| LARI dari kebiasaan konsep yang dipaparkan menerusi program raya, Lentera Aidilfitri Datuk Siti (LADS) yang menampilkan suasana cukup ‘glamor’ boleh dianggap rancangan hiburan Aidilfitri paling menarik bakal dipaparkan Astro sempena Aidilfitri nanti. |
Ini kerana LADS bakal bersiaran pada hari raya kedua, jam 4 petang di Astro Ria,
menampilkan tiga ikon dalam bidang masing-masing.
Datuk Siti Nuhaliza misalnya sehingga kini masih bertahan sebagai penyanyi wanita paling popular tanah air, sementara Saiful Apek menjadi mentor kepada kebanyakan pelakon komedi.
Manakala sebagai pendatang baru, Faizal Tahir yang melonjak selepas diperkenalkan melalui One In A Million musim pertama, berjaya memberi impak cukup besar pada industri seni suara melalui idea dan cetusan muziknya.
Apabila yang terbaik digabungkan dalam satu persembahan, semestinya hasilnya ‘hanya yang terbaik.’
Bagaimana tiga nama besar ini boleh bersatu? Sebenarnya urusan itu adalah di atas permintaan Siti sendiri selaku hos utama LADS.
“Saya sendiri yang membuat pilihan. Kenapa saya memilih Faizal kerana dia antara penyanyi muda yang cukup berbakat besar.
“Sebagaimana ribuan peminat mengagumi begitu jugalah dengan saya.
“Faizal punya vokal yang bagus. Oleh kerana tidak pernah berduet, saya tampilkan Faizal dalam persembahan Lentera ini.
“Faizal sendiri menyambut baik pelawaan saya. Kalau ikutkan rakaman program ini sepatutnya diadakan lebih awal namun disebabkan ada urusan yang tidak boleh dielakkan, rakamannya terpaksa dianjakkan.“Saya amat berterima kasih kepada Apek dan Faizal kerana walaupun tarikh asal terpaksa ditukar mereka masih sudi memberikan komitmen terhadap rakaman program ini,” katanya.
Tanpa berselindung Siti mengakui amat menyukai lagu Mahakarya Cinta dan Sampai Syurga.
Katanya, Faizal beruntung kerana tidak semua memperoleh berpeluang menyanyikan lagu yang bagus dengan susunan muziknya yang hebat dan disampaikan pula oleh penyanyi yang sememangnya berbakat besar.
Berbeza dengan Faizal, kolobrasi antara Siti dan Apek sering kali disaksikan peminat sama ada menerusi program TV mahupun acara seperti Minggu Setiausaha.
Akui ikon berbintang capricorn ini, faktor keserasian selain sudah faham cara kerja masing-masing membuatkan mereka selesa bergandingan.
“Kami sudah bekerjasama sejak lima tahun lalu dalam pelbagai acara misalnya, Minggu Setiausaha. Hubungan baik yang terjalin sepanjang tempoh itu membuatkan senang untuk kami berurusan,” katanya.
Apek yang turut berada dalam sidang media yang diadakan selepas rakaman itu pula secara berseloroh berkata, rahsia keserasian antaranya dan Siti hanya mampu dijawab menerusi lagu, Apek dan Marjinah petikan dari filem Ali Baba Bujang Lapok.
Sebagai seorang insan yang mengagumi bakat luar biasa Siti, Faizal mengibaratkan undangan membuat persembahan bersama idolanya itu bagaikan bulan jatuh ke riba.
“Alhamdulillah, mulanya saya rasa berdebar sewaktu dimaklumkan Datuk mengundang saya sebagai artis jemputan dalam sebuah program kendaliannya dan lebih membuatkan saya terperanjat apabila dapat tahu yang kami akan berduet.
“Sudah lama saya nantikan saat ini sebenarnya. Memperoleh peluang muncul dalam persembahan beliau sudah kepuasan buat saya, apatah lagi dapat berduet dengan beliau sesuatu yang tidak pernah saya jangkakan langsung.
“Saya berharap Datuk berpuas hati dengan persembahan malam ini dan apa yang dipersembahkan tadi itulah sehabis baik yang mampu saya lakukan.
“Harap Datuk tidak serik dan masih sudi untuk bekerjasama dengan saya pada masa-masa akan datang.
“Harus saya nyatakan sebelum menyertai industri lagi, saya antara ribuan yang mengikuti perkembangan karier Datuk sejak mula-mula beliau bertanding di Anugerah Juara Lagu 1995 dengan mempertandingkan lagu Jerat Percintaan,” katanya.
Rakaman yang diadakan di Studio 1, Astro pada 13 Ogos lalu menyaksikan Faizal dan Siti berganding mempersembahkan lagu Lucky, medley Mahakarya Cinta dan Dialah Dihati secara duet.
Selain, Faizal sendiri mempamerkan kehebatan vokalnya secara solo menerusi lagu Sampai Syurga dan Bercinta yang sedang hangat di radio.
Dia turut tampil berduet bersama Apek dengan menyampaikan lagu Suratan Atau Kebetulan dan Menjelang Hari Raya.
Apek yang mendendangkan lagu Engkau Laksana Bulan secara solo menganggap pembabitannya itu sebagai suatu langkah untuk lebih serius dalam bidang nyanyian.
“Saya tidak pernah menolak pelawaan Siti untuk bekerjasama dengannya. Ikutkan jadual seni saya sentiasa sibuk dengan pelbagai program.
“Tetapi setiap kali menerima undangan daripada Siti entah kenapa tarikh yang dicadangkan kebetulan saya sering kelapangan.
“Itu yang jadi saja itu, lagipun kerap bekerjasama kami sudah serasi sampaikan saya sendiri rasa tidak mampu untuk menolak,” katanya.
Persembahan itu tidak sempurna kiranya, jika Siti tidak membuat persembahan secara solo.
Seleksi lagu yang menjadi pilihannya, adalah Ku Mahu, Pastikan, medley Apa Guna Berjanji & Bosanova, Cintamu dan Di Taman Teman.
Mengenai konsep persembahan malam itu, Siti hanya menurut cadangan pihak Astro selaku penerbit program yang menginginkan suasana berbeza daripada kebanyakan program raya yang pernah dipersembahkan sebelum ini.
“Astro yang mahukan konsep sebegini, menyanyi dengan mengenakan sut dan tali leher.
“Bagaimanapun, lagu yang disampaikan adalah cadangan daripada kedua-dua belah pihak.
“Saya tak rasa konsep sebegini menjadi halangan kepada penonton kerana sebelum ini kebanyakan program raya yang saya jayakan acapkali menonjolkan konsep kemelayuan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: