Sunday, September 6, 2009

Krisdayanti diceraikan kerana curang?

ANANG Hermansyah melafazkan talak ke atas Krisdayanti sebaik mereka pulang daripada menunaikan umrah baru-baru ini.

Hubungan rumah tangga yang sering diganggu pelbagai gosip akhirnya berakhir apabila dua anak pasangan itu mengadu kepada bapa mereka bahawa ibu mereka dilihat berdua-duaan dengan lelaki lain di dalam sebuah bilik hotel di Bali.

Titnaia Aurelie dan Azriel Akbar menjadi saksi ibu mereka telah curang kepada bapa mereka.

Menurut kedua-dua anak itu, ketika mereka berenang di kolam berkenaan, ibu mereka mengajak lelaki berkenaan ke dalam bilik hotel.

Siapakah lelaki itu? Lelaki itu ialah seorang ahli perniagaan dari Timor Leste yang dikenalinya semasa Krisdayanti tampil bersama 3 Diva dalam satu acara di Bali.

Sementara itu seorang guru agama, Mahmud Nahrowi memberitahu sebuah akhbar tempatan dia telah dihubungi oleh Anang untuk bertanyakan pendapat mengenai masalah rumah tangga mereka.

Anang memberitahu Krisdayanti telah membuat hal lagi dan meminta cerai. Mahmud memberitahu Anang jika itu yang diminta oleh Krisdayanti berkali-kali maka Anang harus melaksanakannya.

Akhirnya sebaik turun dari pesawat kedua-dua bersalaman sebagai tanda tidak lagi mempunyai ikatan lahir mahupun batin. Bagaimanapun Mahmud menasihatkan Anang supaya tidak menceraikan isterinya di dalam bulan Ramadan kerana sepanjang bulan mulia itu tidak seharusnya perkara buruk sedemikian dilakukan.

Guru agama itu dikatakan merestui supaya pasangan itu bercerai kerana Krisdayanti dikatakan telah curang dengan lelaki lain sebanyak lima kali.

Sementara itu penulis buku Seribu Satu KD (Krisdayanti), Alberthie Endah terkejut dengan berita penceraian pasangan berkenaan. Alberthie yang menulis buku kedua mengenai Krisdayanti iaitu My Life My Secret yang mendedahkan pelbagai kelakuan buruk artis itu termasuk mengambil dadah turut berang apabila dikaitkan sebagai orang tengah yang memperkenalkan lelaki tersebut dengan Krisdayanti.

Menurutnya, Anang pernah menceraikan Krisdayanti pada tahun 2007 tetapi bukan kerana dia curang dengan Tohpati, tetapi kerana pasangan itu bergaduh sehingga menyebabkan ibu Anang lari ke Bandung.

Pada April 2003 Krisdayanti pernah digosipkan mempunyai hubungan dengan pemain gitar Tohpati.

Krisdayanti yang dilahirkan pada 24 Mac 1975 di Batu Malang, Jawa Timur, bernikah dengan Anang pada 22 Ogos 1996. Mereka dikurniakan dua orang anak.

Krisdayanti dalam pertemuan dengan wartawan di rumahnya di Jakarta selepas pulang dari Timor Leste mengaku telah bercerai dengan suaminya, tetapi enggan mengulas tentang hubungannya dengan lelaki lain.

Krisdayanti juga mengaku telah berpisah ranjang dengan suaminya selama sebulan dan sepanjang tempoh itu dia tidak bertemu dengan dua orang anaknya yang dijaga suaminya. Beliau juga memberitahu penceraian itu dibuat selepas pertimbangan secara matang dibuat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: