PEMILIHAN lagu Malaysia Satu yang diumumkan sebagai pemenang Pencarian Lagu 1Malaysia Kita anjuran stesen Hot FM, baru-baru ini adalah berdasarkan undian majoriti pendengar. |
Lagu ciptaan Audi Mok bersama Nur Fatimah Abd Wahab atau Nur Fatima selaku penulis lirik dan disampaikan Faizal Tahir itu mengatasi sembilan lagu lain yang turut bertanding.
Menariknya, pertandingan julung kali ini diadakan atas cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu rakyat Malaysia menyelami makna perpaduan yang diterapkan menerusi konsep 1Malaysia.
Malah, pendekatan yang digunakan menjurus pada penciptaan lagu yang terbuka pada semua komposer sama ada bertaraf profesional atau amatur.
Atas kemenangan lagu itu, Audi, Nur Fatima dan Faizal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM25,000 tajaan Celcom.
Di sebalik kejayaan lagu itu, ia memperlihatkan kolaborasi antara Audi bersama Faizal berjaya menarik perhatian pendengar untuk mengundi.
Nyata, gandingan Faizal dengan Audi bukan perkara baru berlaku antara mereka.
Sebelum ini, mereka pernah bekerjasama menerusi dua lagu iaitu Sampai Syurga dan Cuba bertanding ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-23 pada tahun lalu.
Ketika itu, lagu Sampai Syurga menang tiga kategori menerusi Balada, Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik pada pertandingan itu.
Antara Faizal mahupun Audi, mereka mengakui keserasian yang wujud menjadi faktor pada kemenangan dan kualiti lagu dihasilkan.
Keputusan majoriti pendengar yang memilih Malaysia Satu sebagai juara mengenepikan sembilan lagu lain yang turut bertanding iaitu Satu Malaysia ciptaan Aubrey Suwito bersama Datuk Siti Nurhaliza juga dinyanyikan Siti, Kami Anak Malaysia ciptaan Ashroff Shariff dan Eka Shariff (nyanyian Noh Hujan, Lah Ahmad dan Shila), Perpaduan 1Malaysia (ciptaan dan nyanyian Alex) dan Keranamu Hatiku Malaysia ciptaan Lead (nyanyian kumpulan Manis).
Turut bertanding, lagu Sehati Sejiwa (ciptaan dan nyanyian D Gerard Singh), Lagu Rakyat Satu Malaysia ciptaan Norm Aidid (nyanyian Rida), Nyanyikan Lagu Mu ciptaan Ng Ching Ching dan Wong Seng Jinn (nyanyian Maya Karin), Satu ciptaan Shazzy bersama Shah Shamshiri (nyanyian Tomok) dan Inilah Malaysia ciptaan Taja Meet Uncle Hussain bersama Tun Teja (nyanyian Jaclyn Victor dengan Arch Little Daniella).
Bagi Audi, dia tidak menyangka hasrat sekadar mencuba membuahkan hasil kemenangan.
Katanya, lagu ini turut dicipta mengikut kesesuaian vokal Faizal yang meminati genre rock seperti yang pernah ditampilkan menerusi lagu Bencinta.
“Lagu ini suatu yang berbeza apabila saya sanggup mengubah mengikut cita rasa Faizal.
“Saya fikir melodi lagu ini tidak seharusnya tipikal seperti lagu patriotik yang pernah kita dengar.
“Melodi lagu ini yang rancak memberikan semangat pada pendengar untuk menghayati konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri.
“Sebenarnya, selepas menghantar penyertaan lagu ini, saya tidak terlalu fikir lagu ini mampu menang.
“Pada saya, lagu ini bukan pertandingan, tetapi lebih menjurus pada apa yang ingin disampaikan Perdana Menteri. Mungkin faktor melodi pada lagu ini ia bukan lagu patriotik, tetapi ia merujuk pada lirik lagu,” katanya.
Nur Fatima pula berkata, dia positif dalam usaha untuk meningkat semangat kenegaraan di kalangan masyarakat menerusi penciptaan lagu patriotik.
Sambil merujuk pada lirik lagu ini, ia adalah kisah mengenai diri sendiri dan rakyat untuk membina semangat jati diri.
“Segala kejayaan dan jatuh bangun adalah bermula dari diri sendiri.
“Malah, kejayaan negara ini seharusnya menjadi contoh pada negara lain yang membuktikan negara kecil seperti kita mampu mencapai keharmonian,” katanya.
Dalam pada itu, Faizal mengakui dia pada mula menolak ‘lamaran’ Audi untuk menyanyikan lagu ini kerana bimbang fokus pada proses penerbitan album kedua yang masih berjalan terganggu.
Namun, sebaik Audi mengubah suai mengikut cita rasanya, dia makin meminati lagu berkenaan.
“Sejujurnya, saya gembira dan berbesar hati kerana diberi peluang menyanyikan lagu ini. Apa yang penting, lagu ini senang diingati dan dinyanyikan bersama.
“Saya sendiri sebenarnya sukar untuk menghafal lirik, tetapi apabila lirik lagu seperti ini ditulis dengan baik, ia jadi mudah untuk diingati. Saya berpandangan melodi lagu ini cukup menarik dan menghiburkan.
“Jika diteliti, semua elemen untuk menjadi rakyat Malaysia ada dalam lirik lagu ini.
“Saya tidak kisah untuk menyanyikan lagu ini selepas ini kerana lagu ini memberi keseronokan dan berkonsepkan moden seiring dengan album baru saya yang akan dipasarkan pada penghujung tahun ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: