Sunday, September 27, 2009

Latifah tak rindu berlakon


KECANTIKAN Latifah sentiasa terjaga dan kekal seperti muda-muda dahulu.


"SEKARANG saya masih menonton lakonan sendiri kalau ditayangkan di televisyen. Tapi saya selalu rasa tidak puas kerana berasa lakonan saya dulu masih banyak kekurangan," ujar seniwati terkenal negara, Latifah Omar.

Dia dianugerahkan Bintang Legenda Perempuan pada Festival Filem Malaysia ke-22, baru-baru ini.

Pada usia 71 tahun, Latifah atau nama sebenarnya, Fatimah Omar masih kelihatan cantik.

Kebaya merah yang disarungnya dengan solekan nipis dan sanggul kepala menyerlahkan kejelitaan wanita yang menjadi pujaan ramai sewaktu era kemasyhurannya sekitar tahun 1950 hingga 1970-an ini.

Waktu itu, siapa yang tidak kenal dengan Latifah Omar. Dia ibarat ratu Jalan Ampas apabila pernah digandingkan berlakon bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebelum serasi dengan aktor Nordin Ahmad.

Kolaborasi berkesannya dengan Nordin Ahmad menerusi filem-filem hitam putih yang hebat seperti Raden Mas, Hang Jebat dan Bawang Puteh Bawang Merah selalu menjadi sanjungan.

Itu kisah lebih 30 tahun lalu. Cerita sewaktu Latifah masyhur sebagai anak wayang. Cukup sinonim dengan tali lalat di sebelah kiri bawah bibirnya, Latifah hari ini selesa menjadi nenek dan ibu rumah tangga.

Katanya, sekelumit kerinduan tidak pernah terbit di hatinya untuk kembali berlakon.

"Tak, sedikit pun saya tak rasa rindu nak berlakon semula. Tapi saya lebih seronok tengok banyak pelakon baru kita yang bagus-bagus," katanya ringkas.

Menurut Latifah lagi, sewaktu mengambil keputusan untuk tidak lagi berlakon sekitar tahun 1973, dia sudah bulat hati meninggalkan dunia glamor.


DARI kiri: Latifah Omar, Momo Latiff dan Zaiton Ahmad pada Majlis Makan Malam Negeri Dan Malam Bintang Legenda bagi meraikan Delegasi FFM ke-22.


Dia turut menafikan meninggalkan dunia lakonan kerana dibantah suami, yang hanya dikenali sebagai seorang usahawan.

Sebaliknya keputusan diambil kerana studio Jalan Ampas ditutup dan kebetulan melahirkan anak ketiga yang usianya rapat dengan anak keduanya.

"Sebenarnya saya bersara bukan sebab berkahwin, tetapi selepas studio tutup, saya pun tak mahu berlakon lagi. Kebetulan saya mempunyai anak yang usia mereka dekat.

"Jadi saya ambil keputusan untuk menjaga keluarga saya. Saya bimbang saya tidak mampu memberi komitmen terhadap keluarga jika sibuk berlakon," katanya yang kini mempunyai sembilan cucu hasil perkahwinan empat anaknya.

Bagaimanapun, Latifah mengaku sehingga kini dia masih menerima tawaran berlakon daripada karyawan baru, tetapi hatinya sudah tertutup untuk berlakon.

Sementelah sejak lima tahun lalu, kesihatannya tidak mengizinkan dia bergerak cergas.

"Saya tak mahu menyusahkan orang. Sejak lima tahun lalu saya mengalami sakit lutut yang membataskan pergerakan saya.

"Cukuplah saya berlakon dulu, saya tak mahu lagi terlibat sebagai anak seni. Saya selesa dengan kehidupan sekarang," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: