Saturday, September 12, 2009

Bisnes halang cari calon isteri


BUAT masa ini, fokus dan keutamaan Zed Zaidi, 29, adalah mengembangkan lagi perniagaannya, tetapi tidak akan meninggalkan dunia seni.

Bagi Zed Zaidi yang popular menerusi drama Sembilu dan Sembilu Kasih, bidang seni memainkan peranan penting untuk memperkenalkan perniagaannya kepada pelanggan.

“Saya sudah berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sebelum bergelar artis lagi. Ternyata kerjaya seni saya banyak membantu perniagaan saya.

“Apapun, saya perlu bijak membahagikan masa antara lakonan dan perniagaan, sekali gus memastikan kedua bidang yang diceburi bergerak seiringan,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis buka puasa, baru-baru ini.

Jejaka kelahiran Gombak, Selangor ini berkata, kesibukan menguruskan perniagaan juga menyukarkannya mencari calon isteri dan membina kehidupan berumahtangga.

Justeru, tidak hairanlah sampai hari ini, pelakon kacak yang pernah digosipkan dengan pelakon Hetty Sarlene masih lagi selesa hidup membujang.

“Selepas putus cinta sebelum ini, saya masih belum bertemu pengganti.

“Antara sebab saya sukar mencari teman wanita, mungkin kerana kesibukan saya kembangkan perniagaan.

“Bukannya saya cerewet dalam soal mencari teman wanita tapi untuk mencari wanita yang ada keserasian dengan saya, itu yang susah.

“Sebenarnya, saya tidak kisah sama ada wanita itu golongan artis ataupun orang biasa, apa yang penting kami serasi bersama.
“Keluarga pula tidak kisah kalau saya kahwin lambat kerana mereka tahu saya sibuk menguruskan perniagaan sedia ada,” katanya.

Mengenai perkembangan kerjaya seninya, Zed berkata, dia terbabit dengan penggambaran drama bersiri A.D.A.M untuk saluran RTM pada Ramadan ini.


Zed juga terbabit dengan pementasan Impak Maksima Muzikal yang akan dipentaskan di Esplanade, Singapura pada 17 dan 18 Oktober nanti dan penggambaran filem Semerah Cinta Stiletto.

Teater muzikal yang diadaptasi dari filem Impak Maksima ini pernah dipentaskan di Istana Budaya, sebelum ini. “Saya juga bakal menjadi duta beberapa produk baru selepas Aidilfuitri nanti. Tapi, saya belum boleh mengumumkan produk berkenaan buat masa ini,” katanya.

Drama lain lakonannya tahun ini ialah Kisah Yusuf, Impak Maksima VS Rempit dan Julia Juli untuk TV3 serta drama bersiri sebanyak 24 episod Teratak Mahligai (RTM).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: