SEKIRANYA Ramadan tahun lalu amat bererti buat pasangan Khairul Nizam Mohammad Wahi atau Khai, 30, dan Rosmayati Sidik atau Rosma, 24, kerana pertama kali menyambut sebagai suami isteri, kedatangan bulan mulia kali ini membawa lembaran baru kehidupan mereka dengan kelahiran bayi sulung pada Julai lalu. |
Bergelar ‘daddy’ dan ‘mami’ kepada bayi lelaki, Muhammad Amzar Danish, pasangan ini akui permata hati mereka itu menyinari lagi nikmat sambutan Ramadan kali ini. Biarpun susah kerana keletah anaknya yang kuat merengek, namun mereka menganggap itu adalah hiburan berharga.
Sudah namanya budak kecil, menangis tidak dapat dipisahkan.
Bagi Khai dan Rosma, memahami hakikat mereka juga seperti itu dulu, hari-hari dihadapi penuh makna dan bererti. Apatah lagi, bukan semua pasangan dapat merasai kebahagiaan sebegini.
Menceritakan detik manis pengalaman pertama menjalani Ramadan bersama ‘orang baru’, kata Rosma, dia gembira apabila Khai tidak menyerahkan seratus peratus penjagaan Danish kepadanya.
“Saya baru sahaja habis pantang. Dalam tempoh itu, Khai banyak bantu dari segi juadah berbuka mahupun sahur. “Disebabkan dalam pantang, hanya beberapa kali saja saya masak. Selalunya, Khai akan beli juadah dekat kawasan rumah saja.
“Kami malas hendak pergi bazar Ramadan kerana orang ramai sangat.
“Nasib baik Khai tidak cerewet dalam perkara berkaitan makanan. Dia makan apa sahaja asalkan yang halal. “Menjalani ibadah Ramadan dengan Danish memang seronok, biarpun dia selalu buat perangai apabila tiba sahaja masa berbuka.
“Apa yang menghairankan, masa lain dia boleh tidur hinggalah beberapa jam pun, tetapi, apabila tiba masa berbuka, ketika itulah dia menyibuk bangun dan merengek minta perhatian seperti berpuasalah pula.
“Jadi, terpaksalah kami bergilir-gilir berbuka. Disebabkan dia asyik menangis, ada sekali itu kami ingat dia deman atau sakit perut.
“Begitu juga kalau berjalan-jalan di luar. Ketika itu, elok sahaja Danish tidur. Tetapi, apabila sampai di rumah, mata dia terbuka luas, segar bugar. Sampai sekarang, asal tepat pukul 12 tengah malam, dia akan sedar hinggalah pukul 6 pagi. Jadi, kami terpaksalah bergilir-gilir jaga bayi kecil ini.
“Tahun lalu, kami berbuka dan bersahur cuma berdua sahaja. Keadaan di tempat meja makan, sunyi dan hanya terdengar bunyi garpu kerana masing-masing menumpukan sepenuhnya pada juadah. Tetapi, kali ini suara Danish memeriahkan suasana berbuka dan bersahur,” beritahu Rosma selepas majlis berbuka puasa dan pelancaran album raya berjudul Lebaran Illahi Aidilfitri di Hotel Quality, baru-baru ini.
Beritahu Rosma, ketika ini dia berusaha mengurangkan berat badannya selepas bersalin.
Biarpun di pasaran terdapat pelbagai jenis pil diet, tetapi Rosma lebih gemar bersenam.
“Ketika mengandung, berat badan naik dari 46 kilogram (kg) ke 63 kg. Habis saja pantang, Alhamdulillah dapat turunkan sebanyak 10kg dan kini berat badan saya 53 kg. Sasaran berat badan adalah 48 kg kerana rasanya itu sudah ideal dengan ketinggian saya.
“Saya memang tidak ambil mana-mana pil diet kerana lebih suka berlari untuk kuruskan badan.
“Memang dari dulu lagi, saya amalkan senaman berlari selama dua jam sebelum tidur. Apabila buat tiap-tiap hari, akhirnya sudah jadi rutin pula.
“Kalau tidak buat, rasa janggal sangat. Untuk kempiskan bahagian muka pula, saya amalkan petua tepuk pipi dan nampaknya berhasil,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: