![]() JIMMY akan beraya di rumah pusaka ibunya di Kampung Pangkalan Baru, Simpang Pulai, Ipoh, Perak. |
Jimmy tabah saban tahun sambut raya tanpa orang tersayang
BIARPUN Aidilfitri adalah hari umat Islam bergembira dengan kemenangan melawan hawa nafsu dan hasutan syaitan pada Ramadan, namun Aidilfitri juga tidak terkecuali menyimpan seribu memori sedih bagi sesetengah orang.
Tidak semua manusia melalui Aidilfitri dengan penuh kegembiraan malah ada antara mereka diuji dengan dugaan yang amat perit sehingga sukar untuk menerimanya terutama bagi mereka yang kehilangan orang tersayang di hari bergembira ini.
Begitu juga yang dilalui penyampai TV, Jimmy Shanley apabila ibu tersayangnya pergi meninggalkan dia dan adik beradik tujuh tahun yang lalu di Makkah Al-Mukarammah.
“Tahun ini adalah tahun ketujuh kami adik beradik tidak dapat beraya bersama ibu dan juga ayah yang terlebih awal meninggalkan kami.
“Ibu meninggal pada 8 Mac 2003 ketika dia mengejarkan umrah dan ayah pada 8 Ogos 1984. Sejak itu kami lapan beradik hilang tempat untuk mengadu dan kasih sayang.
“Setiap tahun juga rumah pusaka di Kampung Pangkalan Baru, Simpang Pulai, Ipoh adalah tempat kami adik beradik berkumpul menyambut Aidilfitri tanpa ibu dan ayah di sisi,” katanya yang kini rumah pusaka itu dijaga kakaknya yang sulung.
Pemergian insan tersayang itu membuatkan Jimmy lebih tabah menghadapi hari yang mendatang walaupun sibuk dengan tugas harian sebagai pengacara program popular Trek Selebriti.
“Sehingga kini saya bersyukur dengan setiap dugaan yang saya lalui walaupun setiap kali Aidilfitri ia menjadi saat paling sedih bagi saya. Bagaimanapun saya masih mempunyai adik-beradik yang boleh membuatkan kami berseronok di hari bahagia itu.
“Apa yang membuatkan saya terfikir sejenak adalah kematian ibu dan ayah, ayah saya adalah orang Australia tetapi meninggal di negara ini dan ibu adalah orang Malaysia tetapi meninggal di Makkah.
“Selepas lima tahun ibu meninggal di sana barulah saya berpeluang untuk ke Makkah dan kesempatan itu saya ambil untuk mengunjungi tapak perkuburan orang Islam dikebumikan di sana.
“Walaupun saya tidak langsung tahu di mana ibu saya dikebumikan namun saya hanya mampu menadah tangan dan berdoa agar rohnya disemadikan bersama golongan orang beriman,” katanya.
Sementara itu, Jimmy yang kini sudah berusia 29 tahun tetap memasang impian untuk berumah tangga sekiranya menemui jodoh dalam masa terdekat ini.
“Saya selalu diusik saudara mara dan jiran-jiran apabila pulang berhari raya dengan pertanyaan bila lagi nak bawa balik isteri berhari raya di kampung. Soalan itu membuatkan saya tertekan. Sekiranya saya sudah menemui jodoh, Insya-Allah tahun depan atau awal 2011 saya akan berhari raya bersama isteri,” katanya yang kini sedang dalam mengenali hati budi seseorang.
Jimmy yang masih mengendalikan program Trek Selebriti di Astro Ria akan muncul dalam program Trek Selebriti Istimewa Aidilfitri dan Trek Selebriti X-Treme pada raya kedua ini.
“Pada raya kedua ini kami akan menyiarkan Trek Selebriti bersama pelakon Abby Abadi. Bagaimana dia berhari raya bersama anak-anak tanpa suami.
“Alhamdulillah Abby memberikan kerjasama yang sangat baik semasa rakaman program ini. Kami juga sempat mengikutinya membawa anak-anak pergi ‘shooping’ membeli baju raya dan menyediakan makanan berbuka puasa,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: