Tuesday, September 1, 2009

Kakak borek, adik rintik


BERKONGSI minat yang sama mendorong pasangan adik beradik, Alliesha dan Allana menceburi bidang lakonan. Bagi Alliesha sebagai kakak, minat berlakon hadir selepas mula menimba pengalaman menerusi filem Qaisy & Laila yang pernah ditayangkan pada 2005.

Katanya, dia tidak menyangka percubaan pertama menjadi pelakon pembantu dalam filem itu menimbulkan minat yang mendalam untuk dia terus berlakon.

Biarpun masih dianggap mentah dari aspek pengalaman lakon, dia sebaliknya tidak putus asa mencari peluang baru mengembang bakat dalam diri.

"Jika diikutkan sejak kanak-kanak, saya ingin jadi penyanyi. Namun, saya terlebih dulu meraih peluang dalam bidang peragaan kemudian diikuti lakonan.

"Sejak dua tahun lalu, saya aktif menjadi model iklan komersial, tetapi kebanyakan iklan yang saya jayakan adalah untuk pasaran luar negara seperti Pakistan dan Dubai. "Pengalaman ketika berlakon suatu yang berbeza berbanding peragaan.

"Apabila sudah beberapa kali berlakon, baru saya sedari kecenderungan minat saya lebih terarah pada lakonan. Biarpun lakonan menjadi matlamat utama saya kini, tetapi jika ada kelapangan, saya masih mahu aktif menerima tawaran model," katanya.

Sejak terbabit dengan bidang peragaan tiga tahun lalu, Alliesha akui masih menerima tawaran baru. Bagaimanapun sejak berlakon, dia terpaksa menolak beberapa tawaran yang hadir kerana jadual penggambaran bercanggah.

"Buat masa ini, saya bersama adik saya (Allana) baru selesai penggambaran drama Impian L yang turut menampilkan pelakon berpengalaman seperti Rosnah Johari, Hamidah Wahab dan Aznah Hamid.

"Dalam drama ini, saya bercinta dengan pelakon baru, Iskandar.

"Di sebalik kisah menarik drama ini yang mengisahkan gelagat pelajar di sekolah memandu, saya turut berkongsi pengalaman dengan pelakon senior yang terbabit dengan drama ini.

"Ada ketika saya bertanya kepada mereka mengenai cara menghayati watak dan berlakon dengan berkesan. Nyata, mereka tidak lokek dengan ilmu dan peluang seperti ini harus digunakan sebaiknya untuk memperbaiki mutu lakonan sendiri."Saya percaya belajar di lokasi penggambaran lebih mudah untuk mempertingkat lakonan sendiri.


"Berbanding pengalaman menerusi filem pertama saya lalu, saya berpeluang mengembang bakat menerusi filem Skrip 7707 dan terbaru 4 Madu arahan Prof Madya A Razak Mozaideen.

"Untuk watak Wani, saya tetap menganggap tanggungjawab yang dipikul memberi cabaran tersendiri dan perlu dilakonkan dengan sepenuh hati," katanya.

Alliesha juga masih menantikan tayangan drama terbaru Bibah Meletup arahan Pierre Andre yang selesai menjalani penggambaran tiga bulan lalu.

Katanya, drama genre komedi menampilkan dia melakonkan watak Shasha Diva iaitu pelakon baru yang berlagak pandai.

"Memang mencabar berlakon dalam drama ini apatah lagi saya cuba menggambarkan diri dengan karakter sebegitu. "Drama ini turut dijayakan Adibah Nor dan Azwan Ali dijangka menarik perhatian penonton apabila ditayangkan nanti.

"Antara saya dengan adik saya, ia bukan saingan, tetapi kami saling menyokong antara satu sama lain.

"Menjadi harapan saya, mungkin suatu hari nanti kami dapat digandingkan sebagai pasangan adik beradik menerusi filem atau drama.

"Apapun saya bertuah kerana mendapat peluang berlakon. Sememangnya pelakon baru pada masa kini berdepan cabaran besar untuk membina nama kerana kehadiran ramai pelakon baru turut memberi saingan," katanya.

Bagi Allana, dia mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada lakonan sempena Ramadan.

Katanya, ketika ini adalah masa terbaik untuk berehat dan mengambil peluang beribadat.

Bercerita pengalaman awal berlakon, Allana menyatakan dia menceburi diri dalam bidang berkenaan secara tidak sengaja apabila sering menemani kakak ke sesi uji bakat.

Selepas mendapat peluang berlakon menerusi filem pertama iaitu Skrip 7707, dia juga mengembang bakat dalam filem 4 Madu.

Baru-baru ini, sempena Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) di Kota Kinabalu, Sabah, pasangan ini turut hadir memberi sokongan.

Kata Allana, FFM22 adalah peluang terbaik untuk pendedahan diri dan mencari pengalaman baru berkenalan dengan ramai karyawan seni termasuk produser, pengarah dan pelakon.

"Menerusi 4 Madu, saya memainkan watak peguam yang bertanggungjawab menguruskan wasiat harta pusaka untuk Azrul dan Azlan (lakonan dua watak oleh Saiful Apek). Pada saya, watak ini mencabar dan suatu yang besar untuk saya laksanakan dengan baik.

"Bagaimanapun, saya gembira kerana mendapat tunjuk ajar daripada Razak dan sering kali sebelum penggambaran bermula, saya turut buat latihan di depannya.

"Ketika saya terbabit dengan filem Skrip 7707 sebelum ini, saya hanya melakonkan watak hantu.

"Antara dua filem ini, saya melihat 4 Madu memberi lebih peluang pada saya untuk mempertingkat mutu lakonan. Secara peribadi, saya merasakan hasrat untuk berlakon hadir secara semula jadi dan saya fikir apa salah untuk mencuba.

"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, saya turut memasang impian untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan pada tahun depan.

"Jika boleh, saya tetap mahu utamakan pelajaran dan ketika itu lakonan pula menjadi karier separuh masa," katanya.


PROFIL:

NAMA: Abhinaaz Jehan Amir Khan
NAMA KOMERSIAL: Alliesha Amir
TARIKH LAHIR: 6 November 1985
UMUR: 24 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
FILEM: Qaisy & Laila, Skrip 7707 dan 4 Madu
DRAMA: Bibah Meletup dan Impian L

NAMA: Allanaaz Jehan Amir Khan
NAMA KOMERSIAL: Allana Amir
TARIKH LAHIR: 20 Jun 1991
UMUR: 18 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
FILEM: Skrip 7707 dan 4 Madu
DRAMA: Otai dan Impian L

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: