saya berharap ia mampu mempelbagaikan lakonan saya di televisyen. Seandainya saya asyik membawa watak baik, saya bimbang juga kalau-kalau peminat mula hilang keyakinan pada kemampuan lakonan saya.
EZANY dan Lizda masih menanti cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangga mereka. |
"Lagipun, bukan selalu saya diberikan peranan hitam sebegini. Selepas ini, tentunya peminat dapat melihat saya berlakon watak baik semula, apabila Cucu Betong bagi episod musim baru disiarkan tidak lama lagi,” cerita pelakon berusia 36 tahun ini.
Drama Legasi 43 Karat antara lain mengisahkan pergolakan sebuah keluarga kaya yang mempunyai rangkaian kedai emas. Ezany bakal mewarisi kedai berkenaan, tetapi neneknya tidak menyukai lelaki ini kerana dia mengetahui rahsia hitam cucunya. Ezany pula akan menghapuskan sesiapa saja yang menghalang cita-citanya untuk menguasai perniagaan berkenaan.
Sebuah lagi drama bersiri yang sudah pun dilunaskan olehnya ialah Kejar, arahan Bade Haji Azmi. Bakal disiarkan pada November nanti, siri berkenaan turut dilakonkan Zain Ruffedge, Nasir Bilal Khan, Noniswara, Rashidah Jaafar, Farahdhiya dan Ummi Nazeera.
"Alhamdulillah, sehingga kini nama saya masih lagi diingat oleh produser. Saya amat bersyukur apabila saya tidak pernah ketandusan kerja sehingga sekarang. Saya terpaksa menolak 10 telefilem yang ditawarkan, atas beberapa alasan, termasuklah percanggahan jadual," katanya yang menyaksikan tujuh lagi telefilem lakonannya belum disiarkan.
Pada ketika karier lakonannya bertambah kencang, sesuai dengan perkembangan industri penerbitan drama yang semakin sihat, Ezany juga nampaknya kian maju dalam bidang perniagaan diceburinya. Bermula dengan pengeluaran belacan serta sos, dia kemudiannya membuka pula perniagaan pakaian di bawah nama Grass Jeans.
"Bungkusan produk kegunaan dapur saya sudah pun ditukar kepada yang baru. Sehingga kini, 76 cawangan pasar raya besar di seluruh negara sudah berjaya ditembusi. Terbaru, kami akan memasuki pasaran Kelantan. Pada masa yang sama, kami masih menunggu lampu hijau untuk memasuki pasar raya Tesco pula.
"Memandangkan sambutannya cukup memberangsangkan, kami merancang untuk membuat pinjaman bank. Pada peringkat permulaan dulu, saya hanya menggunakan wang simpanan sendiri saja. Apabila perniagaan sudah berkembang, nampaknya kenalah buat pinjaman.
"Beberapa ejen di luar negara seperti Singapura, Indonesia, Brunei dan Timur Tengah turut berminat untuk membawa jenama Ezany ke tempat mereka," kata pelakon ini sambil memberitahu, pinjaman yang dipohon itu termasuk bagi tujuan pengiklanan.
Mengenai perniagaan pakaian pula, Ezany berkata, selain dua kedai di Kuala Perlis dan Melaka, negeri Hang Tuah itu berkemungkinan besar menyaksikan sebuah lagi cawangan dibuka. Kali ini di Jusco yang dikatakan terbesar di Malaysia.
Masih berdua
SELEPAS kira-kira tiga tahun mendirikan rumah tangga bersama Lizda Nuryanti Abidin, mahligai pasangan ini nampaknya masih lagi sunyi daripada tangisan anak kecil. Bukan merancang, tetapi kata Ezany, rezeki belum lagi menyebelahi mereka.
"Sebenarnya, isteri saya sudah keguguran beberapa kali sejak kami berkahwin. Paling akhir, pada tahun lalu. Ketika itu, kandungannya sudah pun berusia empat bulan. Ia tentunya pengalaman yang sangat mendukacitakan bagi saya dan Lizda.
"Dia sangat kecewa apabila keguguran lagi. Begitupun, segala pengalaman pahit itu menjadi pengajaran untuk kami lebih berhati-hati sekiranya Lizda hamil lagi selepas ini," ujar Ezany yang tidak pernah berputus asa untuk menimang cahaya mata bersama isteri tercinta.
Katanya, mereka turut menjalani rawatan, secara tradisional mahupun moden, bagi membolehkan Lizda hamil dengan sempurna.
"Tidak mengapalah, lagipun, dia masih muda. Masih banyak masa yang kami ada untuk terus mencuba. Apabila sampai masanya nanti, saya percaya kami akan mendapat cahaya mata juga akhirnya," kata Ezany penuh keyakinan.
Pernah menyertai program Akademi Fantasia musim ketujuh, tetapi Lizda gagal untuk terpilih ke peringkat Top 12 rancangan berkenaan. Kini, dia yang pernah bergelar peragawati itu sibuk menguruskan perniagaan yang diusahakan suami.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: