| SYAWAL ini masih sama seperti tahun sebelumnya bagi Awal Ashaari. Setiap kali Aidilfitri menjelma, ia disambut di kota besar bersama keluarga tercinta. |
Berhari raya di hutan batu menjadi kebiasaan bagi Awal memandangkan keluarganya menetap di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
“Dulu mungkin Aidilfitri tidak begitu meriah apabila sekadar beraya di Kuala Lumpur. Kadangkala terdetik juga rasa sunyi apabila kebanyakan rakan pulang ke kampung bersama keluarga.
“Begitupun perasaan itu sudah lama berlalu. Malah setiap kali datangnya Aidilfitri, rumah keluarga di Kampung Baru pasti akan meriah dengan kunjungan saudara mara.
“Malah, saya pernah mengikut Que Haidar pulang ke kampungnya di Felda Taib Andak, Kulai, Johor. Walaupun suasana perayaan itu berbeza, namun terdetik pula rasa sedih mengenangkan keluarga ada di Kuala Lumpur.
“Jadi, rasanya beraya di sini lebih meriah, lebih-lebih lagi Kampung Baru bagaikan menjadi kampung saya sekeluarga,” katanya.
Demi peminat, Awal juga bakal mengadakan rumah terbuka di Aidilfitri ini. Bagaimanapun dek kesibukan kerja, tarikh dan waktunya belum ditetapkan.
“Insya-Allah, jika ada kesempatan saya pasti akan mengadakan rumah terbuka. Setiap minggu pertama Syawal rumah saya bagaikan rumah terbuka apabila dikunjungi peminat.
“Malah pernah dulu saya tidak dapat keluar beraya ke rumah rakan selama seminggu apabila setiap hari ada saja peminat datang beraya di rumah.
“Namun saya tidak pernah berasa penat atau mengeluh. Lagipun kehadiran mereka memeriahkan sambutan Aidilfitri keluarga saya di sini.
Sejak tiga tahun lalu pintu hatinya tertutup rapi apabila cinta dijalin tidak kesampaian, namun kini segala-galanya mula berubah.
Jelas Awal, dia kini mengenali hati budi seseorang. Malah sejak kebelakangan ini hanya gadis itu yang mampu mengetuk hatinya kembali.
“Siapa gadis berkenaan biar ia dirahsiakan dulu. Rasanya tidak elok saya berbicara secara terang-terangan mengenai hal ini. Lagipun kami dalam proses mengenali hati budi masing-masing.
“Begitupun kami sudah lama berkenalan. Malah saya pernah menguratnya dulu tetapi mungkin belum jodoh kami. Namun kini semuanya berubah dan saya tidak sangka dapat bertemunya kembali.
“Kini hubungan kami menjadi lebih rapat dan alhamdulillah dia akhirnya membuka hatinya untuk saya. Malah saya juga bagai mendapati peluang kedua bersamanya,” katanya tersenyum.
Tambah Awal, dia bersyukur kepada Allah kerana apa yang diingininya selama ini termakbul.
“Tidak keterlaluan jika saya mahukan seseorang mendampingi saya. Di kala saya mencari-cari teman pengubat hati, akhirnya Allah ketemukan saya dengannya. Malah apa yang terjadi ini juga bagaikan tepat pada waktunya.
“Perbezaan umur kami tidak jauh. Saya tua cuma dua tahun daripadanya. Yang menariknya, dia gadis yang memenuhi citarasa dan kriteria yang saya cari selama ini.
“Dia juga berdikari, lembut, memahami dan penyayang. Malah saya juga menyukai sifatnya yang sentiasa berterus terang dan tidak mengada-ngada,” kata Awal yang merancang mahu menamatkan zaman bujang pada usia 30 tahun.
Bakat anak seni ini tidak perlu disangkal lagi. Disebabkan itu juga dia sentiasa menjadi antara individu pilihan pengarah, produksi dan televisyen tempatan bagi menjayakan program mereka.
Begitupun, menurut Awal, minat utamanya adalah dalam bidang pengacaraan biarpun pada mulanya dia terbabit dalam lakonan.
“Secara jujurnya saya lebih meminati bidang pengacaraan lebih daripada lakonan. Bagi saya bidang ini membuatkan saya jadi diri yang sebenar dan tidak perlu bersusah payah berlakon bermacam-macam watak.
“Malah saya juga mengimpikan program kelolaan sendiri seperti mana pengacara popular lain miliki. Insya-Allah, jika ada rezeki nanti saya mampu memperolehnya.
“Begitupun saya tidak mahu melupakan bidang lakonan, di mana bidang inilah yang menaikkan nama sama dalam industri,” katanya.
Sehingga kini Awal sibuk mengendalikan beberapa program berbentuk majalah dan bual bicara. Dia turut mengendalikan program Rentak Bollywood yang disiarkan menerusi saluran B4U, Astro setiap Jumaat, jam 7 malam.
Jejaka ini juga mengendalikan empat musim program Generasi Y yang disiarkan setiap Sabtu, jam 3 petang di TV1.
Malah Awal turut bersyukur apabila diberi kepercayaan mengendalikan program Sehati Berdansa untuk musim ketiga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: