![]() |
| ROSNAH dan Fadli lebih gemar perabot tempatan berbanding yang diimport. |

![]() |
| GAYA Inggeris kontemporari terserlah di ruang makan khas ini. |
ADA sebab anak kelahiran Negeri Di Bawah Bayu ini bergolak emosinya tatkala takbir bergema pada pagi Syawal lalu.
Dalam perasaan yang bertindih antara suka dan sedih, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, hari rayanya kali ini berlainan sekali.
“Semuanya serba baru. Pengalaman baru,” ungkapnya yang tersenyum manis menerima kunjungan Jurnal di kediaman barunya di Putrajaya baru-baru ini.
Menyarung busana sedondon berwarna merah jambu bersama suami, Fadli Juanas, 31, Rosnah turut berkongsi nostalgia sambutan hari lebaran di Papar, Sabah.
Meskipun Aidifitri tahun ini disambut di kediaman baru, hati Rosnah, 37, masih terasa kosong.
“Untuk pertama kali, saya beraya jauh daripada sanak saudara. Selalunya dari malam raya lagi, kami akan berkumpul beramai-ramai di rumah mak dan membuat persiapan akhir bersama.
“Tapi tahun ini tak dapatlah,” tuturnya yang tidak lekang dengan senyuman.
Menyambung bicara, Ketua Puteri UMNO ini memberitahu, juadah wajib pagi raya di kampung halamannya ialah lamban.
Makanan itu seumpama lemang tetapi lebih bersantan dan dinikmati bersama kuah kacang.
“Lamban memang wajib dihidangkan di Sabah. Ia sama seperti ketupat, rendang dan lemang yang menjadi juadah wajib di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Ceritanya lagi, raya tahun 1998 adalah paling sedih baginya kerana pada tahun itu beliau kehilangan bapa tercinta.
“Memang tak ada mood langsung tahun itu. Saya rasa kehilangan yang amat sangat.
“Jadi, jalan mudah melupakan kesedihan itu ialah dengan bekerja pada hari raya kedua,” ujarnya yang menggemari lagu raya dendangan Aishah, Pulanglah dan Satu Hari di Hari Raya nyanyian M. Nasir.
Kediaman rasmi Rosnah di Presint 10, Putrajaya, menampilkan hiasan dalaman berkonsepkan kontemporari Inggeris.
Gaya santai
Menggemari gaya santai yang ditonjolkan negara Queen Elizebeth itu, pasangan ini mengambil keputusan untuk mengecat semula banglo itu dengan rona pastel merah jambu demi membangkitkan nuansa cerah dan lembut.
“Sebelum ini, keseluruhan rumah ini dilatari warna hijau. Saya pula sangat sukakan warna putih, krim dan merah jambu. Saya mahu ia nampak lembut dan lebih feminin,” ujar Rosnah.
Walaupun mengimpikan warna-warna krim yang lembut terbancuh indah dengan kelopak bunga-bunga mawar bernada merah dan merah jambu mewarnai hampir keseluruhan ruang, bagi ruang tamu utama, Rosnah cuba menampilkan konsep yang kelihatan lebih formal, sesuai dengan portfolio yang dipegangnya.
“Saya memang gemarkan konsep Inggeris, tetapi jika keseluruhan rumah dipenuhi warna merah jambu dan langsir bercorak bunga, nampak terlalu santai pula.
“Namun, untuk ruang bersama keluarga, pasti tema itu jadi pilihan saya,” katanya.
Memanjangkan langkah ke ruang tamu utama, keselesaan jelas terpancar di sudut lapang di bahagian kiri kediaman itu.
Dengan gabungan sofa kulit berwarna putih gading dan meja kopi dengan kemasan kayu mahogani, sudut untuk meraikan tetamu itu tampak elegan.
“Ruang tamu ini saya bahagikan kepada dua supaya lebih mudah untuk kami meraikan tetamu,” ujar Rosnah.
Dipisahkan oleh meja konsol yang juga berwarna putih, ruang tamu kedua kelihatan lebih santai lebih-lebih lagi dengan kehadiran langsir polos serta pilihan kerusi kulit dan sepasang bangku klasik.
Biarpun lebih gemarkan hiasan ringkas, kebanyakan ruang dinding tidak dibiarkan kosong.
Sebaliknya, di banglo seluas 390 meter persegi itu tergantung banyak hiasan dinding termasuk piring bercorak bunga, bingkai lukisan berunsur flora dan tulisan khat berdakwat emas.
Di satu sudut lain, Rosnah dan suami menempatkan meja bujur berkerusi lapan dengan potongan Inggeris klasik mendominasi ruang.
Ruang tamu dan dapur pula dipisahkan oleh dapur kering yang dilengkapi sebuah kaunter bar dengan empat kerusi hitam berkaki tinggi.
“Kami juga sukakan bahagian dapur basah yang ada meja bujur berkerusi enam. Ia menjadi tempat untuk saya dan suami makan bersama,” ujar Rosnah.
Di bahagian luar rumah pula, pokok renek yang merimbum bertindak memagari persekitaran kediaman.
Dengan kerusi kerawang besi tempawan bercat hijau tua di luar rumah, ia menggamit ketenangan untuk mengambil angin kala lewat petang.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: