![]() |
| Mewah bak puteri busana perak dan teknik sulaman indah. |
KOMBINASI warna moden dan siluet dinamik digabungkan bersama untuk menghasilkan ciptaan koleksi yang cukup menarik hasil olahan gaya eksklusif pereka fesyen terkemuka, Jovian Mandagie.
Pereka muda dari Indonesia ini menampilkan Lebaran 2009 yang mampu membawa transformasi baru kepada gaya hidup wanita kontemporari urban ke arah pesona eksotik dan glamor bagi menyambut kemeriahan Aidilfitri
Sempena sambutan hari raya tahun ini, beliau menggunakan warna optimis tetapi lembut seperti gangsa, perak, abu dan merah kundang berganding kontras dengan warna hangat pic, aprikot dan dove serta suntikan pop warna firus.
Siluet busana memberi fokus kepada garisan berstruktur tetapi dengan kelembutan feminin, diwujudkan menerusi lipatan pada leher, potongan lengan ala kimono atau kembung.
Pesak konvensional yang cukup sinonim dalam teknik pembuatan baju kurung tradisional digantikan dengan bentuk seperti tunik, potongan puteri dan lengan baju gaya 'raglan'.
Jovian juga bijak bermain dengan kain potongan duyung yang memberikan siluet lembut dan beralun pada setiap helai rekaannya. Kaftan diberi sentuhan elegan dengan tatahan jemeki indah pada leher potongan 'empire.'
Kemunculan teknik tampalan berani termasuk motif flora ikonik daripada satin paling berkualiti, hiasan cakera gangsa dengan tumpuan fokus grafik pada dada atau pinggang menyerlahkan lagi gaya feminin wanita.
Hiasan bungaan pada fabrik satin bercetak yang lembut memberi keistimewaan tersendiri kepada siluet baju kurung yang ringkas.
Susunan manik yang halus dan terperinci - sama ada terhad pada garisan leher fokal, pinggang atau pergelangan tangan, juga kemewahan dan kelembutan pergerakan fabrik kain bagaikan 'pelaburan' tidak ternilai bagi wanita.
Tumpuan diberi pada konsep kemeriahan, dengan kapsul masa yang terdiri daripada koleksi fabrik batik dan songket halus yang pasti membuatkan kaum hawa tertawan.
Koleksi Lebaran 2009 boleh didapati di butik Jovian Mandagie yang baru dibuka di 124, Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: