 SEELAN, Ahmad Izham, Tomok dan Hafiz bersama penyampai Radio Hot FM dan Fly FM.
|
Seelan Paul berkongsi pengalaman kali pertama berpuasa
TAK salah berkongsi kegembiraan dengan mereka yang kurang bernasib baik. Lalu, mengambil keberkatan Ramadan yang sedang dilalui penuh tawaduk, majlis berbuka puasa yang sering dianjurkan syarikat tertentu terus menjadi tradisi yang sangat terpuji.
Dua rangkaian Radio Media Prima Berhad, Hot FM dan Fly FM meneruskan kelaziman itu pada 25 Ogos lalu. Selain mengundang media yang selama ini setia menyokong, majlis yang diadakan di Kelab Golf Perkhidmatan Awam ini turut dimeriahkan dengan kehadiran 30 insan istimewa.
Mereka yang dimaksudkan ialah ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya dari Baitul Kasih, Sungai Buloh. Jika selama ini, yang kerap diraikan ialah rumah kebajikan dari Kuala Lumpur, namun kali ini, dua stesen radio terbabit memilih rumah kebajikan luar kota pula.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Hot FM, Seelan Paul, apa yang terlaksana itu sebagai tanda tanggung jawab sosial kami sesama insan. Ia juga sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang lebih memerlukan di samping menerapkan sikap sentiasa beringat dengan apa yang dimiliki.
“Kita bantu sedaya mungkin setakat yang mampu. Sebenarnya banyak pilihan badan berkaitan dan kita cuba bantu yang mana boleh dengan memilih Baitul Kasih. Berdasarkan rujukan yang kita lakukan, ada sebab mengapa badan kebajikan ini yang terpilih,” kata Seelan.
 |
SUMBANGAN diserahkan kepada penghuni Baitul Kasih
|
Menariknya, pada hari majlis terbabit berlangsung, Seelan juga buat pertama kali dicabar untuk berpuasa yang benar-benar mencabar dirinya.
“Baru saya tahu betapa peritnya menahan lapar dan dahaga. Rasa lapar itu mungkin boleh diabaikan lagi. Saya pernah mencabar diri saya sebelum ini untuk menahan tekak yang kering supaya tidak dibasahi dengan air dan nampaknya cubaan berpuasa ini hampir menghilangkan semangat saya.
“Cabaran ini bermula apabila saya menggantikan Faizal Ismail untuk segmen pagi bersama Fara Fauzana baru-baru ini. Ketika itu ada pemanggil berbangsa Cina menghubungi konti dan memberitahu ini tahun keempatnya berpuasa biarpun tidak cukup sebulan.
“Malah di laman sosial Facebook saya pun ada yang mengharapkan saya untuk cuba berpuasa hanya dalam tempoh sehari. Untuk tidak menghampakan mereka semua ia seperti janji yang harus saya penuh. Menariknya kawan saya cakap, wajah saya ketika berpuasa tidak segarang wajah sebelum ini,” katanya.
Majlis ini turut dihiburkan dengan persembahan Tomok dan Hafiz. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar.
Pengalaman baru Kartini, Hunny
Kartini (penyampai Hot FM)
Ramadan kali ini berbeza sekali kerana sudah berumah tangga. Biarpun tinggal berasingan dengan keluarga, ibunya suka jika Kartini dan suaminya, Nur Sulhi Jasmin atau Sol datang berbuka puasa di Bandar Utama. Apatah lagi, rumah mereka di Kota Damansara mengambil masa sekejap untuk sampai ke Bandar Utama. Untuk bersahur, Kartini dan suaminya bersikap praktikal memanaskan kembali makanan yang ada.
Tahun ini Kartini akan beraya di kampung suaminya di Johor Bahru dan seterusnya beraya di kampungnya, Petaling Jaya. Jika tahun lalu, Tini terpaksa bekerja pada musim raya bagaimanapun, tahun ini, Tini mendapat cuti lima hari. AG, Ikhwal dan Fara Fauzana akan bertugas raya kali ini.
Sudah enam bulan berkahwin.
Hunny Madu (penyampai Fly FM)
Seperti Kartini, Hunny Madu juga menyambut Ramadan sebagai tunangan orang. Ketika artikel ini ditulis, Hunny hanya sempat berbuka puasa sekali saja dengan tunangnya. Itupun bersama ahli keluarganya yang lain. Memilih untuk tinggal bujang, Hunny juga lebih gemar memasak sendiri. Ia sebagai gambaran bahawa penyanyi dan pelakon ini sebenarnya sudah bersedia untuk memikul tugas sebagai isteri.
Kata Hunny, dia akan menamatkan zaman bujang April tahun depan. Tahun ini, Hunny akan pulang beraya di Kota Bharu, Kelantan selama dua minggu dari 14 hingga 26 September depan.
Katanya lagi, minatnya terhadap bidang memasak sudah lama. Hanya dengan menonton Asian Food Channel, Hunny cepat belajar menyediakan menu ringkas. Antara menu yang pernah dimasaknya ialah sambal ikan salmon, teriyaki sayur-sayuran dan mihun.
Bertunang dengan ahli perniagaan bernama Khairul Azhar Abdul Wahid tanggal 13 Jun lalu.
Aktiviti menarik Hot FM sepanjang Ramadan:
Selain majlis berbuka puasa, Hot FM turut mengatur majlis berbuka puasa bersama 100Plus membabitkan empat lokasi dari Utara, Lembah Klang dan Pantai Timur. Seramai enam pemenang bertuah akan terpilih untuk menjadikan rumah mereka sebagai tempat berbuka puasa.
Ketika ini turut bersiaran Hot FM Radiopera yang dibawakan khas oleh Astro bagi musim kedua. Judul musim ini, Macam Macam Cinta - Bukan Sekuel. Drama radio yang disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat ini menampilkan penyampai radio Hot FM di samping Farah Diana, Gambit dan ramai lagi. Ia disiarkan jam 8.40 pagi dan ulangannya 3.40 petang.
Majlis berbuka puasa Iftar anjuran Courts akan diadakan bulan depan di cawangan premis kedai itu di Setapak, Kuala Lumpur. Pada masa yang sama peraduan melengkapkan slogan unik turut terbuka kepada 250 orang bakal pemenang.
Hot FM Bazar Ramadan yang dilaksanakan tahun lalu di Kuantan, sekali lagi diadakan tahun ini tanggal 12 September depan dengan kerjasama Hotlink di Kelantan. Acara ini akan membabitkan penyampai radio Hot FM dan rakan artis Adam, Nubhan dan kumpulan Sofaz bergandingan untuk menjual barangan di gerai yang akan dibina khas. Hasil jualan akan diagihkan kepada rumah anak yatim terpilih.
Maklumat lanjut layari, www.hotfm.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: