
REVALINA S TEMAT. Ramai yang tidak mengenali siapa gadis manis ini sehingga diperkenalkan sebagai pemain karakter Bawang Putih dalam drama atau sinetron Bawang Merah Bawang Putih.
Sinetron tersebut telah membuatkan anak ketiga daripada empat beradik ini membikin fenomena di Malaysia. Bawang Putih yang teraniaya begitu disayangi dan sehingga kini, Bawang Putih masih menjadi nama panggilan gadis ini.
"Saya tidak kisah digelar Bawang Putih. Saya tak sangka karakter dan sinetron tersebut cukup popular di Malaysia dan akhirnya saya jadi popular sama," luah Revalina yang senang disapa Reva, mengenang populariti yang dikecapnya saat drama tersebut ditayangkan dua tahun lalu.
Mengajak pelakon ini bercakap tentang lelaki dalam hidupnya, Reva akui lelaki amat dekat dengannya.
Profil sebagai gadis cantik sepertinya pernah diisi dengan percintaan bersama jejaka Arab bernama Kemal Idris dan anggota keluarga bangsawan, Panji Trihatmodjo, yang merupakan putera Bambang Trihatmodjo, seorang jutawan Indonesia. Bagaimanapun, hubungan kedua-duanya putus begitu sahaja.
Sebaliknya, Reva kini bahagia berkongsi kasih dengan seorang lelaki biasa, pelakon dan pelawak terkenal, Ringgo Agus Rahman. Katanya bukan harta atau ketampanan seorang jejaka yang dicari. Tetapi cukup dengan kesederhanaan dan perasaan menghormati antara satu sama lain.
"Saya menilai lelaki daripada personaliti mereka. Bukan wang ringgit atau rupa paras. Saya tidak akan memaksa diri saya untuk bercinta dengan lelaki kaya dan tampan tetapi hati saya kosong.
"Makanya, saya melihat keserasian bersama Ringgo," ucapnya yang sudah dua setengah tahun menjalin hubungan serius bersama lelaki itu.
Bagaimanapun, dia tidak menolak sikap materialistik seorang wanita itu wajar. "Tapi jangan berlebihan. Cukup sekadar seorang lelaki yang menjadi ketua keluarga kelak mampu menyediakan segalanya," tambah Reva.
Mengaku sudah lali digosip dengan pelbagai lelaki, Reva memberitahu gosip yang mendakwa dia sudah berkahwin dengan seorang kerabat diraja Malaysia pada tahun lalu paling tidak masuk akal.
"Saya tidak tahu bagaimana gosip itu muncul. Ya, saya kenal kerabat tersebut, malah anak dan isterinya juga. Tak mungkinlah saya akan bernikah dengan suami orang," tegasnya.
Menanti karakter psiko
Sudah mula berpuasa penuh sejak di sekolah rendah, kata Reva, hal yang paling disukai tentang Ramadan adalah ganjaran ibadat yang diperoleh pada bulan mulia ini.
Pahala berpuasa diperoleh. Nikmat menjamah juadah yang jarang ada pada bulan-bulan lain saat berbuka puasa juga diperoleh. Bonus ganjaran kemudian menjadi meningkat dengan bertarawih.
"Amalan-amalan ini yang lebih membekas di hati semakin saya dewasa. Saya semakin mengerti nikmat Ramadan yang sebenar," ujarnya yang wajib berbuka di rumah bersama keluarga pada Ramadan pertama dan terakhir.
Malah beritahunya lagi, aktiviti membeli pakaian baru untuk Aidilfitri tidak lagi mengujakan seperti zaman kanak-kanak. Sebaliknya, dia senang memakai pakaian yang sedia ada atau sekurang-kurangnya hanya membeli sehelai persalinan baru.
Kata Reva: "Apabila sudah dewasa, perkara yang saya pentingkan berbanding membeli pakaian adalah amal ibadat yang berjaya saya kumpulkan sepanjang Ramadan."
Ditanya tentang aktiviti seninya sepanjang Ramadan, menurut Reva yang lebih senang bekerja sewaktu Ramadan kerana mampu membuat mindanya terlupa tentang puasa: "Tahun ini, saya hanya memberi fokus terhadap lagu ketuhanannya yang berjudul Semua Kerena Mu dan lagu Taqwa yang didendangkan bersama Intan Nuraini dan Melanie Putria."
Pertama kali menyanyi, dia tidak percaya diri, tetapi mendengar pujian yang memberangsangkan tentang kebolehannya, dia teruja. "Tapi saya lebih suka berlakon ya. Mungkin sudah selesa," tegasnya.
Malah Reva menuturkan, usai Aidilfitri kelak, dia akan masuk ke lokasi penggambaran filem ketuhanan yang bakal menggandingkannya bersama Raffi Ahmad dan Sandra Dewi.
Katanya: "Saya mahu menjadi pelakon yang versatil. Bukan sekadar menjadi karakter baik, tapi juga mampu membawa karakter hitam. Saya menanti karakter psiko."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: