Saturday, September 12, 2009

Pakej perubatan Pulau Mutiara


PUSAT Pakar Perubatan Lohguanlye turut menawarkan pakej pelancongan perubatan kepada para pelancong asing di Pulau Pinang.


PROMOSI percuma. Itulah yang dilakukan oleh stesen televisyen CNBC apabila membuat liputan tentang industri pelancongan perubatan di Pulau Pinang.

Ia telah disaksikan di seluruh dunia apabila paparan mengenainya disiarkan pada 13 Ogos lalu. Paparan selama enam minit itu menunjukkan Pulau Pinang sebagai lokasi yang disarankan kepada orang ramai untuk mendapat rawatan, bukan hanya kosnya yang berpatutan tetapi keindahan alam semula jadinya.

Menurut Pengerusi Persatuan Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr. Chan Kok Ewe, liputan itu mengiktiraf industri pelancongan yang membantu ekonomi negara dan negeri itu sendiri.

Katanya, Pulau Pinang menawarkan rawatan terbaik kepada pesakit pada harga yang lebih murah berbanding dengan beberapa negara lain.

"Kadar bayaran di sini adalah separuh lebih rendah berbanding dengan kos di hospital ternama di Singapura mahupun Thailand.

"Selain itu, caj perubatan yang dikenakan kepada pelancong asing adalah sama dengan apa yang dikenakan kepada rakyat tempatan," katanya pada sidang media di Pulau Pinang baru-baru ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Pulau Pinang, Danny Law Heng Kiang.

Katanya, sebanyak tujuh buah hospital terlibat dalam industri itu di Pulau Mutiara iaitu Hospital Pantai Mutiara, Gleneagles, Lam Wah Ee, Loh guanlye, Island, Mount Miriam dan Adventist.

Lebih membanggakan, kesemua hospital itu bekerjasama bagi menjayakan industri tersebut dan saling bersaing secara sihat.

Kok Ewe menambah, pelancongan kesihatan di Pulau Mutiara turut menyediakan pakej tarikan yang lain seperti pusat beli-belah, pantai yang indah dan makanan yang enak kepada pesakit.

"Pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan di sini, seolah-olah telah sihat kerana melihat keindahan Pulau Pinang sebelum tiba ke hospital.

"Begitu juga, keindahan pantai di sini menjadi satu terapi terbaik kepada mereka selepas mendapatkan rawatan," ujarnya.

Selain itu, kemudahan pengangkutan udara oleh beberapa syarikat penerbangan seperti AirAsia dan Sriwijaya Air ke beberapa lokasi seperti Jakarta, Medan dan Aceh di Indonesia serta Bangkok di Thailand turut membantu mempromosikan industri tersebut.

Beliau berkata, Pulau Pinang pernah menerima pesakit dari Papua New Guinea yang terpaksa menempuh tujuh jam penerbangan untuk mendapatkan rawatan di Pulau Pinang.

"Kami tidak pernah memaksa mereka datang untuk mendapatkan rawatan di sini tetapi mereka sendiri tahu tentang kemudahan rawatan yang kami sediakan.

"Oleh itu, kami menyasarkan kira-kira 240,000 pesakit pada tahun ini dengan pulangan sebanyak RM200 juta iaitu dua pertiga daripada pendapatan industri pelancongan Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, Heng Kiang mengakui kerajaan negeri berbangga dengan liputan yang dibuat oleh CNBC itu dan menyifatkan ia sebagai promosi percuma kepada industri tersebut yang memiliki masa depan pasaran yang cerah.

"Selain tontonan di Astro, paparan siaran di stesen CNBC ini juga boleh ditonton di laman sesawang pelancongan Pulau Pinang di visitpenang.gov.my," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: