![]() |
| Ikatan samping juga boleh dipelbagaikan untuk memberikan keunikan kepada si pemakai, manakala si dara tambah jelita dengan kurung labuh corak bunga. |
HARI Raya Aidilfitri yang datangnya cuma setahun sekali sudah semestinya disambut dengan penuh kemeriahan setelah sebulan berjaya menunaikan ibadah Ramadan.
Berbaju Melayu dan kurung merupakan busana kemestian untuk menyambut hari raya. Tidak kira muda ataupun tua, pakaian tradisional ini menjadi pilihan sebagai pakaian di pagi Syawal, menziarah sanak saudara dan juga ke majlis rumah terbuka.
Kini rekaan baju tradisional telah memasuki era transformasi terutama dari segi rekaan. Pelbagai rekaan dengan menggunakan fabrik yang bermutu tinggi mewarnai dunia fesyen sempena Aidilfitri.
AKF Classique Boutique yang mempunyai beberapa cawangan di Johor tidak mahu ketinggalan memeriahkan Hari Raya Aidilfitri ini dengan menawarkan baju kurung eksklusifnya untuk golongan wanita di selatan tanah air.
Koleksi yang hanya terdapat di AKF Classique Boutique ini merupakan keluaran terhad dan direka khusus sempena hari raya.
Baju kurung potongan Pahang yang masih mendapat tempat di hati wanita dan tidak akan ketinggalan zaman ini menjadi rekaan utama AKF untuk hari raya ini.
Fabrik jenis sifon, sutera Korea dan sifon krep bercorak bunga atau abstrak yang dijadikan baju kurung dipadankan bersama kain potongan selisih depan daripada fabrik polos.
Baju kurung yang dihasilkan ini bertambah indah dan eksklusif dengan jahitan manik, sulaman atau renda Perancis yang dijahit di lengan.
Berharga di antara RM229.90 hingga RM298.90 dengan saiz XS hingga 5XL, AKF Classique Boutique memberi potongan istimewa kepada pelanggan tetapnya.
Sementara itu, Butik Arca yang menyediakan baju Melayu pastinya menjadi pilihan lelaki yang inginkan kelainan daripada segi fabrik bagi baju tradisional itu.
Jika biasanya baju Melayu dibuat daripada kain satin, Butik Arca pula lebih berani menghasilkan baju Melayu daripada fabrik linen, kapas, sari dan sutera Thai.
Terdapat dua rekaan baju Melayu iaitu baju Melayu Teluk Belanga dan baju Melayu cekak musang mengikut keselesaan masing-masing.
Bagi memudahkan pelanggan, butik ini turut menyediakan pelbagai pilihan sampin songket sama ada songket tempatan atau songket India dan Pakistan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: