Sunday, September 13, 2009

Dayang cuti raya 21 hari


Tentulah seronok sebab bukan selalu dapat cuti dan berjumpa dengan sanak saudara – Dayang


KEDATANGAN 1 Syawal yang bakal diraikan umat Islam lebih kurang seminggu saja lagi sememangnya ditunggu penyanyi berkulit sawo matang, Dayang Nurfaizah.

Mana tidaknya, hanya di bulan mulia itu sahaja dia dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keluarganya di Kuching, Sarawak.

Selama ini Dayang sibuk dengan tugasnya sebagai penyanyi. Nak bertemu keluarga pun bukannya mudah.

Tetapi apabila hadirnya 1 Syawal, inilah masanya untuk dia menggunakan sepenuh masa bersama keluarganya.

Percaya atau tidak pada tahun ini Dayang bercuti dalam tempoh yang agak lama iaitu selama 21 hari sejak 10 September lalu.

Tempoh waktu itu digunakan sepenuhnya oleh Dayang untuk merehatkan diri, meluangkan bersama adik beradik di negeri Bumi Kenyalang itu.

Dan paling penting dia dapat berjumpa dengan sanak saudara setelah hampir setahun lamanya tidak bersua muka.

Setibanya penyanyi berusia 28 tahun ini di kampung halamannya maka bermulalah rutin hariannya seperti wanita- wanita lain di rumah seperti mengemas dan membasuh dan meninggalkan jauh dari kehidupan glamor seorang artis.

‘‘Setiap tahun, Dayang memang nantikan kedatangan Hari Raya Aidilfitri sebab hanya pada masa itu, Dayang boleh cuti panjang dan pulang ke kampung. Tentulah seronok sebab bukan selalu dapat cuti dan berjumpa dengan sanak saudara. Mesti ada banyak cerita yang hendak dikongsi bersama.

‘‘Dayang juga boleh keluar untuk membeli barangan keperluan rumah sebab sebelum ini aktiviti itu dilakukan oleh orang lain semasa berada di Kuala Lumpur,’’ ujar Dayang.

Bercerita tentang persiapan sambutan raya anak kepada pasangan Awang Dowty Awang Fauzi dan Nona Nahrawi bercerita semuanya dilakukan sendirian memandangkan Dayang seorang sahaja anak perempuan bujang dalam dalam keluarga itu.

Tugasan wajib juara Golden Teen Search 1997, sebuah pertandingan nyanyian terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ini ialah memastikan majlis Hari Raya di rumahnya berjalan dengan baik.

Kerjanya di pagi Syawal ialah memasukkan kuih dan biskut ke dalam balang selain memastikan hidangan makanan berat seperti ketupat, rendang, ayam masak merah dan kari ayam sentiasa terhidang di meja makan.

‘‘Menjadi tradisi keluarga Dayang sebelum menyambut raya, kami akan membeli seberapa banyak minuman berkarbonat untuk dihidangkan kepada tetamu ke rumah. Semua karton minuman itu disusun tinggi-tinggi dan hampir mencecah siling rumah.

‘‘Dayang juga pastikan biskut kegemaran Dayang iaitu biskut Dayang Sayang Kamu yang berintikan jem strawberi itu dihidangkan kepada tetamu selain kek lapis Sarawak dan beberapa kuih lain di atas meja,” katanya yang mengamalkan rumah terbuka kepada semua tetamu semasa berada di Kuching.

Dayang memberitahu dia juga terpaksa bermain dengan sabun kerana tugasnya sebagai tukang basuh pinggan setiap kali tetamu habis menziarah.

Untuk keselesaan ketika melayan tetamu, Dayang lebih senang memakai baju kurung dengan solekan nipis tanpa dandanan rambut.

Keadaan itu menyebabkan ada di kalangan peminat yang datang ke rumahnya terperanjat melihat wajah Dayang yang ternyata berbeza jika dibandingkan di televisyen atau majalah.

‘‘Cerita bab melayan tetamu lagi best. Ada peminat yang sanggup duduk di rumah dari pagi hingga malam semata-mata nak melihat Dayang. Bila ada tetamu lain yang datang dan bilangan ahli di rumah semakin bertambah menyebabkan Dayang tak tahu nak minta dia duduk di ceruk mana. Akhirnya, dia duduk di atas lantai,’’ kata penyanyi yang dilahirkan pada 20 Julai 1981 ini.

Dayang mengerti, ada di kalangan tetamu yang datang dari jauh seperti Sandakan, Miri dan ada dari Sabah mahu memanfaatkan peluang untuk bermesra dengan lebih dekat bersama Dayang pada waktu itu. Oleh itu, Dayang tetap melayan tetamu dengan baik walaupun jam sudah 2 pagi dan berharap mereka memahami kekurangan pada ketika itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: