Saturday, September 12, 2009

Juadah enak berbuka puasa


ANEKA juadah enak berkonsepkan 1Malaysia boleh dinikmati di Hotel Cititel dan Hotel Boulevard serta restoran The Apartment.


CITA rasa 1Malaysia boleh disaksikan dalam pelbagai juadah enak yang dibawa oleh Hotel Boulevard dan Hotel Cititel di Kuala Lumpur serta restoran The Apartment di pusat beli-belah The Curve, Petaling Jaya, Selangor.

Restoran Wild Rice di Hotel Boulevard menyediakan sajian Barat, India dan Cina bagi memenuhi kehendak pengunjung. Dengan menukar menu pada setiap hari, sebanyak 60 jenis hidangan menanti pengunjung di restoran tersebut.

Mulai 22 Ogos hingga 19 September ini, restoran Wild Rice menawarkan kelazatan Ayam Panggang Bersalut, Daging Gulung Berempah, Tauhu Sumbat, Begedil Ayam, Rojak Sotong Kangkong dan aneka makanan laut.

Bagi yang meminati kerabu, terdapat sekurang-kurangnya sembilan jenis kerabu, antaranya adalah Kerabu Nanas, Kerabu Hati Ayam, Kerabu Nangka Muda, Kerabu Timun, Kerabu Bendi, Kerabu Betik Muda, Kerabu Mangga dan Kerabu Kerang.

Di seksyen sup pula, carilah sup ekor, sup daging berempah, sup ayam mamak dan lain-lain. Jika itu tidak mencukupi, anda boleh singgah di seksyen Mi Jawa, Mi Penang, Mi Kari, Mi Udang Penang dan Roti Jala.

Untuk orang dewasa, harganya ialah RM75 bersih dan RM38 untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Diskaun sebanyak 20 peratus ditawarkan kepada pengunjung minggu keempat Ramadan.

Sementara itu, Hotel Cititel turut menyenaraikan menu bufet Ramadan daripada masakan kampung sehinggalah sajian antarabangsa. Dijamin berkualiti, antara hidangan yang disediakan adalah Kerabu Pegaga, Acar Nyonya, Salad Thai Betik Muda, Pasembor, Bubur Lambuk, Udang Masak Lemak Belimbing Buluh dan Kari Kepala Ikan Merah.

Stesen panggang turut disediakan bagi anda yang mahu menikmati Ikan Pari Bakar, Ikan Terubuk Bakar, Otak-Otak Daun Nipah, Sate dan Ikan Sardin Celup Tepung. Stesen mi pula menyajikan Mi Sup Tulang Lembu, Laksa Johor, Asam Laksa Penang dan Mi Bandung.

Jika hendak mencuba masakan kampung, Hotel Cititel menyajikan juadah Lemang dan Rendang, Ikan Keli Goreng Berlada, Daging Salai Masak Lemak dengan Pisang Muda dan lain-lain. Pastikan juga, anda menikmati pencuci mulut seperti Sagu Gula Melaka, Dodol, Tapai Mulut dan aneka kuih dari 22 Ogos hingga 19 September ini.

Bufet itu boleh dinikmati pada harga RM65 bersih untuk dewasa dan RM32.50 bagi kanak-kanak.

Selain itu, restoran The Apartment menampilkan hidangan dalam versi masakan dari rumah. Sambil mengekalkan keenakan juadah yang disediakan oleh ibu, pengunjung pasti menggemari masakan yang disediakan oleh Ros Juliana Muhammad Daud.

Datang jauh dari Kota Bharu, Kelantan, beliau menyediakan lebih daripada 20 hidangan panas beserta pencuci mulut, kuih-muih, minuman dan kurma. Harganya juga berpatutan iaitu dari RM49++ untuk dewasa dan RM19++ untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: