
ELIZA DUSHKU, menyebut namanya yang pelik sahaja sudah dapat menebak bahawa gadis berusia 29 tahun ini sukakan sesuatu yang di luar norma. Dia sering tampil dengan watak-watak ekstraordinari.
Bermula dengan watak yang meluaskan bakatnya iaitu Faith dalam siri Buffy the Vampire Slayer kemudian berlarutan pula ke watak Tru Davies melalui siri Tru Calling, Eliza sudah sinonim dengan karakter di luar logik. Malah dalam dunia perfileman juga dia sering diberikan watak hitam yang mencabar kredibiliti lakonannya.
“Sebenarnya saya lebih senang membawakan watak perempuan jahat. Saya boleh buat apa sahaja yang terlarang dan tidak perlu berdepan dengan sebarang implikasi. Ia sekadar lakonan,” komennya.
Kini dia muncul lagi dengan watak Echo dalam sebuah siri baru yang disiarkan di saluran 8TV. Drama Dollhouse bersiaran pada setiap hari Isnin pukul 9.30 malam. Siri sains fiksyen itu adalah ciptaan Joss Whedon (yang juga pengarah untuk Buffy the Vampire Slayer, Angel dan Firefly).
“Saya sukakan cerita ini kerana sangat menarik untuk melihat sesuatu yang di luar norma. Saya gemar melihat dan meninjau emosi, ekspresi dan bagaimana watak-watak mutasi berhadapan dengan persekitaran.”
Drama ini berkisar tentang sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Dolls dan Actives dan memori mereka telah dipadamkan. Otak ahli kumpulan itu kemudian diisi dengan beberapa pesona baru termasuk ingatan semantik, kemahiran dan pelbagai bahasa, bergantung kepada tugasan yang diberikan.
“Saya sangat teruja dengan watak Echo. Namanya juga menarik, Echo. Saya teruja dengan fakta yang menyatakan dia adalah manusia yang kekal hidup dalam dunia yang dimanipulasi.
“Saya juga sukakan idea di mana wanita muda itu tidak tahu siapa dia tetapi di hati yang terdalam terdetik siapa sebenar dirinya,” ujar Eliza yang menyatakan dia akan mengikut sahaja ke mana Joss Whedon akan menghala. Eliza adalah salah seorang pemuja hasil kreatif arahan Joss.
Eliza yang berbintang Capricorn ini menganggap setakat ini gosip tidak terlalu mencengkam dirinya. Ini lantaran dia tidak berasa terlalu popular. “Semua orang mahu menjadi popular tetapi apabila sudah sampai di titik itu, anda akan keliru,”ujarnya.
Dalam kepelikan Eliza menghalakan perjalanan kariernya, dia juga punya tabiat yang ganjil ketika di set penggambaran. Eliza gemar membawa tilam berkain linennya agar dia sentiasa berada dalam keadaan selesa.
Malah dia akan meletakkan foto kawan dan keluarganya melingkari dirinya. Satu lagi tabiat ganjil Eliza adalah dia akan membawa pulang kerusi tuan pengarah sebagai cenderamata selepas selesai penggambaran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: