Sunday, September 13, 2009

Eja timang puteri




SEMPENA rezeki bulan yang mulia, Ramadan al-Mubarak, pelakon cantik Siti Shahrizah atau mesra disapa Eja, 37, selamat menimang cahaya mata setelah mendirikan rumah tangga selama 10 tahun.

Doa seorang isteri yang mendambakan zuriat sendiri di Tanah Suci Mekah sewaktu menunaikan umrah akhirnya termakbul. Eja dan suaminya, Mohd. Silahuddin Jamaluddin akhirnya menimang puteri penyambung zuriat yang lahir pada pukul 1.36 petang, 3 September lalu.

“Sewaktu menjalani ibadat umrah, tiba-tiba saya rasa sebak dan sedih. Terdetik di hati saya untuk rasa kehidupan yang lain dan saya rasa bersedia untuk menjadi ibu,” ujarnya. Bayi seberat 2.69 kilogram itu adalah pelengkap hidup Eja yang selama ini turut menjaga dengan penuh kasih sayang kedua-dua anak tirinya, Khatijah, 17 dan Shane, 13.

Spekulasi yang selama ini berterbangan di awangan tentang status Eja akhirnya terlerai dengan kedatangan si comel. Eja sudah 10 tahun menjadi isteri dan 12 tahun bergelar selebriti.

Kini bergelar ibu, Eja yang lahir pada 18 Januari 1972 bahagia melayari bahtera perkahwinan dengan lebih aman dan tenang.

Selain sibuk belajar menjadi ibu, Eja turut boleh dilihat sibuk di layar kaca. Lakonan terbarunya adalah sebagai Azrin dalam drama bersiri 26 episod yang berjudul Wadi Unung bersama Intan Azura dan diarahkan oleh Raja Ahmad Alaluddin.

Drama itu mula bersiaran sejak 5 Ogos lalu pada pukul 6 petang di Astro Prima dan siaran ulangannya pada setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 1 petang. “Saya berterima kasih kerana diberi kepercayaan membawakan watak yang berbeza iaitu seorang tomboi.”

Kisah polemik dua sahabat ini memaparkan sinematografi yang menarik dan menonjolkan keindahan bandar Alor Setar dan negeri Perlis. Malah Australia turut dijadikan lokasi untuk Wadi Unung – merujuk kepada sebuah teratak kecil di tepi tasik yang digunakan untuk beristirehat.

Inti drama ini yang berlandaskan persahabatan dua gadis ini, kemudian menjadi cabang kepada isu kekeluargaan, percintaan, perkahwinan dan pengorbanan sehingga berupaya membangkitkan emosi yang meninggalkan kesan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: