Sunday, September 13, 2009

Kecoh artis "serbu" Masjid India




BERKIRA-KIRA hari untuk menyambut Syawal, Pancaindera membawa artis-artis remaja popular ke Jalan Masjid India, Kuala Lumpur untuk memberi peluang kepada mereka meninjau keperluan akhir sebelum tibanya hari yang menggembirakan itu.

Wah... bukan main seronok apabila Fizo Omar, Riz (AF6), Alyah, Shila dan Diddy Hirdy berpeluang untuk sama-sama membuat "rombongan cik kiah" bagi membeli barang-barang keperluan untuk menyambut lebaran.

Menariknya Alyah dan Shila sempat juga membeli tudung dengan harga diskaun. Fizo, Riz dan Diddy pula tak habis-habis membelek baju Melayu kerana tertarik dengan pelbagai corak yang dijual di kawasan bazar tersebut.

Siapa kata artis kita tak pakai pakaian yang dijual di bazar? Kata mereka, di bazar atau di pusat membeli belah, semuanya sama saja. Cuma harga di bazar lebih murah dan ada kalanya lebih menarik jika pandai buat pilihan.

Kunjungan mereka ke Jalan Masjid India itu bertambah kecoh apabila peniaga turut berebut untuk mengambil gambar. Tidak kurang juga orang ramai yang lalu-lalang di kawasan itu.

*Fizo pakai mana yang ada

Jejaka kacak berusia 24 tahun, Fizo Omar menyambut lebaran tahun ini dengan penuh bermakna.

Akan pulang ke kampung halamannya di Selising, Pasir Puteh, Kelantan pada 17 September ini, Fizo akan bercuti sehingga Hari Raya kelima.

Yang pasti tanggungjawabnya telah ditunaikan untuk ibu dan adik beradiknya yang lain seramai tiga orang itu.

"Sebelum puasa lagi saya dah beli pakaian untuk emak dan adik beradik saya. Bila dekat nak raya, tak la kelam kabut. Saya memang suka buat persiapan awal," katanya.

Bagi Fizo sendiri, dia tidak memikirkan sangat kelengkapan untuk dirinya cukuplah pakai mana yang ada. Buat apa kalau terlalu banyak membeli pakaian tetapi menggunakannya hanya untuk sehari.

Bersiap sedia untuk rumahnya diserbu peminat, kata Fizo dia akan mengadakan rumah terbuka dan membuat majlis kenduri kesyukuran di atas peningkatan kerjayanya.

*Diddy Hirdy buat kejutan

Syamsul Hirdy Muhid, 24, atau mahu dikenali sebagai Diddy Hirdy mengaku tidak memperuntukkan banyak wang berbelanja pada tahun ini terutama membeli pakaian raya.

Kenapa? Kata Diddy, kalau dibuka almari pakaiannya, terlalu banyak baju Melayu termasuklah beberapa pasang yang masih belum dipakai.

Jadi pada tahun ini dia hanya memperuntukkan wang bagi membeli kuih-kuih raya serta sehelai dua seluar jean.

Yang pasti pada tahun ini Diddy membuat kejutan apabila dia tidak pulang beraya di kampungnya di Pasir Gudang, Johor.

Sebabnya, kata Diddy dia sekeluarga sudah bersepakat untuk merasai bagaimana menyambut Syawal di Kuala Lumpur ketika orang ramai pulang beraya di kampung.

"Ini satu kejutan yang pelik. Orang Kuala Lumpur selalunya balik kampung tapi kami lain pula. Semua akan berkumpul di Kuala Lumpur," katanya.

Kali ini rumah kakaknya yang sulung akan menjadi "mangsa" yang dijadikan sebagai "pot" untuk mereka enam beradik serta ibu bapa berkumpul.

Bagaimanapun pada Hari Raya kedua, Diddy akan pulang ke Johor dan tentunya seperti biasa dia tidak lupa untuk menjenguk tunangnya Ellen Norazah Abdullah, 24, yang hanya terletak di belakang rumahnya saja.

*Shila beraya di rumah baru

"HANYA tinggal menyediakan biskut raya sahaja. Yang lain semuanya sudah diuruskan oleh mama," kata Shila mengenai persiapan Syawalnya.

Menurut Shila, ibunya, Fauziah Sarman memang seorang yang teliti apabila menyiapkan keperluan dan persiapan raya.

Melakukannya sejak awal, Fauziah turut mempunyai senarai apa yang perlu dibeli, disiapkan dan dilakukan agar tidak kelam kabut menjelang Hari Raya.

"Malah baju raya sekeluarga sudah siap ditempah sejak bulan tiga lagi. Mama memang tak suka buat sesuatu di saat akhir," ujar Shila yang menyediakan 10 pasang baju untuk sambutan kali ini.

Dan kebetulan berkunjung ke Jalan Masjid India, dia sempat membeli tiga pasang lagi baju kebaya.

"Seronoknya membeli belah di sini kerana bukan sahaja banyak pilihan tetapi harganya juga sangat berpatutan," tambahnya.

Akan bercuti selama seminggu, hari raya pertama dia akan pulang ke kampung sebelah bapanya, N.D. Lala di Perak dan kemudian ke Banting, sebelah ibunya.

"Keluarga sebelah papa besar dan memang seronok beraya di sana. Macam-macam ragam. Kalau nak salam minta maaf, kami harus beratur panjang.

"Yang seronoknya, kalau yang belum kahwin, walaupun sudah bekerja tetapi masih lagi menerima duit raya," kata Shila yang menggemari juadah nasi impit dan kuah kacang serta rendang ayam pencen.

Tahun ini juga, kata Shila, dia dan keluarganya akan mengadakan rumah terbuka di kediaman baru mereka di Batu 9, Cheras.

"Memang sejak tiga tahun kebelakangan ini terutama sejak selepas menyertai One In A Million, memang terasa kemeriahan Syawal kerana rumah juga diserbu peminat," kata Shila lagi.

*Alyah pentingkan anak-anak

BERLAINAN pula dengan penyanyi yang popular dengan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang ini mengakui suka melakukan persiapan di saat-saat akhir.

Bagi Alyah membeli belah pada hari-hari terakhir Ramadan mempunyai keseronokannya yang tersendiri.

"Diskaun pun banyak," katanya sambil ketawa. Dan lokasi pilihan Alyah membeli belah tentulah di kampung halamannya di Johor Bahru.

Biarpun perbelanjaan untuk lauk pauk disediakan oleh kakaknya manakala abangnya menyediakan bajet untuk kelengkapan rumah, Alyah dan adik-adiknya tetap mengeluarkan belanja untuk membeli biskut raya serta duit raya.

Bagaimanapun menurut Alyah sejak tiga tahun lalu perbelanjaan keperluan sambutan Hari Raya bertambah apabila dia mengambil seorang anak angkat bernama Muhamad Alif dan sembilan bulan lalu menambah seorang lagi anak, Nurafikah.

"Seronok beraya sekarang bukan untuk diri sendiri tetapi untuk anak-anak. Melihat mereka bahagia, hati saya berbunga," kata Alyah.

Mengakui pertama kali menjejakkan kaki ke Masjid India, Alyah rambang mata melihat barangan yang dijual. Selain tudung, sempat juga Alyah membeli sandal dan biskut raya.

*Riz sediakan RM1,000

SERONOKNYARiz kerana menerima lima pasang baju Melayu daripda peminat yang bermurah hati memberikan cenderamata kepadanya.

"Walaupun sudah ada lima pasang, saya tetap membeli sehelai untuk diri saya. Bukannya apa, kalau tak rasa macam tak raya pula. Selalunya memang Jalan Masjid India menjadi tumpuan saya.

"Bersama enam tujuh orang kawan, kami memilih datang ke sini pada tengah malam. Selalunya dekat-dekat raya baru kami 'serbu'. Di sini senang. Semuanya ada.

"Baju Melayu dan songkok memang saya beli di sini. Ramai juga artis yang saya jumpa membeli belah di sini," kata Riz yang pulang ke kampungnya di Grik, Perak untuk menyambut Syawal.

Menurut penyanyi yang semakin popular dengan lagu Ku Pinjam Satu Bintang yang turut menampilkan Alyah sebagai rakan duet, dia juga suka membeli biskut raya di kedai kek makciknya di Kajang.

Menyambut Lebaran secara sederhana, Riz juga memberitahu tidak mengadakan rumah terbuka pada tahun ini.

"Tapi semua orang dialu-alukan untuk datang ke rumah saya," katanya yang suka bermotorsikal bersama teman-teman menziarah kawan sekampung.

Riz juga memberitahu menyediakan bajet untuk perbelanjaan keluarganya termasuk duit raya untuk anak saudara dan tetamu yang datang.

"Saya sediakan bajet RM1,000 untuk duit raya," tambahnya.

Bercuti raya selama seminggu, katanya, jadual seninya penuh selepas Lebaran. Ini termasuklah melancarkan albumnya pada 13 Oktober depan di Hard Rock Cafe.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: