Saturday, September 5, 2009

Maiza ikut jejak Waheeda jadi penyanyi

Jika isteri baru Akhil Hayy, Waheeda (Wassini), membuat keputusan untuk menarik diri dari bidang seni untuk selama-lamanya, lain pula ceritanya dengan Maizawati Zainal. Dia yang baru sahaja bergelar janda kepada ustaz ‘rock’ itu, kini sedang berjinak-jinak dalam bidang seni. Selain menjadi duta Koleksi Tudung Myza dan BondaMama anjuran Yayasan Pembangunan Nurhikmah (YPN) dan juga model iklan komersil biskut D Haiz Cookies, Maiza bakal bergelar penyanyi pula.

Difahamkan Maiza sudah pun memulakan rakaman untuk album sulungnya itu dan hasratnya untuk menjadi penyanyi nampaknya akan tercapai tidak lama lagi. Menurut Maiza, dia sudah pun menjalani rakaman untuk dua lagu, iaitu Ketentuan dan sebuah lagu raya yang belum dipilih tajuknya.

“Sejak kecil lagi saya minat menyanyi, dan selalu karaoke di rumah. Tapi itu pun hanyalah untuk suka-suka saja dan tak adalah sampai bercita-cita untuk jadi penyanyi kerana saya pun tak tahu sama ada saya layak atau tidak. Saya pun tak sangka, bakat saya ini dipandang orang. Sejak Produser Zairul mendengar suara saya, dia yakin saya boleh jadi penyanyi. Dari situ, YPN bersetuju untuk terbitkan album saya. Apa pun, saya akan cuba buat yang terbaik dan biarlah orang yang menilai. Tapi saya tak mahu terlalu serius dalam bidang ini kerana minat saya lebih pada perniagaan,” kata Maiza.

Mengulas lanjut tentang albumnya itu, kata Maiza, album tersebut mengandungi 10 buah lagu pelbagai rentak yang berkonsepkan ketuhanan. Diterbitkan oleh Yayasan Pembangunan Nurhikmah (YPN), albumnya itu dijangka berada di pasaran tidak lama lagi.

“Buat masa ini, saya baru selesai rakaman dua lagu dan selebihnya akan disambung secara berperingkat nanti. Lagu Ketentuan dicipta saya sendiri dan dibantu juga oleh pengasas YPN, Ameer Soekhe Ishak. Liriknya pula digubah oleh Zairul Addry. Lagu raya pula dinyanyikan secara beramai-ramai, tetapi bukan melibatkan artis popular,” katanya yang telah bercerai dengan Akill Hayy sejak 15 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: