Friday, September 4, 2009

Tetap sensasi walaupun di Aidilfitri



GABUNGAN baru dan lama bekas pengacara serta pengacara baru mengendalikan Melodi dari kiri, Fara Fauzana, Aidel Abdul Ghaffar, Mahathir Lokman, Fauziah Ahmad Daud, Wahid dan Raja Azura.

Melodi Raya temui penonton pada hari raya pertama, kelapan

MOOD Aidilfitri tidak akan menjadi penghalang kepada program sensasi Melodi daripada menghidangkan gosip sensasi kepada penonton setianya sempena edisi khas Melodi Raya yang akan menemui penonton pada hari raya pertama dan kelapan nanti.

Berkonsepkan Simfoni Dalam Sensasi, penerbitnya, Mohd Nasir Ahmad yang lebih dikenali sebagai Nas Ahmad ketika ditemui pada sesi rakaman Rumah Terbuka Melodi Raya yang sekali lagi diadakan di Surf Beach, Sunway Lagoon Theme Park berkata, identiti sebagai sebuah program sensasi tidak boleh dipisahkan walaupun pada musim perayaan sekali pun. Namun, bagaimana berita itu dilaporkan nanti akan ditentukan kemudian.

“Jika ikutkan suasana raya, kita sebolehnya cuba menyejukkan cerita yang panas. Dalam masa yang sama, elemen sensasi itu tetap dikekalkan tapi dalam keadaan yang terkawal. Kita pun faham perasaan orang tetapi kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku kepada artis dan dunia hiburan dalam jangka masa beberapa hari dari sekarang..

“Apa saja kejadian sensasi boleh berlaku pada bila-bila masa saja. Jadi terpulang kepada kami di Melodi bagaimana untuk memaparkannya nanti. Melodi juga tidak boleh lari dari isu sensasi kerana peminat akan merungut. Melodi bermakna perlu ada kisah sensasi, walaupun ia akan membakar diri kami sendiri,” kata Nas yang pertama kali menggalas tanggungjawab menerbitkan Melodi Raya.

Bercerita mengenai kelainan Melodi Raya tahun ini, antara kelainan yang cuba dipaparkan selain pengisian serta variasi artis yang diundang memeriahkan Melodi Raya tahun ini, program itu turut mengundang kembali hos yang pernah menghiasi dan menaikkan nama program berkenaan. Antara bekas hos yang hadir memeriahkan sambutan Melodi Raya ialah Datuk Mahathir Lokman, Fauziah Ahmad Daud dan Raja Azura. Tahun ini seramai 400 artis diundang memeriahkan program ini.

Nas Ahmad

Selain itu, Melodi Raya kali ini tidak hanya mengetengahkan lagu raya yang popular sebaliknya Nas berkata, mereka turut menseimbangkan dengan memilih lagu raya yang sedap tetapi kurang popular dengan diiringi muzik secara live. Seramai 18 artis baru dan lama diundang membuat persembahan khusus untuk Melodi Raya.

Oleh kerana seramai 18 artis diundang membuat persembahan pada malam itu, Melodi Raya terpaksa dibahagikan kepada dua episod. Sebanyak 70 peratus pengisian untuk episod pertama akan dimuatkan dengan persembahan nyanyian artis manakala 30 peratus lagi cerita. Manakala untuk episod kedua pula, 70 peratus pengisiannya adalah cerita selebihnya persembahan artis.

Barisan artis yang membuat persembahan dalam Melodi Raya ialah Amy Mastura, Aishah, Fazley, Junainah M Amin, Ramlah Ram, Jay Jay, Datuk Shake, kumpulan Balle-Balle, Sweet Charity, Kristal, Aizat, One Nation Emcees, Fabulous Cats, Butterfly serta finalis Mentor musim ketiga.

Nas yang pertama kali menggalas tugas penerbit, mengambil alih tugas Jamil Hassan hampir setahun yang lalu berkata, pelbagai cabaran getir yang terpaksa dilalui apabila ditugaskan untuk menerbit sebuah program besar.

Katanya, faktor cuaca paling membimbangkan kerana ia diadakan di ruang terbuka. Apatah lagi pada sebelah pagi hujan lebat menyebabkan dia risau rakaman program berkenaan akan terganggu. Selain itu, masalah teknikal juga salah satu masalah besar yang membelenggunya serta penarikan diri artis yang terbabit dalam persembahan pada saat akhir.

“Jika tidak ada pengalaman serta kesabaran, mungkin awal lagi saya sudah menyerah kalah. Menerbitkan program seperti ini bukanlah satu tugas yang mudah, cabaran terlalu besar dan banyak. Tahun ini mungkin tahun terakhir kita buat rakaman di ruangan terbuka seperti ini. Saya tak sanggup menanggung risiko lagi kerana faktor cuaca yang tidak menentu.

“Paling membimbangkan saya ialah faktor cuaca, lebih-lebih lagi pada sebelah pagi hujan agak lebat. Kita sebenarnya tadah kepala saja apabila memilih untuk melakukan rakaman Melodi Raya di kawasan terbuka seperti ini, selepas ini mungkin kita akan kembali mengadakannya di hotel seperti lima tahun lalu.

“Kehadiran artis juga adalah salah satu masalah yang kita hadapi. Ada artis yang janji mahu hadir untuk buat persembahan tetapi saat akhir mereka telefon untuk menarik diri, walaupun kita kekurangan artis untuk membuat persembahan tetapi program ini tetap juga berjaya,” katanya.

Melodi Raya masih lagi meneruskan tradisi dengan menghulurkan sumbangan kepada artis yang dilanda kesempitan hidup. Tahun ini, tiga artis dipilih menerima sumbangan ikhlas iaitu Jamaludin Sulik atau Seri Bayu; pelakon veteran, Karim Abdul Latif dan Nurul Kamal Mohd Zainuddin atau Kamal Pendek. Selain itu, seorang peminat setia Melodi turut menerima sumbangan iaitu Siti Nor Fatimah Mokhtar. Masing-masing menerima sumbangan bernilai RM5,000.

Sementara itu dua rumah kebajikan turut dipilih menerima sumbangan iaitu Asrama Baitul Ummah, Setapak Indah dan Pusat Jagaan Titian Kaseh, Tasik Titiwangsa. Sumbangan disampaikan Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama (BMG) TV3, Sherina Nordin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: