Friday, September 4, 2009

Gerai Juz Jumbo Suria FM semarakkan Ramadan



NING sedang menurunkan tandatangan kepada pendengar di gerai Juz Jumbo Suria FM.

PELBAGAI langkah promosi diatur stesen radio tempatan bagi menambat hati pendengar dan pelbagai cara juga dilakukan dari semasa ke semasa mengikut musim.

Bersempena dengan Ramadan ini, stesen radio Suria FM mengambil kesempatan pada bulan yang mulia ini dengan membuka gerai jualan Ramadan di bazar Jalan Raja Alang Kampung Baru.

Gerai yang diberi nama Gerai Juz Jumbo Suria FM terletak di hadapan kedai 7-Eleven bersebelahan Masjid Kampung Baru menjual empat jenis minuman istimewa kepada pendengar stesen itu.

Eksekutif Kanan, Perhubungan Awam dan Media Suria FM, Roslinda Abdul Majid berkata, empat jenis air berperisa strawberi, laici, kiwi dan mangga berjenama Nutri Free dijual pada harga RM2.50 setiap satu.

“Menariknya tawaran yang ditawar kepada pendengar kita yang membeli empat jenis air jus jumbo ini dengan nilai RM10, mereka akan dihadiahkan dengan pelbagai barangan istimewa seperti pelekat kereta Suria FM dan t-shirt eksklusif terbaru 50 minit Muzik Terbaik Tanpa Henti.

“Gerai ini dibuka dari jam 4 petang hingga 7.30 malam setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini. Lebih menariknya lagi, gerai ini akan dihadiri ramai artis setiap hari. Antara mereka yang hadir seperti Ning Baizura, Ifa Raziah, Roslan Shah, Fazli Zainal dan kumpulan Sofaz.

“Tidak lupa juga, artis lain yang sudah membuat persetujuan seperti Diana Danielle dan Dayang Nurfaizah akan hadir pada 7 September ini, Lisa Surihani (9 September) dan Dafi (11 September).

“Dikhabarkan juga artis popular tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Umie Aida, Rebecca Nur Islam, Faradhiya dan ramai lagi akan turut mengunjungi gerai Suria FM dalam masa terdekat ini,” katanya.

Sementara itu, pencarian pemenang bagi segmen Itu Aje dalam Breakfast@Suria bersama Tuah dan Zizi berakhir Khamis lalu apabila Suhidan Mohd Said dari Taman Daya Johor Bahru berjaya memenangi wang tunai RM9,600.

Suhidan satu-satunya pendengar yang berjaya meneka sedutan lagu kumpulan Odyssey berjudul Masih Ada dengan betul sekali gus mengakhiri pencarian selama lapan bulan yang menyaksikan lebih 204 pemanggil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: