Friday, September 11, 2009

Dendang perantau


Dimas (kiri), Imran Ajmain dan Adi (depan) pada rakaman Melodi Raya di Sunway Lagoon, baru-baru ini.

BERJAUHAN dari keluarga bukan kehendak mereka tetapi demi tanggungjawab dan kerana ingin menunaikan cita-cita serta cinta pada bidang muzik, tiga pemuda ini sanggup meninggalkan kampung halaman yang jaraknya beribu batu.

Beberapa tahun merantau di Malaysia, negara ini sudah tidak asing lagi bagi Adi (vokalis 6ixth Sense), Imran Ajmain dan Dimas (keyboardist Hujan).

Namun bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Sesekali kerinduan kepada keluarga dan kampung halaman mencengkam sanubari, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan. Kehadiran Aidilfitri yang kian menghampiri menguatkan lagi ingatan pada keluarga yang ditinggalkan.

Bagi penyanyi kelahiran Singapura, Imran Ajmain, 28, sungguhpun jarak antara Singapura dan Malaysia tidak jauh, tetapi apabila memikirkan orang tuanya menjalani ibadat puasa berdua, hatinya menjadi sayu. Ini kerana bilangan ahli keluarganya sangat kecil, sementara kakaknya yang menetap di Belanda pula tidak dapat pulang berpuasa dan meraikan Aidilfitri di Singapura menyebabkan Imran sedih apabila mengenangkan mereka yang terpaksa bersendirian.

Oleh kerana itu, dia kerap berulang alik ke Singapura jika tidak terikat dengan sebarang aktiviti seni. Sempena lebaran nanti juga, Imran akan pulang ke Singapura lebih awal lagi supaya ibu bapanya tidak sunyi dan sedikit sebanyak dia dapat membantu mereka melakukan persiapan raya.

"Saya rasa bersalah jika tidak ada di samping keluarga untuk meraikan hari raya. Saya paling tidak sampai hati bila nak pulang semula ke Kuala Lumpur kerana terpaksa meninggalkan mereka berdua. Walaupun zahirnya ibu nampak kuat, saya tahu dia sebenarnya sedih apabila anak-anak tidak dapat bersama. Lebih-lebih pada hari yang cukup bermakna seperti hari raya.

"Tahun ini kerana mengetahui kakak tidak akan dapat beraya bersama kami, sengaja saya kosongkan aktiviti supaya dapat pulang ke Singapura lebih awal. Lagipun seminggu sebelum raya tanggungjawab saya sebagai anak bujang adalah membantu ibu membuat persiapan seperti memasang langsir dan berkemas.

"Bagaimanapun meraikan hari raya di Singapura tidak begitu meriah sebagaimana di sini. Kami masih lagi mengamalkan aktiviti kunjung mengunjung cuma suasananya tidak sama. Di Malaysia banyak dianjurkan majlis rumah terbuka tetapi di sana jarang diadakan majlis seperti itu. Jika tiada acara artis dan muhibah maka tidak meriahlah sambutan raya di sana," kata Imran yang akan pulang ke Kuala Lumpur beberapa hari selepas Aidilfitri kerana dia bakal terbabit dengan penerbitan lagu beberapa artis Singapura yang lahir dari program realiti Anugerah.

Imran mengambil peluang sepanjang minggu raya kerana ketika itu studio tidak begitu sesak, justeru proses rakaman boleh dilakukan dengan cepat tanpa sebarang gangguan artis lain. Imran bakal terbabit menerbitkan lagu untuk enam finalis program berkenaan.

Sementara itu, Adi Priyo Sambodo yang sudah empat tahun tinggal di Malaysia sudah tegar melupakan negara kelahirannya, Indonesia demi mencipta nama bersama 6ixth Sense. Insya-Allah, kata jejaka Jember, Jawa Timur itu, dia hanya akan pulang beberapa minggu selepas raya.

Menurut Adi, sebelum ini, jika berkesempatan pulang ke kampung pun, dia hanya pulang pada musim bukan raya. Tahun ini, Adi memberitahu, dia hanya akan beraya di Kuala Lumpur saja bersama teman-temannya.

“Di awal dulu, saya tak nafikan perasaan sedih itu cukup dirasai apabila keluarga jauh di Indonesia. Tapi kini, selepas sekian lama, perasaan itu sudah mula terhakis dan tak teras sangat. Paling bertuah, saya juga mempunyai keluarga angkat di Bangi. Mereka adalah keluarga Wan (pemain drum 6ixth Sense).

“Ramadan saya kali ini seperti biasa bersama kawan-kawan di Bangsar. Macam orang bujang lain, kami pun seperti mereka yang gemar berbuka di luar ataupun di rumah saja. Aktiviti seni pun tak banyak, maka ia peluang terbaik untuk saya merehatkan diri,” katanya sambil memberitahu 6ixth Sense kini sudah mula sibuk mempromosikan single terbaru, Khatimah Cinta.

Beralih kepada Dimas atau nama sebenarnya Hang Dimas Santoso, dia baru saja tiba ke Kuala Lumpur, pada hari yang sama rakaman Melodi Raya dijalankan 28 Ogos lalu. Mesra disapa Dimas, dia sebenarnya menjadi anggota tetap Hujan dan pada masa yang sama menguruskan kerjaya kumpulan itu di sana.

Kata Dimas, dia juga menjalankan perniagaan pengiklanan di Indonesia sejak 2007 dengan menubuhkan syarikat Focus Inti. Selalunya, jika memerlukan komitmennya di Malaysia, Dimas akan turun padang. Dimas sudah berkahwin sejak dua tahun lalu dengan Fathia Rahmani dan dikurniakan seorang anak, Audriana Chalia (1 tahun).

“Sejak 2005 lagi, saya sudah tinggal di Malaysia. Pengalaman berpuasa di Malaysia itu sudah pernah dirasai tapi tidaklah sampai sebulan kita menyambut kedatangan Ramadan. Paling saya seronok berpuasa di Malaysia ialah kemeriahan bazar Ramadan yang sentiasa akan menjadi tumpuan ramai.

“Kalau di sini, saya akan berlagak macam orang bujang. Tapi kalau balik ke Indonesia, semestinya saya bergelar suami. Itu perbezaan yang jelas. Tahun ini, saya sekeluarga akan beraya di Bandung. Persiapan raya itu biasa saja dan yang lebih itu mesti kepada anak sulung saya.

“Kebiasaannya, saya tidak akan memakai baju Melayu sebaliknya di sana, kami akan memakai baju berwarna putih yang dipanggil ‘koko’. Lebaran ini, paling seronok apabila sanak saudara dapat berkumpul. Istilah memberi duit raya juga bukan satu kemestian seperti di Malaysia,” katanya yang gemar memilih ayam percik dan keropok lekor sebagai juadah berbuka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: