Friday, September 4, 2009

Sathia hidupkan filem Setem


PELAWAK berusia 45 tahun ini memberitahu namanya dieja sebagai Sathia dan bukan Sathiya yang sering kelihatan di kaca TV dan surat khabar.

Terus tegar berjuang di persada seni sejak 25 tahun lalu

INDUSTRI lawak tempatan sebenarnya tidak pernah ketandusan bakat. Tidak kira dari mana latar belakang bangsa, budaya mahupun warna kulit pelawak tanah air, rentak hidup kita sebenarnya sering diwarnai dengan hilai tawa yang dibikin mereka.

Simbolik ini sudah cukup menggambarkan gagasan 1Malaysia yang mula menjadi inti pati hidup kita kini. Hari berganti hari, ada saja pelawak pelapis yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Tidak akan ada yang baru, jika tiada yang lama. Lalu, warisan ini sebenarnya terus berkembang tanpa sebarang prejudis.

Pelawak berketurunan India juga turut mendapat perhatian malah menunjukkan revolusi bermula dari mendiang Ayappan dan Param, Santhi, Accapan dan diikuti Sathia dan Kenchana Dewi. Sathia atau nama sebenarnya Sathia Periasamay antara yang terus tegar berjuang di arena seni sejak 25 tahun lalu.

Malah kewujudan Sathia, 45, juga disedari kerana pernah memenangi tiga tahun berturut-turut menerusi kategori Artis Bukan Melayu Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian bermula tahun 1999 hingga 2001. Namun pada 2002, kategori itu dipintas Hans Isaac.

“Saya masih ingat lagi tarikh ‘keramat’, 1 Februari 1985 sewaktu terbabit kali pertama untuk sebuah program komedi berbahasa Tamil di RTM berjudul Kalapadam. Daripada situ laluan saya mula terbentang luas apabila diundang menjadi pelawak untuk program Hiburan Minggu Ini pada 1992.

“Tahun 1993 saya terbabit dengan sitkom Baba & Nyonya. Tahun berikutnya, saya berlakon siri Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Pada mulanya saya hanya jadi undangan saja untuk satu watak kecil menggantikan tempat Accapan. Akhirnya saya dikekalkan dan diwujudkan watak Ravi,” katanya yang ditemui di Kuala Selangor ketika terbabit dalam drama Jalan Merdeka arahan Kabir Bhatia baru-baru ini.

Impak watak Ravi dalam drama arahan Othman Hafsham itu cukup mengesankan apabila kelemahan Sathia berbahasa Melayu dengan baik mengundang satu tanda pengenalan ‘sudah tukar ka’ menjadi ingatan penonton. Terbaru, watak Vellu yang dilakonkan suami kepada Kamala Nair itu di dalam filem Setem yang ditayangkan 30 Julai lalu banyak menghidupkan perjalanan cerita filem arahan Kabir Bhatia itu.

Selepas Setem, Sathia yang namanya kerap dieja di media cetak dan media elektronik sebagai Sathiya itu diundang lagi melakonkan watak Jegathesan Mani di bawah arahan Kabir lagi menerusi drama Jalan Merdeka bagi saluran Astro Warna. Disiarkan mulai 3 September lalu, Sathia bergandingan dengan Mustapha Kamal dan Chen Kin Wah.

“Saya bersyukur apabila mendapat maklum balas yang baik untuk filem Setem. Ia sebenarnya kejayaan dan hasil kerja Kabir sendiri dalam mencorak pelakon dan apa yang dihajatinya untuk filem terbabit. Saya sendiri tidak sangka dapat bekerjasama dengannya sekali lagi untuk drama Jalan Merdeka pula.

“Drama ini secara dasarnya menyokong laungan 1Malaysia yang kini sedang rancak diterapkan untuk setiap kita yang bergelar rakyat Malaysia. Drama ini mengenai tiga sekawan yang mewakili setiap bangsa di negara kita. Mereka terpisah dan berjumpa semula, lalu berkembang plot cerita yang ingin disampaikan.

“Kabir seorang pengarah yang sangat menyokong dan ‘cool’. Saya bertuah mendapat peluang bekerja dengannya. Apa yang dia mahu, dia akan korek sehabis baik. Dia tahu dengan jelas apa yang dikehendaki dan kita sebagai pelakon akan sedaya upaya merealisasikan keinginannya untuk kebaikan bersama,” katanya lagi yang pernah menggondol tiga kali gelaran sebagai Pelawak Terbaik dalam anugerah pelakon India di Malaysia.

Hingga kini, bapa kepada dua anak bernama Nickyneswary, 21 dan Vickyneswaran, 16, ini sudah berlakon lebih 1,000 buah drama dan 15 buah filem antaranya Yes Tuan!, Panggilan Pulau dan Burung Besi. Selain berlakon, Sathia yang pernah menjadi pemandu bas persiaran selama enam tahun sebelum bergelar artis ini sudah mengarahkan 10 buah VCD di dalam bahasa Tamil.

“Sebenarnya saya pernah mengikuti kelas pengarahan di India pada 1996 untuk tempoh setahun. Saya hanya belajar perkara asas saja sebagai pengarah dengan sebuah institusi di sana. Tujuan saya bukan belajar bukanlah untuk menjadi pengarah sebaliknya untuk memudahkan kerjaya saya sebagai pelakon.

“Melalui kelas itu, sedikit sebanyak saya dapat tahu pelbagai aspek yang penting untuk menjadi pelakon yang baik. Sebagai contoh dalam aspek kerja kamera. Maksudnya saya lebih peka dengan kerja pengarahan yang diselia menerusi monitor dan kamera.

“Setakat jadi pengarah VCD bahasa Tamil itu saya pernahlah. Tapi selalunya saya akan meletakkan nama orang lain supaya tidak terlalu jelas kelihatan pembabitan saya sebagai pengarah. Lagipun itu setakat mengarahkan VCD saja, bagaimanapun ia satu pengalaman berharga buat diri ini,” katanya yang selesa melakukan kerja satu persatu dan teratur tanpa terlalu tamak memikirkan banyak kerja dalam satu masa.

Menarik mengenai Sathia

  • Sebaya dengan isterinya.

  • Anak kedua daripada enam beradik. Tiga anak lelaki dan selebihnya perempuan. Salah seorang adik beradik perempuannya sudah meninggal dunia.

  • Tidak melihat kesukaran untuk menembusi pasaran seni orang Melayu, malah sebelum berada di dalam kelompok sekarang, dia terlebih dulu berada di dalam pasaran Tamil di Malaysia.

  • Menjadikan dunia lakonan sebagai kerjaya sepenuh masa. Pada masa yang sama terutama pada Sabtu dan Ahad, dia akan terbabit dalam kerja pengacaraan dan menjadi pelawak.

  • Melihat faktor pendedahan dan publisiti dirinya dengan media pada tahap biasa. Katanya, sebagai pelakon dia tidak terlalu mementingkan kemasyhuran atau terlalu terdesak untuk menjadi popular. Katanya lagi, dia selesa menaiki bas, teksi dan LRT biarpun sudah bergelar artis. Tambahnya, ada sesetengah artis yang bila popular sudah mula segan menaiki kenderaan awam.

  • Formulanya untuk terus bertahan ialah sentiasa membuatkan orang di sekelilingnya terhibur dengan sisi humor yang dimilikinya.

  • Aset yang dikumpulnya sekarang jika ditolak wang ringgit ialah ialah menawan hati orang yang tersenyum dan tergelak dengan lawaknya.

  • Tidak menggalakkan anaknya terbabit dalam dunia seni. Apatah lagi dalam keturunan salasilah keluarganya, hanya dia saja yang menjadi orang seni.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: