Sunday, September 27, 2009

Jezlynn penyanyi digital


JEZLYNN muncul dengan album tiga bahasa - Melayu, Mandarin dan Inggeris.


SAAT awal cita-citanya untuk bergelar penyanyi tumbuh mekar, semuanya pernah dipatahkan hanya kerana dia bukan penyanyi berketurunan Melayu.

Jezlynn didatangi seorang komposer terkenal Malaysia yang menasihatinya supaya berundur dari dunia muzik sedangkan pada masa itu dia sedang merakamkan lagu.

Itu satu nasihat yang membuatkan Jezlynn hilang seketika. Dia lumpuh semangat kerana merasakan tiada siapa yang menyokongnya kala itu. Namun, bangkit semula kini, dia merasakan aura yang berlainan untuk terus maju dengan bantuan pihak yang percaya pada bakatnya. Jezlynn atau nama sebenar Janice'zelynn ini bangkit semula dengan pembaharuan yang seiring masa.

Enam buah lagu dimasukkan ke dalam sebuah album debut berbentuk digital dan kali pertama dijual sebegini di Malaysia. Finalis Bintang Harapan RTM (07/98) dan Sinaran Passport Kegemilangan (98) ini muncul dengan single yang bertajuk Sepanjang Hayatku yang kini sudah pun kedengaran di corong radio.

"Saya rasa kaedah album digital yang pihak saya dan syarikat rakaman, Cloverleaf Records gunakan adalah sesuatu yang baru. Dunia sekarang banyak melibatkan digital dan inilah masanya untuk menggunakan kaedah muat turun yang sah," ujar finalis Miss Petite Malaysia 2002 ini.

Tambahnya: "Album ini turut menampilkan lagu berjudul Change iaitu sebuah tribute untuk alam sekitar dan hari No Plastic Monday. "Ini juga antara sebab kami keluar dengan album digital yang meminimumkan penggunaan plastik."

Jezlynn merasakan sudah tiba masanya rakyat Malaysia didedahkan dengan teknologi terbaru ini. Justeru, selain menggunakan kaedah tradisional berbentuk cakera padat (CD), peminat Jezlynn hanya perlu menggores pada kad yang disediakan di dalam album dan menggunakan nama pin tersebut untuk menebus lagu di portal Bimbit.com.

Album tiga bahasa ini dilancarkan pada 3 Julai lalu di Pulau Pinang, negeri kelahiran Jezlynn. Harganya juga sangat berpatutan iaitu cuma RM15.90.

Jezlynn yang fasih berbahasa Melayu dan sekali-sekala terkeluar dialek utaranya, menganggap proses paling sukar membikin album ini adalah ketika menyanyikan lagu berbahasa Mandarin. "Saya tidak bertutur dalam bahasa Mandarin, jadi ia cukup sukar buat saya. Tapi saya suka kerana album ini berbentuk pelbagai kaum," ujarnya yang mengambil masa tiga jam untuk merakam sebuah lagu.

Peminat Whitney Houston ini mengharapkan agar suara dan dirinya diterima oleh rakyat Malaysia sama seperti Jaclyn Victor mahupun Vince. "Saya tidak rasa hanya kerana saya bukan Melayu, saya akan sukar diterima. Lagipun kebanyakan rakan saya di Pulau Mutiara orang Melayu. Saya mahu buktikan yang saya ada lagu-lagu yang untuk bagus didengar," tegasnya.

Selain sibuk menyusun strategi untuk mempamerkan suaranya dan memperkenalkan nama, Jezlynn juga menjalankan tugasan sebagai duta Reebok, Salun Baptain dan Tripo-X.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: