|
|
LAMA juga rasanya tidak mendengar nama kumpulan Sofaz. Jika sebelum ini mereka kerap menghiasi dada-dada akhbar atau majalah, keadaan itu sudah jarang dapat dilihat pada waktu ini.
Ada suara-suara nakal yang mengatakan mereka sudah tenggelam dek penangan kumpulan-kumpulan indie yang melatari dunia muzik tanah air kini. Tidak kurang juga yang menyangka mereka akan terus menyepikan diri dalam bidang seni.
Biar apapun cakap-cakap orang sekeliling terhadap mereka, Sofaz langsung tidak berkecil hati malah lebih berasa bangga kerana masih ada lagi peminat yang ingin mengambil tahu.
Tentunya ramai peminat yang masih ingat kemunculan Sofaz membawakan lagu Bukan Di Sini di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke 23 (AJL23) pada awal tahun lalu.
Pada waktu itu Sofaz terpaksa tunduk kepada kumpulan Meet Uncle Hussain yang berjaya menggondol lagu terbaik malam itu menerusi lagu mereka Laguku Untukmu.
Walaupun tidak memenangi apa-apa anugerah pada malam itu, Sofaz masih lagi berbangga apabila berpeluang bersaing dengan nama-nama popular yang lain seperti Faizal Tahir, Estranged dan ramai lagi.
Namun selepas itu kelibat Sofaz agak sukar dijejaki. Adakah mereka kecewa dan merajuk dek kerana tidak berjaya mendapatkan apa yang dihajati?
Ketika ditemui baru-baru ini Ameer, selaku vokalis kumpulan Sofaz mengakui memang mereka sukar untuk dijejaki kebelakangan ini.
“Diam kami bukan diam sembarangan. Kalau mereka yang biasa mendengar radio pasti dapat mendengar lagu baru kami yang berjudul Hingga Hujung Pernafasan Langitku.
“Single tersebut adalah ciptaan Zimi dan Aiman. Saya sendiri tidak sangka lagu tersebut benar-benar diminati ramai walaupun masih terlalu baru menemui peminat,” ujar Ameer ketika ditemui di Studio Utusan.
Sofaz dianggotai oleh Zimi (gitar), Shah (gitar utama), Rodie (keyboard), One (drum) dan Fairuz (bass).
Akui Ameer lagi, dia dapat merasakan penangan kumpulan-kumpulan muzik indie yang semakin ‘mengganas’ ketika ini sehinggakan menenggelamkan kumpulan muzik yang lain.
“Ini adalah sesuatu yang sihat. Memang benar cabaran untuk Sofaz semakin besar tetapi dengan cara ini ia dapat memartabatkan muzik tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kalau sebelum ini tak banyak band yang menyerlah. Tapi kini kita dapat lihat sendiri penguasaan band-band tempatan yang semakin hebat,” kata Ameer lagi.
Sofaz sebenarnya akan tampil dengan album kompilasi yang mengandungi lagu-lagu popular mereka seperti Bukan Di Sini dan memasukkan dua buah lagu terbaru mereka Hingga Hujung Pernafasan Langitku dan Kamu Dan Dirinya.
Kini, mereka sedang sibuk mengumpul bahan untuk album terbaru yang akan menemui peminat selewat-lewatnya pada awal tahun hadapan.
Jelas Ameer lagi, anggota Sofaz sebenarnya beruntung kerana mereka mempunyai bakat dalam penciptaan lagu.
Paling memberangsangkan sudah tentu terletak kepada Zimi kerana sentuhannya itu membuatkan nama Sofaz kembali meledak seperti dahulu.
Kekal bertahan
Saat di tebak dengan soalan sampai bila anggota Sofaz akan bertahan sebagai sebuah kumpulan, Ameer tidak melenting malah bersyukur kerana sehingga kini mereka masih mampu mengekalkan populariti mereka.
“Sudah lapan tahun Sofaz ditubuhkan dan secara rasminya mengikat kontrak dengan syarikat rakaman selama enam tahun. Dalam jangkamasa itu pelbagai duri dan ranjau yang sudah kami lalui.
“Orang sering mengatakan yang kami tidak mampu bertahan lama. Kami tak kisah dengan anggapan itu. Apa yang lebih penting kami tahu apa yang kami lakukan dan kami selesaikan sendiri masalah yang dihadapi.
“Walaupun dalam usia begini ada yang mengatakan ia sudah agak lama, tapi hakikatnya kami masih lagi belajar selok belok dunia muzik tempatan untuk memacu jenama Sofaz ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya mewakil rakan-rakan yang lain.
Sofaz sebenarnya adalah antara kumpulan muzik tempatan yang berjaya menembusi pasaran Indonesia sedikit masa lalu.
Biarpun masih belum dapat menandingi kehebatan penyanyi di negara itu, namun langkah pertama itu tidak harus dibiarkan begitu sahaja.
“Insya-Allah jika ada rezeki kami akan kembali ke sana semula dengan produk yang baru. Kita tak boleh selamanya selesa dengan keadaan di sini jika mahu terus berjaya,” kata Ameer lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: