Sunday, September 27, 2009

Linda tak memilih


SESI fotografi yang diadakan Selebriti bersama Linda Hashim berlangsung meriah. Sikap ramah, ditambah pula keakraban terjalin antara Selebriti dengan pelakon ini yang kebetulan datang dari kampung sama, menambah lagi bibit kemesraan.

Biarpun lama mengenalinya, pemilik nama Norhazlinda Hashim tetap berhati-hati ketika berbicara hal kerjayanya. Dalam nada merendah diri, Linda menyifatkan dirinya masih hijau dalam dunia lakonan.

Bagi gadis kecil molek ini, masih banyak perlu dipelajari untuk menambah ilmu lakonan. Justeru dia menjadikan lokasi penggambaran sebagai pusat menambah ilmu selain berguru dengan pelakon senior.

Biarpun mahu mencari tapak lebih kukuh, pelakon siri Duranni, Ayahku Kahwin Lagi dan Ladolce Amira ini tetap berhati-hati mengatur langkah. Bahkan berkali-kali tawaran dihulurkan kepadanya ditapis terlebih dulu sebelum menerimanya.

“Soal kecil atau besar watak, saya tidak kisah kerana bagi saya setiap karakter ada peranannya dan cabaran tersendiri. Yang penting, tanggungjawab yang diberi saya laksanakan bersungguh-sungguh.

“Dalam diari karier saya, tiada istilah memilih watak atau berkira soal bayaran. Saya sedar, sebagai orang baru banyak lagi perlu dipelajari.

“Dengan perkembangan karakter yang pelbagai, diharap persembahan saya dapat meninggalkan impak tersendiri kepada penonton,” katanya yang sinonim dengan watak emosi.

Di sebalik wajahnya yang tenang, siapa sangka anak jati Perak ini berpeluang membina nama di negara seberang. Memegang watak sebagai Lyana dalam drama Melodi Terindah terbitan Double Vision Sdn Bhd memberi cabaran berbeza.

“Alhamdulillah saya diberi peluang membintangi drama 20 episod itu. Penggambaran sudah selesai dan hanya menunggu permit kerja untuk musim kedua.

“Bagaimanapun perkara ini masih dalam perbincangan dan jika dirasakan sesuai, saya akan menerima tawaran meneruskan penggambaran untuk musim baru,” katanya.

Menyentuh sambutan Aidilfitri, Linda berhari raya di tanah kelahirannya, Gopeng selama seminggu. Tradisi pulang ke kampung tidak pernah dilupakan, malah sesibuk mana sekalipun dia pasti mencari ruang untuk berkumpul bersama sanak-saudara.“Saya membesar di Kuala Lumpur tetapi ibu saya orang Gopeng manakala ayah pula Manjoi, Ipoh. Setiap kali lebaran, kami beraya di Gopeng dulu kemudian baru bergerak beramai-ramai ke Manjoi.


“Bagi saya, tiada yang lebih indah daripada dikelilingi kira-kira 20 sepupu yang masih kecil. Macam-macam kerenah mereka yang mencuit hati saya, malah haru-biru jadinya bila mereka mengejar saya untuk mendapatkan duit raya,” katanya.

Tambah Linda, tahun ini dia tidak akan mengadakan rumah terbuka lantaran jadual seninya terlalu padat, namun akan cuba untuk melaksanakannya jika ada kesempatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: