Saturday, September 12, 2009

Juadah tradisi Ramadan


SEORANG lelaki Kashmir menyediakan roti paratha di Srinagar, India.


MURTABAK, ayam percik dan air tebu adalah antara menu pilihan penduduk Malaysia ketika berbuka. Kelazatannya menyebabkan ia begitu popular sepanjang Ramadan ini. Ia begitu istimewa bagi sesetengah orang yang menjadikannya sebagai hidangan utama berbuka puasa.

Itu cerita makanan pilihan penduduk Malaysia. Di negara-negara lain yang majoritinya umat Islam, mereka turut mempunyai juadah tradisional sewaktu berbuka.


SEORANG lelaki membungkus Balila iaitu kacang kuda rebus bersama jintan putih di Jeddah, Arab Saudi.


Di Kashmir, roti canai bersaiz besar yang dikenali sebagai paratha mendapat permintaan yang cukup tinggi. Para pelanggan sanggup beratur panjang semata-mata mahu membeli roti yang enak dimakan dengan sayur, kentang mahupun kuah kari.


SEORANG lelaki menyediakan kuih Baklawa di Tariq al-Jadidah, Beirut.


Di Lebonan pula, pengusaha pastri manis, Baklava atau Baklawa tidak menang tangan menyediakan manisan tersebut. Pastri itu diperbuat daripada lapisan-lapisan doh phyllo dan disaluti dengan potongan kacang walnut atau kacang pistasio. Pastri itu bertambah lazat apabila disalut dengan sirap atau madu.

Selain itu, Shemai antara manisan yang dipilih oleh penduduk di Pakistan ketika berbuka puasa. Oleh itu, salah sebuah kilang yang memproses Shemai di Rawalpindi tidak henti-henti menerima tempahan.

Jika negara lain sibuk menyediakan sajian tradisi berbuka puasa yang bergoreng dan berasaskan minyak, di Jeddah lain pula pilihan penduduknya. Mereka lebih gemar menikmati makanan rebus, antaranya ialah Balila iaitu sajian yang mengandungi ramuan jintan putih dan kacang kuda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: