Sunday, September 13, 2009

Komedi dan air mata Papadom


Saadom (kanan) amat risaukan keadaan anaknya, Miasara (baring) yang ingin hidup berdikari tanpanya. Jelmaan Munirah (kiri) secara langsung memberi inspirasi buatnya.


KASIH sayang, komedi dan air mata. Itulah kebenaran yang terdapat menerusi filem Papadom arahan Afdlin Shauki yang akan menemui penonton di pawagam pada 8 Oktober akan datang.

Papadom, sebuah karya terbaru Afdlin berjaya mengangkat empat elemen iaitu kasih sayang, persahabatan, humor dan perpaduan yang mampu digarap dengan baik dalam sebuah cerita.

Komedi yang menjadi fokus utama Papadom berjaya disusun dengan rapi dan tidak retorik kerana dialog-dialog yang diketengahkan lebih bersifat “jujur”.

Afdlin selaku teraju utama memegang watak Saadom, menggunakan dialog bersahaja yang mampu mencuit hati penonton.

Tanpa perlu membentuk memek muka bagi memaksa penonton ketawa, Papadom boleh dianggap sebagai komedi alaf baru yang dapat membawa penonton melihat terbentuknya satu kelainan terhadap filem genre berkenaan.

Selain komedi bersahaja, unsur kasih sayang menjadi tumpuan apabila Saadom yang kematian isteri terpaksa menggalas tanggungjawab tersebut bagi membesarkan anaknya Miasara (Liyana Jasmay) sehingga ke pusat pengajian tinggi.

Kasih sayang dapat dilihat bagaimana Saadom mengharung kepayahan dalam mendidik anaknya sehinggalah dia terpaksa bekerja sebagai tukang kebun semata-mata mahu “mengintip” perlakuan anaknya agar tidak terjebak dengan kegiatan tidak bermoral.

Biarpun Miasara tidak selesa dengan sikap bapa yang suka mengongkong dan mengekorinya kemana saja tetapi kasih sayang anak terhadap bapa dapat dibina dengan kuat apabila diakhir cerita Miasara menghasilkan sebuah filem pendek bagi memperlihatkan kemuliaan bapanya yang memulakan hidup sebagai peniaga nasi kandar di Pulau Pinang.

Malah Miasara sanggup berkorban memberikan bapanya anak patung kesayangan sebagai ganti jika merinduinya yang berada jauh menuntut ilmu. Dalam masa yang sama aspek perpaduan disokong dengan nilai-nilai persahabatan yang tinggi apabila Saadom berjaya sebagai usahawan nasi kandar dengan bantuan rakan-rakanya iaitu seorang mamak bernama Ali dan rakannya yang berbangsa Cina iaitu Alan.

Malah kasih sayang di antara sahabat berlainan bangsa turut dijelmakan apabila Miasara dan Yvonne (Chelsia Ng) turut membesar dan belajar ditempat yang sama.

Watak Mia yang dibawa oleh Liyana Jasmay anak tunggal dalam keluarga Saadom menarik tumpuan penonton kerana lakonan yang cukup menarik.

mesej

Sebagai anak yang membesar dalam dunia perniagaan nasi kandar, Mia tetap tidak boleh melupakan makanan kegemarannya iaitu papadom yang disajikan sejak kecil walaupun sudah berada di universiti.

Filem ini turut membawa mesej anak-anak juga mahukan kebebasan tidak boleh terlalu dikongkong sebaliknya perlu dikawal dengan nilai-nilai kasih sayang yang tinggi.

Papadom yang menelan belanja RM1.4 juta ini turut menampilkan Vanidah Imran, Scha Al-Yahya, Que Haidar, Farid Kamil, Adam Malik, Harum Salim Bachik dan Pete Teo.

Dek kerana kehebatan seorang papa yang bernama Dom ini, maka tidak perlu dipertikaikan kenapa Papadom meraih lima anugerah dalam Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) di Kota Kinabalu Ogos lalu.

Ia meliputi Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Afdlin Shauki), Pelakon Wanita Terbaik (Liyana Jasmay), Cerita Asal Terbaik dan Skor Muzik Terbaik.

Afdlin yang menjadikan Allahyarham Yasmin Ahmad sebagai sumber inspirasinya mampu memulihkan semula aspek keruntuhan nilai kekeluargaan yang berlaku pada hari ini.

“Saya menjadikan filem-filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad terutama Talentime sebagai inspirasi bagaimana Allahyarham berjaya mengenengahkan sifat kekeluargaan yang semakin dipinggirkan dalam filemnya.

“Karya saya kali ini terhasil daripada pengamatan sendiri. Apa yang akan saya lakukan terhadap anak-anak sekiranya tanggungjawab menjaga mereka terletak di bahu saya?

“Perkara sebeginilah yang saya ingin ketengahkan,” katanya pada sidang akhbar selepas tayangan perdana filem itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur Khamis lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: