Sunday, September 27, 2009

Bukan kaki pukul


SEBAGAI pengawal peribadi, Mahathir turut dilengkapi senjata api.


KIRA-KIRA sedekad lalu, Puteri Mardziyaton Darus, 38, yang lebih dikenali dengan nama Manja, sangat dikenali sebagai pengasas dan pelopor kepada produk kesihatan wanita dengan jenama Manja.

Kerana popularitinya, wanita ini pernah menerima ancaman daripada lebih 30 lelaki gila seks yang mahu ‘meratah’ tubuhnya.

Lantaran ancaman itu, Manja buat keputusan untuk menggunakan khidmat empat pengawal peribadi.

“Dulu semasa Manja hangat di pasaran, saya sering ke stesen radio THR untuk satu slot rancangan bersama Manja. Waktu siaran pula pada lewat malam.

“Apabila sering ke udara dan berkongsi rahsia wanita dan kelebihan produk ini di radio, ada pula yang mula mengganggu dan ugut macam-macam.

“Saya ingat lagi, ada lelaki telefon pada waktu malam dan cakap terus terang dia mahu buat hubungan seks dengan saya,” ujarnya.

Tidak sekadar diancam, Manja juga pernah diserang di dalam kawasan kediamannya selepas pulang dari stesen radio terbabit, lebih kurang pukul 3 pagi.

“Kejadian itu berlaku seminggu sebelum raya. Ketika itu saya sudah ada pengawal peribadi. Dua daripadanya bercuti dan dua lagi baru sahaja meninggalkan kawasan rumah.

“Ketika saya berjalan menuju ke rumah sambil mendukung anak, saya diserang oleh dua lelaki bersenjatakan parang. Kepala saya dihentak ke lantai.

“Anak saya terlepas daripada pegangan namun mujur dia tidak diapa-apakan. Pada masa itu apa yang saya ingat mungkin saya akan dibunuh namun Allah masih sayangkan saya dan anak.

“Selepas ambil barangan berharga daripada beg tangan, mereka larikan diri. Saya terpaksa merangkak untuk naik rumah,” ujarnya.

Beliau menambah: “Saya bersyukur dengan bantuan pengawal peribadi, walaupun ada gangguan telefon, namun saya tidak lagi berdepan dengan situasi cemas seperti insiden serangan enam tahun dulu,” katanya.

Pengawal peribadi dianggap satu keperluan kini terutama di kalangan selebriti, tokoh korporat dan ahli politik. Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza malah pemain bola sepak seperti David Beckham turut menggunakan perkhidmatan mereka.

Permintaan tinggi

Mendalami tugas seorang pengawal peribadi membawa Jurnal kepada syarikat yang mengendalikan kursus Program Pengiring Orang Kenamaan di Malaysia, CPP Training and Services Sdn. Bhd.

Menyentuh mengenai industri pengawal peribadi di negara ini, Pengarah Urusan syarikat itu, Mahathir Manan, 32, pantas sahaja menjawab: “Macam pisang goreng panas!”

Beliau menjelaskan, selepas beberapa insiden demonstrasi jalanan di ibu kota, syarikatnya menerima banyak permintaan untuk melatih barisan pengawal peribadi daripada individu ternama, syarikat-syarikat besar dan agensi penguatkuasaan kerajaan.

“Sebelum ini, kebanyakan pengawal peribadi dilatih dan dilantik oleh Polis Diraja Malaysia dan hanya bertanggungjawab mengawal pemimpin negara dan pegawai kanan kerajaan. Sekarang orang awam pun memerlukan khidmat pengawal peribadi,” tegasnya.

Menurut Mahathir, ada di kalangan selebriti dan orang kenamaan yang menerima pelbagai ugutan dan ancaman dan mereka merasakan perkhidmatan pengawal peribadi sudah menjadi satu keperluan walaupun perlu membayar di antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan untuk seorang pengawal peribadi.

Namun, tugas seorang pengawal peribadi bukanlah mudah.

“Mereka perlu menjadi benteng pertama dalam menangkis pelbagai risiko ancaman dan meletakkan nyawa sendiri sebagai galang ganti. Bukan sembarangan orang layak untuk bertugas sebagai pengiring,” tegasnya.

Menyelar tanggapan sesetengah orang yang menyamakan pengawal peribadi dengan bouncer atau kaki pukul, Mahathir menegaskan stigma itu perlu diubah kerana tidak semua bouncer mampu menjadi pengawal peribadi.


PENYANYI nombor satu negara, Siti Nurhaliza tidak terkecuali menggunakan khidmat pengawal peribadi. - Gambar hiasan


Pengiring bukan bouncer

Ada juga yang merendah-rendahkan kemampuan pengiring peribadi tempatan dan mengagungkan keupayaan pengiring di negara Barat yang dianggap jauh lebih profesional dan cekap.

“Pengawal peribadi bukan orang yang lemah. Kalau kita lihat saiz tubuh mereka sederhana, itu bukan kayu pengukur kecekapan mereka.

“Sebelum layak bergelar pengiring peribadi, mereka dilatih untuk mahir dalam pelbagai teknik mengiring, bergantung kepada tugas yang diberikan.

“Ada yang jadi pemandu, ada yang memastikan keselamatan perjalanan dan lokasi tujuan, ada yang memerhatikan ancaman tersembunyi seperti penembak tepat serta mencari maklumat orang yang berhubung dengan prinsipal. Semuanya perlu dipastikan selamat,” jelasnya.

Mereka juga perlu menyesuaikan diri dengan protokol di majlis-majlis rasmi.

“Biarpun hanya pengawal peribadi, aspek protokol tidak boleh dipandang remeh kerana ia mencerminkan keperibadian mereka dan juga majikan.

“Mereka juga bertanggungjawab menjaga prinsip sebagai pengawal peribadi iaitu amanah dan menutup kemas semua rahsia majikan.

“Berbeza dengan bouncer, mereka lebih cenderung menggertak secara fizikal dan menggunakan kekerasan bagi menggerunkan orang di sekeliling majikan.

“Tindakan itu bukan sahaja tidak menjamin keselamatan majikan secara menyeluruh malah ia mencalar imej dan kredibiliti individu terbabit,” tegasnya.

Walaupun setiap pengawal peribadi dibekalkan dengan cota, penyembur serbuk cili, lampu suluh berkeupayaan tinggi dan pistol dilengkapi peluru hidup namun penggunaan senjata tersebut adalah pilihan terakhir.

“Mereka juga wajib menjalani pelbagai latihan asas termasuk kemahiran mengendalikan senjata api. Melalui kursus dan ujian, pencapaian mereka akan dinilai sama ada layak atau tidak,” kata pegawai polis ini yang pernah bertugas mengiringi beberapa pemimpin utama negara di samping golongan korporat ini.


PERALATAN seorang pengawal peribadi - pistol, serbuk lada, kaca mata hitam dan kit kecemasan.


Ikut sampai bilik

Skop tugas seorang pengawal peribadi sangat luas dan keselamatan majikan adalah di bawah seliaan mereka selama 24 jam sehari. Tidak hanya tertumpu kepada majlis keraian, pejabat mahupun tugas-tugas rasmi, tanggungjawab mereka dibawa sehingga ke bilik tidur.

Bagi memastikan tiada sebarang benda asing seperti bahan letupan, perangkap, alat peranti seperti alat perakam suara atau kamera video dipasang pada bilik tidur majikan, pengawal peribadi perlu memeriksanya sebelum majikan menggunakan bilik tersebut.

“Bagi sebilangan orang kenamaan, pemeriksaan itu perlu dilakukan pada semua tempat demi menjaga kerahsiaan perbualan terutama apabila berada di tempat awam,” kata Mahathir.

Rizal Razak, 30-an (bukan nama sebenar) pula sudah dua tahun menjadi pegawai pelindung kepada figura politik ternama di negara ini.

“Keutamaan saya ialah memastikan keadaan persekitaran selamat dan prinsipal bebas daripada ancaman bunuh, serangan, culik, dikerumuni, hilang kerahsiaan maklumat dan gangguan lain,” katanya yang ditemui Jurnal baru-baru ini.

Berpengalaman hampir 10 tahun dalam bidang ini, Rizal pernah berkhidmat dengan beberapa pemimpin tersohor termasuk bekas pemimpin nombor satu negara.

“Tidak mudah menjadi pengawal peribadi lebih-lebih lagi jika prinsipal berprofil tinggi.

“Walaupun ada yang menganggap kerjaya ini sebagai kerja bouncer dan kerja tumbuk orang, hakikatnya ia tidak begitu. Kita tak pukul orang tanpa sebab. Ada juga yang mempertikaikan, perlukah menggajikan pengawal peribadi sedangkan negara kita aman?

“Bagi saya, keselamatan seorang prinsipal yang saya lindungi mungkin mampu menyelamatkan lebih ramai nyawa,” ujar bekas pegawai polis ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: