| ASSALAMUALAIKUM dan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Wah! Mesti meriah hari raya pembaca semua kan? Paknil pasti setiap pembaca merancang sambutan terbaik untuk dan keluarga. Ada yang impian tercapai menjelang raya, terutama yang ingin pulang ke kampung. |
Ketika ini kampung adalah tempat paling ideal untuk berhari raya. Bukan saja dapat bertemu ayah bonda dan adik beradik tetapi juga sahabat handai yang sudah lama tidak bertemu.
Bila berjumpa, pasti banyak cerita dikongsi seperti ada yang naik pangkat, berkahwin, beranak dan macam-macam lagi. Paknil dapat bayangkan adik remaja sibuk mengelilingi kampung dengan motosikal masing-masing, berkonvoi dari satu rumah ke satu rumah. Kadangkala lepas senja baru balik ke rumah.
Ada yang beraya di kampung tetapi tak mahu pakai topi keledar, haaa... ni yang nak kena bebel ni. Biar di mana sekalipun kita menunggang motosikal, keselamatan mesti diutamakan.
Ada anak muda yang pulang ke kampung memastikan kemunculan mereka mendapat perhatian ramai. Apa tidaknya, bila bekerja di kota besar mestilah tanggapan orang kampung gajinya pun besar. Malulah jika pulang tanpa menunjukkan sebarang kemajuan. Itu yang ramai mengambil kesempatan memperbaiki penampilan.
Terperanjat juga bila lihat si polan pulang dengan imej jauh berbeza daripada ketika dia di kampung. Mungkin ketika itu selekeh tetapi bila bekerja di bandar, si jejaka pulang seperti rusa masuk kampung. Maka, jadilah perhatian dan buah mulut ramai.
Tak sangka pula si mamat itu rupa-rupanya ada iras artis berhari raya. Begitu juga dengan anak dara, jangan terperanjat andai ada yang terserlah keayuan bila sesekali melaram. Lebih-lebih lagi bila potongan baju dan fesyen yang dikenakan mengikut gaya artis terkenal.
Mungkin ini yang menyemarakkan lagi suasana hari raya. Kalau dulu ada hanya bermotor ke bandar, tetapi kini ada yang berkereta pulang beraya. Kecanggihan kereta pula akan jadi perhatian rakan sebaya yang sudah lama tak jumpa. Dengan sport rim, sistem audio kereta yang berdentum, deruman enjin yang kuat dan aksesori terkini, menjadikan pemiliknya popular dalam sekelip mata.
Paknil dapat rasakan, ada yang berlawan-lawan sesama sendiri supaya kereta setanding dengan yang lain. Hai, tak duduk rumah gamaknya hari raya ini. Sudah pasti kereta yang menarik itu akan bergerak dari kampung ke kampung.
Itu belum masuk bab cerita pengalaman di tempat orang. Pasti kehebatan masing-masing dalam pekerjaan menjadi topik bualan, lebih-lebih lagi soal pangkat dan gaji. Ketika ini kita dapat lihat rakan sebaya melopong mengagumi pencapaian itu.
Jika sudah bekerja, jangan kedekut sediakan duit raya untuk adik dan anak jiran. Macam kita dulu, sanggup keliling kampung hingga senja semata-mata mahu mengumpul duit raya.
Kunjungan anak kecil bukan kerana mahu makan, tetapi menunggu huluran duit raya. Paknil melihat ini sebagai satu tradisi sihat kerana mengajar anak kita berkawan, bergerak secara berkumpulan dan kunjung-mengunjungi. Rugi rasanya jika anak kita diajar memerap di rumah menonton siaran TV dan bermain permainan video di hari raya.
Paknil perasan ada juga golongan yang berat hari beraya di kampung, antaranya bujang dan anak dara terlajak. Mungkin mereka belum bertemu jodoh sesuai.
Pesan Paknik, kalau boleh jangan tanya bila mereka nak naik pelamin kerana soalan ini mungkin buat mereka rasa malu dan kurang selesa.
Fahami perasaan mereka dan beri mereka peluang beraya dengan tenang tanpa merah muka. Takut nanti bila tidak tertanggung dihimpit soalan sama, mereka mengambil keputusan memendekkan cuti dan pulang semula ke bandar.
Begitu juga dengan pasangan yang belum dikurniakan cahaya mata. Kalau boleh elak jadikan mereka bahan usikan di hari raya. Sekali dua mungkin mereka boleh tersenyum tetapi bila kerap diasak dengan pertanyaan bila nak ada anak, mungkin hati mereka terguris.
Terimalah hakikat anak itu rezeki pemberian Tuhan. Paknil yakin mereka juga mahu hari raya diserikan dengan kehadiran zuriat tapi sudah tertulis belum masanya lagi.
Mungkin ada menganggap perkara ini remeh tapi percayalah, jika kita peka dengan perkara ini (yang mungkin besar pada empunya badan), raya kita akan lebih bermakna.
Ibu bapa pula jangan membandingkan kehebatan anak orang lain dengan anak sendiri. Kadangkala mereka yang bergaji kecil tidak mampu menyediakan buah tangan.
Percayalah, mereka juga ada keinginan membahagiakan keluarga di kampung, tetapi apakan daya mereka tidak mampu. Jangan kita dera perasaan mereka dengan permintaan melampau.
Sekurang-kurangnya mereka tidak meminjam wang daripada along, mencuri atau merompak semata-mata untuk kelihatan gah di hari raya.
Tidak hairan jika ada di antara mereka tidak pulang ke kampung kerana kesempitan wang dengan memberi alasan banyak kerja atau tidak mendapat cuti.
Pada golongan yang Paknil sebutkan tadi dan terbaca artikel ini pasti bersetuju dengan permintaan Paknil bukan? Paknil pasti artikel ini sedikit sebanyak menyuarakan isi hati mereka yang sukar difahami orang lain.
Paknil sarankan anda hulurkan artikel ini kepada mereka yang bertanya soalan yang sukar anda jawab seperti yang Paknil sebutkan tadi. Sekurang-kurangnya mereka akan faham situasi anda. Nasib baik ada artikel ini kan? Dapat juga anda beraya dengan aman!
Di kesempatan ini Paknil ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca Metro Ahad dan peminat yang tidak jemu-jemu menyokong kerjaya Paknil dari dulu sehingga sekarang.
Semoga kebahagiaan di hari raya ini tidak berakhir dengan tangisan. Wassalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: