Sunday, September 6, 2009

Aznil suka persaingan sihat

HAI Aznil. Saya merupakan peminat setia anda sejak anda mengacara rancangan Pop Kuiz lagi. Saya ada beberapa soalan dan harap anda sudi menjawabnya.

1. Menjadi pengacara popular sememangnya memberikan populariti kepada sesiapa sahaja. Apa komen anda tentang sesetengah selebriti yang sering kali iri hati dengan kejayaan yang telah anda kecapi?

2. Apa yang anda lakukan untuk mengekalkan status pengacara nombor satu negara?

3. Tidakkah anda takut jika pada masa akan datang ada orang lain yang mengambil alih status yang anda miliki?

n Humairah Tajudin,

Kuala Lumpur.

AZNIL:

1. Paknil suka pada persaingan yang sihat. Iri hati dan hasad dengki ini memang ada di kalangan teman seperjuangan tetapi bagi Paknil asalkan ia tidak keterlaluan sudahlah. Paknil berkawan dengan semua golongan dan ada juga selebriti yang Paknil bimbing. Tak perlu rasa cemburu berlebihan. Buktikan dengan kerja yang cemerlang pasti dapat apa yang diimpikan.

2. Paknil tak pernah merasakan diri Paknil nombor satu. Bagi Paknil, semasa bekerja kena beri yang terbaik dan sentiasa terbuka pada komen dan kritikan. Yang elok, Paknil akan ambil dan berubah. Paknil juga akan terus memantau kemajuan bidang ini supaya Paknil tidak ketinggalan.

3. Semua yang ada di dunia ini adalah sementara dan pinjaman belaka. Paknil sentiasa bersedia dan tidak akan lokek ruang untuk yang baru mengambil alih.

Penghormatan buat diri

Assalamualaikum Paknil,

Saya merupakan peminat Paknil sejak dulu lagi.

Saya harap Paknil berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi dan kami semua berdoa agar Paknil lebih maju dalam apa juga bidang.

1. Apakah perasaan Paknil selepas bergelar idola kanak-kanak?

2. Betulkah Paknil takutkan kucing atau haiwan berbulu?

3. Selepas rancangan Macam-Macam Aznil, Paknil ada dapat apa-apa tawaran berlakon atau mengacara tak?

n Masquerade 1406,

Melaka.

AZNIL:

1. Bagi Paknil ini adalah satu penghormatan dan tanggungjawab. Syukur sangat pada Tuhan kerana doa kanak-kanak adalah sangat luhur. Jadi, Paknil cuba untuk menjadi contoh terbaik untuk mereka. Kalau dapat bombing lagi baik. Insya-allah.

2. Bukan takut Cuma geli saja...hehe. Sebenarnya Paknil lebih senang melihat binatang dari jauh.

3. Paknil sekarang sibuk dengan kerja suntingan Macam Macam Aznil. Kalau nak tahu, sebenarnya hampir semua rancangan yang Paknil kendalikan, Paknil akan sunting sendiri. Ini semua untuk mengawal kualiti kerja Paknil sendiri.

Sembunyi rasa kecewa

Assalamualaikum.

Saya amat kagum dengan bakat yang Paknil miliki yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Tidak keterlaluan andai saya labelkan Aznil Haji Nawawi akan menjadi legenda negara suatu hari nanti seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan P. Ramlee.

1. Boleh Paknil ceritakan dengan ringkas macam mana Paknil boleh terlibat dalam bidang seni ini?

2. Jika dinilai dari luar, memang Paknil seorang yang sentiasa gembira, namun di dalam hati siapa yang tahu. Mungkinkah keceriaan Paknil yang membuatkan diri kelihatan muda dari usia sebenar?

3. Apakah sukan yang paling Paknil suka?

n Ridzuan Kamis,

Kangar, Perlis.

AZNIL:

1. Sebenarnya Paknil memang berminat dalam bidang seni sejak kecil lagi. Di sekolah dan universiti, Paknil antara yang aktif. Selain daripada itu, Paknil juga pernah terlibat secara giat dalam bidang peragaan ketika Paknil muda dulu. Paknil juga terlibat sebagai model iklan tv. Sejak dari itu, minat Paknil kian melarat ke cabang seni yang lain.

2. Betul kata Ridzuan. Ada ketikanya Paknil juga mempunyai rasa sedih, kecewa dan murung tapi Paknil tidak pernah paparkan pada orang lain. Sebagai penghibur, Paknil lebih gemar membuat orang lain ketawa dan gembira. Pasal wajah ni, ini anugerah Tuhan. Syukur.

3. Paknil memang tidak pandai bersukan. Nak jogging pun kadang-kadang Paknil malas. Namun, itu tak bermakna Paknil tak cari jalan untuk berpeluh. Sebenarnya, bila Paknil terlibat dengan aktiviti pentas pun Paknil boleh berpeluh.

Jatuh cinta dunia radio

Assalamualaikum Paknil. Apa khabar? Saya sentiasa mengharapkan Paknil sihat dan mendapat keberkatan Allah dalam apa juga bidang yang diceburi.

1. Seronok tak menjadi penyampai radio? Apakah kelebihan menjadi penyampai radio kepada diri Paknil?

2. Kenapa sejak akhir-akhir ini tidak banyak tawaran berlakon yang Paknil ambil? (Selain daripada Cicakman).

3. Bila agaknya album penuh Paknil akan menemui peminat? Paknil kan boleh menyanyi. Sudah pasti ramai peminat yang akan membeli album Paknil nanti.

n Shahrol Annaz Nasir,

Pelabuhan Klang, Selangor.

Aznil:

1. Terus terang Paknil katakan yang pada mulanya Paknil buat atas dasar kepercayaan orang sahaja tetapi lama kelamaan, Paknil mula jatuh cinta pada bidang ini. Bila dah suka, itu yang menyebabkan Paknil tak kisah untuk bangun pagi seawal 4 pagi sebelum ke udara pukul 6 pagi setiap hari. Walaupun tidak bersua muka tetapi sekurang-kurangnya setiap hari Paknil dapat berbual dengan orang satu Malaysia.

2. Sebenarnya berlakon bukanlah minat utama Paknil. Paknil berlakon dalam Cicakman pun kerana tertarik dengan watak Prof. Klon yang Paknil rasa sangat berbeza daripada yang pernah dipaparkan pada filem tempatan. Lagipun, itu permintaan KRU yang merupakan rakan seni yang sangat Paknil sanjung etika dan kualiti kerja mereka. Tak tahulah bila lagi Paknil akan berlakon lagi sebab Paknil bukan pelakon hebat seperti Rosyam Nor, Remy Ishak atau Farid Kamil.

3. Nyanyian juga bukan bidang utama Paknil. Menyanyi ini aalah secara kebetulan sahaja. Dapat melahirkan album mini bersama KRU pun Paknil rasa bagai mimpi. Paknil terlibat dalam bidang nyanyian bukan untuk bersaing tetapi untuk memeriahkan lagi industri ini.

Perceraian bukan satu masalah

Hai Paknil. Saya sentiasa mendoakan Paknil sihat dan sentiasa dapat memberikan yang terbaik kepada jutaan peminat setia anda ini.

1. Memandangkan Paknil sangat sibuk dalam membina kerjaya, saya sering kali terfikir bagaimana agaknya anak-anak Paknil menguruskan kehidupan mereka ye?

2. Hampir kesemua cabang dalam bidang seni telah Paknil lakukan. Agaknya yang mana satu yang paling Paknil suka lakukan?

3. Apa impian Paknil yang masih belum tercapai?

n Noreen & Hassan,

Merlimau, Melaka.

AZNIL:

1. Walaupun Paknil sibuk dengan kerja tetapi bagi Paknil keperluan anak-anak termasuk kasih sayang tidak akan Paknil dipersiakan. Paknil mempunyai pembantu yang menjaga jadual Paknil dan Paknil telah tegaskan untuk pastikan jadual untuk bersama anak-anak diberi perhatian.

Perpisahan Paknil dengan bekas isteri bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab kami. Alhamdulillah sehingga kini semuanya berjalan lancar.

2. Cinta utama Paknil adalah pada bidang pengacaraan dan penerbitan tv. Bagi Paknil ini adalah periuk nasi utama Paknil dan Paknil akan terus berusaha untuk memperbaiki kerjaya Paknil. Bagi Paknil, ini adalah kerjaya yang boleh diteruskan walaupun usia meningkat tua. Maknanya bidang ini tiada sempadan usia.

3. Alhamdulillah dengan pencapaian Paknil setakat ini. Namun, Paknil sangat mengimpikan untuk bergiat cergas dalam aktiviti memperkasakan kanak-kanak di negara kita. Kiranya, Paknil nak jadi Menteri Kanak-Kanak Malaysia lah!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: