Saturday, September 12, 2009

Madonna kedua


PENYANYI Amerika, Erika Jayne mencipta fenomena tersendiri dalam dunia seni sejak kemunculan menerusi single pertama, Rollercoaster pada 2007.

Tanpa disangka lagu berentak rancak dan pop dance itu mendapat sambutan positif peminat seterusnya mendaki kedudukan pertama carta Billboard Hot Dance Club Play.

Erika dilahirkan di Atlanta, Georgia mewarisi bakat seni daripada ibu dan neneknya.

Penampilan bintang baru dengan rentak muzik rancak dan lebih segar itu turut menjadi kegilaan ramai remaja.

Pencapaian Erika dibuktikan menerusi pencapaian single keduanya, Stars yang mencatat rekod dalam kedudukan pertama Billboard.

Tiga lagu yang menjadi pilihan, Give You Everything, Stars dan Rollercoaster turut dimuatkan dalam album terbarunya, Pretty Mess yang dipasarkan sejak 11 Ogos lalu. Lagunya turut menjadi pilihan untuk runut bunyi bagi filem Deal dan The Neighbor.

Gadis yang terkenal dengan imej berambut perang dan berfesyen tersendiri pernah menuntut dalam jurusan seni persembahan di Sekolah Tinggi Utara Atlanta.

Erika menghasilkan lagu menerusi kerjasama penerbit berpengalaman seperti Eric Kupper dan Peter Rafelson yang pernah mencipta lagu buat penyanyi terkenal Madonna, Britney Spears serta Stevie Nicks, selain turut mendapat bantuan penulis lirik Kanada, Esthero.

Tidak ramai yang mengetahui Erika sudah menunjukkan bakat seni sejak zaman kanak-kanak lagi.

Dia mula meminati bidang seni selepas menjadikan ibu yang juga pemain piano dan guru muzik sebagai inspirasi.

"Ibu saya masih muda ketika itu. Kecenderungan dan minat terhadap muzik cukup tinggi. "Dia sentiasa mempunyai koleksi lagu terbaru dalam keretanya. Muzik sentiasa dekat dalam jiwa dan kedengaran dalam kediaman kami. Malah, fenomena muzik dalam keluarga cukup hebat.


"Pada usia tiga tahun, saya sudah mula berjinak dengan muzik dan menyuruh ibu untuk membimbing saya bermain piano.

"Secara tidak dirancang kami tampil dengan satu persembahan membabitkan penyertaan keluarga. Saya selalu menyanyikan lagu Little Miss Muppet.

"Kemudian ketika berusia lima tahun saya memenangi anugerah Persembahan Terbaik Peserta Cilik dalam kelas tarian manakala persembahan nyanyian pertama saya ketika menyampaikan lagu Dolly Parton, 9 to 5 dalam acara bakat baru ketika menuntut di tingkatan tiga. Tidak dinafikan sejak kecil lagi saya mahu bergelar penghibur," katanya.

Kejayaan dua singlenya yang mencatat kedudukan teratas dalam carta Billboard membuatkan ada yang membandingkannya dengan ratu pop, Madonna.

Aksi tarian seperti lakonan bintang Hollywood, Nicole Kidman sebagai Moulin Rounge selain persembahan persis penampilan Gwen Stefani ternyata memukau banyak pihak.

Dia turut menyertai senarai dalam Pencapaian Rekod Artis Mingguan Billboard di samping Lady Gaga dan The Pussycat Dolls.

Erika turut menghasilkan lirik lagu untuk album terbarunya, Pretty Mess seperti dalam lagu Time to Realize yang turut mendapat bantuan pemuzik, Sheila E.

Katanya, kerjasama itu ibarat satu mimpi yang menjadi kenyataan.

Sejak melihat persembahan penyanyi berkenaan dalam filem, Purple Rain, dia sudah teruja dan cukup mengagumi bakat seni untuk bekerjasama dengannya.

Mengulas lanjut mengenai beberapa lagu yang terdapat dalam album terbarunya itu, Erika menyifatkan setiap lagu mempunyai kaitan dengan dirinya dan tersurat makna tersendiri.

"Lagu Run Along berkaitan kampung halaman di Atlanta. Saya sangat suka menetap di kampung. Ia secara tidak langsung mengimbau kenangan saya ketika zaman kanak-kanak dulu.

"Sementara I Love Myself mengenai peristiwa yang berlaku di sekitar Perancis. Manakala Rollercoaster adalah antara lagu yang ringkas, 'catchy' dan menghiburkan.

"Just A Phase pula lagu yang membayangkan mengenai tekanan manakala Everybody Wants Some merangkumi persembahan keseluruhan.

"Saya harap semua lagu dalam album ini mendapat maklum balas positif daripada peminat dan penggemar muzik," katanya.

Sambil menjelaskan album berkenaan mempunyai hubung kait dengan wanita kerana setiap daripada mereka mempunyai impian untuk menjadi puteri, disayangi, berpengaruh dan dihormati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: