Sunday, September 27, 2009

Lynda tiada 'kelab' Datin


BUTIK ini memberi Lynda peluang untuk menunjukkan kesungguhannya dalam sesuatu pekerjaan.


BARU bergelar Datin sejak tiga tahun yang lalu, pereka fesyen, khususnya untuk perkahwinan, Lyndawati Kamarudin, 33, atau lebih dikenali sebagai Lynda Rahim, sudah merasakan perubahan pada hidupnya.

"Kalau orang tahu saya berstatus Datin, terus layanan yang diberikan berubah. Terasa layanan itu lebih mesra dan istimewa. Ia ketara.

"Tetapi pada kebanyakan masa, saya tidak memperkenalkan diri saya sebagai seorang Datin kerana saya tidak merasakan diri saya seperti seorang Datin," ujar anak kelahiran Ipoh, Perak, itu.

Lembut tutur katanya, wanita dengan berketinggian 156 sentimeter itu menjelaskan dia bukan seperti 'Mak Datin' yang sering distereotaipkan.

"Bukan semua Datin dapat membeli-belah sehingga puluhan ribu ringgit setiap kali tiba musimnya. Ada antara kami yang hanya membeli ketika perlu. Melainkan ada yang kami benar-benar suka, barulah kami beli.

"Tambahan pula, membeli-belah barangan mewah bukan sesuatu yang saya kejarkan kerana saya tahu betapa susahnya untuk mendapatkan wang. Bukan senang nak senang.

"Kalau sudah senang kena ingat semasa kita susah. Bagi saya tidak perlu membeli produk seperti Louis Vuitton atau Coach untuk dipakai dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Cukuplah apa yang perlu saja.

"Sebelum berkahwin, sejak muda lagi saya sudah biasa mencari wang saku sendiri. Saya jarang-jarang bergantung kepada sesiapa," kata anak kepada pasangan bekas polis dan suri rumah sepenuh masa itu.

Malah, butik Lyndarahim di Taman Dagang, Ampang, Selangor, menjadi bukti dia tidak boleh hanya duduk diam di rumah.

"Setahun saya jadi suri rumah. Selepas itu, saya mula pujuk suami supaya membenarkan saya melakukan sesuatu. Akhirnya dia setuju saya membuka butik. Memang dia yang suntik modal, tetapi saya bekerja keras untuk pusing modal itu bagi mendapatkan untung.

"Saya meminta suami memberikan saya tempoh setahun untuk melaksanakannya. Dan selepas setahun, jenama Lyndarahim sudah mula diterima masyarakat," katanya yang mengakui penajaan perkahwinan dramatis Sari Yanti menjadi titik tolak yang begitu bermakna untuk perniagaannya itu.

Hitam dan putih

Lynda juga tidak biasa dimanjakan dengan kemewahan harta benda.

"Sebelum ini saya tidak ada kad kredit. Sejak berkahwin sehingga sekarang, baru bulan ini saya diberi kad kredit oleh suami. Tetapi itu tidak bermakna selepas ini saya akan lebih rancak berbelanja.

"Saya lebih selesa berbelanja secara tunai. Dengan cara itu saya akan sedar berapa saya belanja setiap kali membeli-belah.

"Saya dan suami sama-sama cermat dan kami selalu saling mengingatkan satu sama lain agar tidak berbelanja untuk benda yang tidak perlu," dedahnya.

Bekas setiausaha di sebuah syarikat hartanah yang berkahwin dengan bekas presiden sebuah bank tempatan, Datuk Abdul Rahim Mohd. Zin, 46, itu mengakui dirinya seorang yang sangat ringkas.

"Kalau tidak menghadiri acara formal, saya hanya mengenakan sepasang jean dan baju T. Tetapi saya tidak dapat lari daripada warna putih, hitam atau kelabu.

"Anda tidak akan melihat saya memakai warna lain," ujar anak keempat daripada tujuh adik-beradik itu yang lebih cenderung kepada gaya anggun.

Kalau sudah bergelar Datin, kecantikan dan kesihatan diri tentunya menjadi antara subjek utama dalam perancangan harian.

"Saya memang menjaga kecantikan dan kesihatan diri, tetapi tidaklah membuat rawatan rambut dan kulit, manicure dan pedicure sehingga tiga kali seminggu. Apa yang saya dapat lakukan di rumah, saya buat di rumah.

"Contohnya membuat rawatan rambut. Ada banyak produk rawatan rambut yang dijual dalam pasaran. Mesin rawatan juga ada dijual. Apa salahnya membeli dan melakukannya sendiri di rumah?" ujarnya yang hanya mendapatkan bantuan pendandan profesional apabila perlu menghadiri majlis-majlis rasmi.


LELAKI yang kini menjadi teman baik Lynda.


Pembedahan plastik

Sejauh mana Lynda sanggup berkorban untuk kecantikan?

"Saya memang sangat mengimpikan peluang untuk melakukan pembedahan plastik, terutama pada mata, hidung dan payu dara. Untuk mata, saya mengharapkan agar dapat melakukan pembedahan untuk menggandakan kelopak mata.

"Untuk hidung, saya mahu memancungkannya dan untuk payu dara, mungkin saya akan berasa lebih yakin jika ia lebih besar.

"Tetapi suami saya mengatakan saya sudah cukup cantik. Dan setiap kali saya memikirkan hukum alam, motivasi itu menurun semula. Tetapi setiap kali melihat orang yang lebih cantik, motivasi itu datang semula.

"Saya berpendapat selagi seseorang itu tidak berasa yakin dengan fizikal dirinya, dan tidak dapat membawa dirinya dengan baik, kerana dia sebenarnya belum cukup cantik.

"Jadi selagi saya tidak melakukan 'penambahbaikan', saya akan terus berasa rendah diri dan tidak yakin dengan diri sendiri," ujarnya jujur.

Jarang bercampur dengan wanita berstatus Datin yang lain, Lynda mendedahkan banyak masanya dihabiskan bersama suami.

"Selain menguruskan perniagaan, aktiviti harian saya ialah melayan laman sosial Facebook," ujarnya berseloroh. Selebihnya, kata Lynda, masanya dihabiskan bersama suami setiap kali masa terluang mereka bertembung.

"Kami banyakkan aktiviti bersama. Sekarang saya aktif bermain golf dan menunggang kuda setelah mendapat pendedahan tentangnya daripada suami. Kami juga akan akan cuba seboleh-bolehnya untuk berkunjung ke gimnasium setiap minggu," kata Lynda.

Dek kerana pengalaman pahit dengan seorang teman baik, Lynda kini lebih senang menjadikan suaminya sendiri sebagai teman baik.

"Saya tak boleh ada teman baik kerana saya seorang yang sangat pemurah. Dulu saya sudah merasa ditikam dari belakang. Sekarang saya sukar hendak mempercayai sesiapa pun," ujarnya yang kini lebih betah untuk menjaga rumah tangga, peribadi dan tingkah lakunya sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: