![]() |
| |
PRODUK telekomunikasi yang diperkenalkan oleh syarikat pengeluar telefon bimbit pintar global, HTC Corporation (HTC) kali ini bakal menawarkan pengalaman moboliti yang cukup berbeza kepada penggunanya.
Dikenali sebagai HTC Hero, ia merupakan model telefon bimbit Android pertama didatangkan dengan antara muka yang boleh ditentukan sendiri oleh pengguna.
Selain rekaannya yang bergaya, penampilan portfolio kali ini lebih memberi tumpuan kepada fungsi dan kuasa yang unik serta berinovasi.
Untuk tujuan itu, model berkenaan telah diintegrasikan bersama teknologi terbaru iaitu HTC Sense bagi menawarkan fungsi unik dan intuitif.
Menerusi teknologi tersebut, ia bakal mengetengahkan pengalaman penggunaan telefon bimbit yang lebih mudah dan bersifat natural.
Menurut Pengarah Negara HTC Malaysia, SK Wong, pengenalan teknologi HTC Sense bertujuan untuk menawarkan pengalaman aplikasi yang berbeza kepada pengguna.
''Menerusi teknologi tersebut, pengguna pasti akan berpuas hati dengan fungsi yang ditawarkan selain mereka dapat mengekalkan perhubungan dan meneroka pengalaman di luar jangkaan,'' katanya pada pelancaran telefon bimbit berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dari segi paparannya, model tersebut disempurnakan bersama skrin sentuh sensitif HVGA 3.2 inci yang dilengkapi dengan pelayaran binaan dalam.
Kuasa multimedianya pula digalakkan lagi dengan kehadiran kamera lima megapiksel pemfokusan automatik, kompas digital, set kepala stereo 3.5 milimeter (mm) dan perluasan kapasiti memori melalui kad microSD.
HTC Hero kini boleh diperolehi daripada pengedar yang sah dengan tawaran harga pasaran RM2,399.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: