SEBELUM menghasilkan Momok The Movie yang bakal ditayangkan pada 20 September ini, pengarah dan penerbit eksekutif filem itu, Mohamad Jamil Zulkifli, 45, melakukan kajian selama lima tahun. |
|
Dalam jangka masa itu, Jamil mencari jalan bagaimana menerbitkan filem berkenaan tanpa melanggar peraturan Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan tiada pemotongan yang melampau selepas filem itu siap.
Jamil yang ditemui selepas pratonton filem itu di TGV, The Mines, Sungai Besi, baru-baru ini berkata, adakala dia keliru dengan ketetapan LPF.
"Ada sesetengah filem hantu 'lepas', ada pula yang dicincang habis kerana dikatakan tahyul dan melanggar aqidah Islam. "Jadi untuk menghasilkan Momok The Movie ini saya berusaha mencari penyelesaian terbaik dan alhamdulillah LPF meluluskan filem ini 100 peratus.
"Saya mengambil jalan tengah dengan menggarapkan filem ini dalam bentuk seram komedi.
"Momok The Movie menghimpunkan cerita mitos popular di kalangan masyarakat tempatan seperti hantu pocong, mayat bangun selepas dilangkah kucing hitam dan pontianak.
"Setiap cerita hantu itu saya melakukan kajian mendalam. "Misalnya untuk pontianak saya menemubual 10 orang untuk mengetahui cerita pontianak yang paling popular. "Hasilnya pontianak yang suka menjelma sebagai wanita cantik antara yang selalu menjadi perbualan masyarakat.
"Untuk memberi kesan yang mendalam kepada penonton filem ini, persembahan dibuat secara jujur berdasarkan cerita dan tempat kejadian sebenar di sekitar Temerloh, Pahang. "Sepanjang penggambaran kru dan pelakon memberikan sepenuh tumpuan dan sangat menjaga perlakuan serta tutur kata mereka.
"Saya juga bekerjasama dengan Ketua Penyelidik Paranormal Seekers Malaysia, Syed Abdullah Syed Hussein Al-Attas yang juga kawan karib saya.
"Apa yang membuatkan saya tertarik menghasilkan filem seram ialah kerana masyarakat kita suka sangat cerita hantu.
"Selepas saya terbitkan DVD Momok pada 2004, penerbit dan pengarah lain pun menghasilkan cerita hantu. Negara ini turut menerima lambakan filem hantu luar negara khususnya dari Thailand," katanya.
"Kekurangan itu menyebabkan filem tempatan dengan bantuan CGI tidak cantik dan mencacatkan filem itu. "Justeru, untuk Momok The Movie saya menggunakan teknik penggambaran biasa.
"Saya cuba bawa filem ini seperti orang bercerita kisah hantu dalam kampung yang biasa kita tengok zaman datuk nenek kita dulu.
"Saya tidak berani mensasarkan jumlah kutipan dan berpuas hati jika jualan tiket boleh dapat balik modal. Kos keseluruhan pembikinan filem ini termasuk promosi RM1.8 juta.
"Berbeza dengan pengarah lain, saya tidak mempromosikan filem ini menerusi saluran radio terkenal tanah air, tetapi di saluran Klasik Nasional, Muzik FM dan Asyik FM," katanya.
Filem ini menggabungkan pelakon baru dan lama seperti Faizal AF4 (Adlin), Leez AF4, Datuk Aziz Sattar (Pak Ajis) dan Abon (Kadir).
Kata Jamil: "Datuk Aziz sudah ada peminatnya sendiri dan apabila saya bekerjasama dengan Klasik Nasional, ia akan membuka ruang lebih luas kepada peminat beliau untuk menonton filem itu.
"Pemilihan Radio Asyik FM yang khusus untuk Orang Asli juga kerana saya yakin mereka kini lebih bersikap terbuka dan suka menonton filem Melayu.
"Saya berharap pelbagai bangsa dapat menerima filem ini kerana saya turut menampilkan pelakon Cina dan India," katanya.
Cukup mengharukan Jamil, ketika pratonton filem itu diadakan di Finas Mei lalu, seorang penonton veteran memuji filem itu bagus sehingga membuatkannya terkenang zaman kecilnya di kampung di mana orang tua suka bercerita kisah hantu.
Pun begitu sebagai insan yang sudah lama berkecimpung dalam bidang penerbitan filem, Momok The Movie masih banyak kekurangannya dengan beberapa watak yang kelihatan kaku dan tidak 'bernyawa' dan corak penceritaan yang agak lemah.
"Saya terbuka kepada kritikan sama ada pujian atau kejian. "Apa yang saya cuba lakukan untuk mengembalikan kenangan indah zaman kanak-kanak dulu.
"Apapun saya yakin filem ini akan mendapat sambutan kerana kisah seram isu yang tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Ia adalah isu yang malar hijau," katanya yang akan giat mempromosikan filem itu di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: