Sunday, September 27, 2009

Rindu Zizie, Farah


HASRAT dua pelakon jelita ini menyambut Aidilfitri bersama seperti tahun lalu tidak kesampaian apabila hanya Zizie Ezette pulang ke Johor Bahru.

Pada mulanya sahabat sehati sejiwa ini bersetuju untuk sama-sama pulang ke selatan tanah air. Namun keluarga Zizie mengubah perancangan beraya di ibu kota, sekali gus mempengaruhi keluarga Farahdhiya atau lebih mesra disapa Farah untuk mengambil keputusan sama.

Pun begitu beberapa hari lalu Zizie terpaksa akur dengan permintaan abangnya supaya mereka sekeluarga pulang ke Johor Bahru kerana sambutan perayaan lebih terasa jika diraikan bersama keluarga mereka di Johor Bahru.

Biarpun berat hati terpaksa mengecewakan Farah, Zizie tiada pilihan. Mujur Farah memahami situasi rakannya.

“Terus-terang saya rasa bersalah dengan Farah, tapi tidak sampai hati pula menolak permintaan abang. Saya kena ikut suara majoriti, apatah lagi bukan selalu kami dapat berkumpul seperti hari ini.

“Memandangkan datuk dan nenek sudah tiada, kami beraya di rumah Mak Long, kemudian baru ke rumah adik beradik mummy yang lain. Bila ke rumah saudara mara, kena sediakan duit raya lebih sikit sebab ramai anak buah. Nanti ada pula yang merajuk kalau tak dapat duit raya.

“Bagaimanapun sebelum ke rumah Mak Long, kami anak beranak bermaaf-maafan dulu. Amalan yang besar beri duit raya kepada adik masih diamalkan hingga kini. Sudah tentu saya gembira kerana dapat duit raya daripada abang. Lepas beraya dengan keluarga, saya biasanya pergi berurut,” kata Zizie.

Biarpun ada yang berpendapat kemeriahan sambutan perayaan lebih dinikmati kanak-kanak, lain pula pandangan aktres putih gebu ini. Baginya, soal usia bukan penghalang untuk menikmati detik indah itu, malah sewajarnya ia diraikan dengan penuh keriangan.

“Pernah satu ketika dulu sambutan Aidilfitri dirasakan tawar apabila datuk, nenek dan bapa tersayang tidak ada lagi di sisi, namun saya tersedar kenapa perlu begitu. Hari raya hanya setahun sekali, ini masanya kita mengeratkan silaturahim dan saling bermaafan.

“Sejak itu saya akan pastikan sambutan perayaan sentiasa meriah seperti zaman kanak-kanak dulu. Untuk menyemarakkan lagi ‘mood’ itu, saya dan keluarga tidak kisah berhabis membeli pakaian, kuih muih dan keperluan lain.

“Jangan tak percaya, kali ini saya beraya sakan dengan 10 pasang baju yang ditempah sehari sebelum puasa, malah kami adik beradik masih main bunga api.“Bagi mengelak pembaziran seperti sambutan sebelum ini, saya hanya menempah enam jenis biskut dan beberapa jenis kerepek dan kek. Sebelum ini 10 jenis biskut sampai Aidiladha pun tak habis lagi,” kata anak ketiga daripada empat beradik ini.


Berkongsi memori lebaran, pelakon serba boleh ini merindui detik indah bersama arwah datuk dan nenek kesayangannya. Ketika kecil dia menetap bersama mereka yang besar jasanya di Batu Pahat.

“Hati saya sayu setiap kali terkenang arwah datuk dan nenek. Mereka kejutkan saya awal pagi, malah kami menikmati juadah kegemaran sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid berhampiran.

“Bila mereka tidak ada, saya dan keluarga beraya di Kuala Lumpur tetapi sambutan di kota besar tak sama seperti di tempat kelahiran mummy, sebab itu seboleh mungkin kami mahu beraya di Johor.

“Insya-Allah kami akan pulang semula ke Kuala Lumpur pada hari raya ketiga. Tidak sabar rasanya mahu menikmati juadah kegemaran kami yang dimasak mummy iaitu ayam masak merah, kuah kacang dan sayur lodeh.

“Sama seperti sambutan sebelum ini, kami akan mengadakan rumah terbuka selama tiga hari. Maklumlah kediaman tidak mampu menampung ramai jemputan, jadi terpaksa dibuat secara berperingkat. Akan ada hari tetamu membabitkan rakan mummy, rakan saya dan rakan adik serta abang,” kata pelakon Spa Q ini.

Berbeza pula dengan Farahdhiya, biarpun tidak dapat pulang beraya di Johor Bahru, dia tetap memastikan sambutan raya kali ini tetap ceria. Sebagai anak gadis tunggal, tanggungjawab dipikul ketika perayaan menjelang cukup besar, apatah lagi dia paling sibuk di dapur.

Siapa sangka pelakon berdarah kacukan ini cekap memasak, malah dia menggantikan tugas ibu menyediakan juadah untuk dinikmati keluarga dan tetamu.

“Memang dari kecil saya suka masak dan tidak kisah sediakan makanan dalam nisbah besar. Sebenarnya sudah lama saya ambil alih tugas memasak daripada ibu. Setiap kali raya, saya sediakan juadah wajib keluarga iaitu rendang, kuah kacang, kuah lodeh, ayam masak kelio, ayam masak merah dan serunding kelapa.

“Kebetulan pula ibu saudara turut beraya di rumah saya, jadi kami masak bersama-sama. Tahun ini saya tergesa-gesa melakukan persiapan kerana terikat dengan penggambaran sitkom di Bawah Ketiak Isteri musim kedua yang berhenti seketika Jumaat lalu dan akan disambung semula minggu depan.

“Bayangkan, daripada lokasi penggambaran saya perlu mengambil baju dan kuih yang ditempah,” katanya yang menyediakan lapan baju kurung dan kebaya.

Hos program Dua Insan saluran Muzik Aktif ini bagaimanapun menyifatkan kemeriahan Aidilfitri lebih dirasai anak kecil dan zaman itu sudah lama ditinggalkan.

Ada ketikanya dia merindui saat itu, lebih-lebih keseronokan mengumpul duit raya dari rumah ke rumah.

“Mana mungkin saya dapat kembali ke zaman itu. Dalam usia begini, lebih kepada tanggungjawab dengan saya pula menyediakan duit untuk anak kecil.

“Selain bertandang ke rumah saudara dan beberapa rakan, saya mahu pusing satu KL. Seronok berjalan bila KL lengang, saya tidak perlu menempuh kesesakan lalu lintas dan bebas ke mana-mana saja.

“Ada juga perancangan mengadakan rumah terbuka, tapi saya perlu meneliti jadual penggambaran terlebih dulu,” katanya yang masih kekal sebagai pelakon drama popular TV3, Spa Q, musim terbaru yang kini beralih ke Astro.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: