Friday, September 4, 2009

Tak serik muka muda



HASHIM (lima dari kiri) bersama barisan pelakon yang menjayakan drama bersiri Mama Murai.

David Teo beri peluang kepada Hashim Rejab arah drama Mama Murai

PENERBIT filem dan drama terkenal, David Teo sentiasa memberi peluang kepada muka baru untuk menonjolkan bakat mereka dalam bidang pengarahan. Selepas Ahmad Idham, Pierre Andre, Norliana Shamsuddin, pemilik syarikat MIG Production Sdn Bhd itu memberi peluang kepada seorang lagi wajah baru mengarahkan drama terbaru terbitan syarikatnya.

Pembabitan Hashim Rejab bersama MIG Production bukan baru, sebelum ini dia pernah terbabit di dalam drama bersiri 3 Janda dan 3 Serumah dan Hashim sekali lagi diberi kepercayaan mengarahkan sebuah lagi drama bersiri komedi terbaru Mama Murai.

Drama bersiri sebanyak 13 episod itu memulakan tayangannya pada 28 Ogos lalu, dijangka menemui penonton pada 3 Disember ini menerusi saluran Astro Warna (132). Hashim yang pernah bekerja sebagai kakitangan MIG tidak mempunyai masalah mengarahkan drama komedi kerana pernah bekerja di bawah beberapa pengarah terkemuka sebelum dia sendiri bergelar pengarah.

Mama Murai kata Hashim mengisahkan seorang wanita berasal dari Pulau Pinang yang berpindah ke Kuala Lumpur. Apabila berpindah ke ibu kota, dia terserempak dengan bekas madunya menyebabkan mereka kembali bertelagah kerana ingin menunjukkan kehebatan masing-masing.

Berkisar mengenai masyarakat Melayu Pulau Pinang, Hashim menafikan filem ini mempunyai persamaan dengan drama Mami Jarum yang pernah diarahkan Profesor Razak Mohaideen. Namun tidak menolak ia memiliki sedikit persamaan kepada watak Mama Murai terutama kepada dialek yang dituturkan dalam drama itu nanti.

“Mungkin orang akan menyamakan drama ini dengan drama Mami Jarum, Anak Mami dan sebagainya tetapi kisah yang kita paparkan ini tiada kena mengena dengan drama atau filem yang diarahkan pengarah lain. Kisah yang kami paparkan dalam drama ini berlainan kerana berkisar mengenai konflik dalaman sebuah keluarga dan juga konflik dihadapi antara madu.

“Mama Murai berkisar mengenai perempuan, ia berkonsepkan komedi 100 peratus. Saya tiada masalah mengarahkan drama komedi kerana sebelum ini pun saya pernah berkerja untuk beberapa buah drama komedi.

“Saya bersyukur kerana David memberi peluang serta kepercayaan untuk bekerja di bawah syarikatnya. Biasanya mereka yang diberi peluang oleh David mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang pengarahan, jadi saya amat berharap rezeki saya akan lebih murah lagi selepas ini.

“Buat masa ini saya selesa mengarahkan drama dulu, tapi kalau diberi peluang untuk mengarahkan filem pula selepas ini siapa yang tidak teringin. Jika David beri peluang kenapa tidak,” katanya yang ditemui di majlis sidang media mengumumkan penggambaran Mama Murai.

Penggambaran drama Mama Murai akan berlangsung selama 45 hari dijangka akan mengambil lokasi di sekitar Kuala Lumpur. Drama berkenaan dibintangi Kartina Aziz, Sheila Mambo, Intan Ladyana, Puteri Mardiana, Mas Muharni, Anne Abdullah, Azad Jazmin, Bob Lokman serta ramai lagi.

Sementara itu, David Teo pula berkata, dia memilih Hashim kerana pengalaman pengarah itu yang pernah menjadi penolong pengarah untuk beberapa drama terbitan syarikat sebelum ini. Dia mahu mengasah bakat Hashim di dalam pengarahan drama terlebih dulu sebelum memberinya peluang mengarahkan filem pula.

“Hashim adalah salah seorang daripada Skim 10 Pengarah Muda yang saya cari. Matlamat saya mahu memperkenalkan lebih ramai lagi pelapis baru dalam dunia drama dan perfileman tempatan tidak kira pengarah, pelakon, penulis skrip dan kru produksi.

“Saya percaya kepada kemampuan Hashim kerana dia sudah membuktikan kebolehannya dalam beberapa drama terbitan syarikat saya sebelum ini. Lagipun dengan elemen komedi yang diketengahkan dalam drama ini, saya percaya Mama Murai akan mendapat sambutan penonton berdasarkan pengalaman kita menerbitkan drama dalam genre serupa sebelum ini. Jika Hashim berjaya, mungkin saya akan memberinya peluang untuk mengarahkan filem pula,” kata David.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: